Topik diikuti
Pergi ke BHku2 warga Italy maut dalam serangan dron di Kuwait, Iran nafi terlibat
Ketegangan di Teluk semakin memuncak, loji penapisan Jazan Saudi Aramco diserang
2 warga Italy maut dalam serangan dron di Kuwait, Iran nafi terlibat
BANDAR KUWAIT: Dua warga Italy terbunuh dalam serangan dron di Kuwait pada 26 November, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya semula pertempuran besar-besaran di Timur Tengah, sedang usaha diplomatik untuk menamatkan perang antara Amerika Syarikat dengan Iran masih menemui jalan buntu.
Kementerian Pertahanan Kuwait menyalahkan Iran atas serangan tersebut, namun Teheran menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dan menyifatkan kejadian itu sebagai mencurigakan serta berpotensi mencetuskan peperangan.
Kedua-dua mangsa merupakan kakitangan anak syarikat Italy bagi Rheinmetall, sebuah syarikat pengeluar peralatan pertahanan Jerman.
Kementerian Ehwal Luar Italy berkata kedua-dua lelaki itu sedang menjalankan kerja penyelenggaraan sistem pertahanan udara yang digunakan Angkatan Tentera Kuwait.
Mereka terkena serpihan akibat serangan yang menurut pihak berkuasa Kuwait menyasarkan sebuah kemudahan penting di negara itu.
Menteri Ehwal Luar Italy, Encik Antonio Tajani, memberitahu anggota Parlimen bahawa seorang kapten tentera Kuwait dan seorang warga Pakistan turut cedera dalam kejadian tersebut.
Media Italy melaporkan bahawa seorang daripada mangsa yang terbunuh berusia 36 tahun, manakala seorang lagi berusia 65 tahun dan hampir bersara.
Encik Tajani dilaporkan berkata hasil siasatan menunjukkan dron yang digunakan dalam serangan tersebut dihasilkan di Iran.
Beliau turut menarik perhatian bahawa kumpulan bersenjata yang disokong Iran diketahui pernah melancarkan serangan di rantau itu.
Bagaimanapun, Menteri Ehwal Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menolak dakwaan bahawa negaranya bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Beliau turut menghubungi rakan sejawatannya di Italy dan Kuwait bagi menyampaikan ucapan takziah serta menyatakan kesediaan Teheran untuk bekerjasama dengan kedua-dua negara bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Kejadian ini mencurigakan dan kelihatan seperti sesuatu yang telah dirancang untuk mencetuskan peperangan,” kata Encik Araghchi menerusi catatan di platform media sosial X.
Jurucakap Angkatan Tentera Iran, Encik Abolfazl Shekarchi, turut menegaskan bahawa negaranya tidak melancarkan sebarang operasi ketenteraan atau serangan terhadap Kuwait.
Kejadian itu berlaku lebih seminggu selepas Kuwait melaporkan bahawa pihaknya berjaya mematahkan serangan dron Iran terhadap sebuah pangkalan udara yang menempatkan tentera Amerika.
Ia merupakan serangan pertama yang dilaporkan terhadap Kuwait dalam tempoh lebih dua bulan.
Kuwait dan Bahrain turut melaporkan beberapa serangan Iran berjaya dipintas sepanjang November.
Dalam serangan terdahulu, Iran mendakwa pihaknya menyasarkan kemudahan ketenteraan Amerika di Kuwait dan Bahrain.
Negara Arab di Teluk menempatkan sejumlah besar kemudahan ketenteraan Amerika serta ribuan anggota tenteranya, sekali gus menjadikan rantau itu terdedah kepada kesan konflik antara Washington dengan Teheran.
Perang tersebut tercetus pada akhir Februari apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.
Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel serta beberapa negara Arab di Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika.
Keadaan di Timur Tengah kekal tidak menentu sejak beberapa bulan lalu berikutan kegagalan Washington dan Teheran mencapai persetujuan bagi menamatkan konflik tersebut.
Amerika turut menambah aset ketenteraannya di Timur Tengah pada awal November dan melancarkan serangan terhadap Pulau Qeshm di Iran, yang disifatkan pegawai Amerika sebagai langkah pertahanan.
Beberapa negara Teluk pula giat menjalankan usaha diplomatik bagi mengelakkan pertempuran tercetus semula, selain mendesak supaya satu perjanjian menyeluruh dicapai untuk menamatkan perang.
Dalam kejadian berasingan pada 26 November, kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran dilaporkan menyerang sebuah loji penapisan minyak di bandar Jazan, Arab Saudi.
Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata serangan tersebut mengorbankan seorang pekerja warga Nepal dan mencederakan beberapa individu lain.
Operasi loji berkenaan turut dihentikan sementara pasukan kecemasan berusaha mengawal kebakaran.
Serangan itu berlaku sehari selepas Houthi mendakwa pihaknya menyerang Ras Tanura, loji penapisan minyak terbesar Arab Saudi.
Houthi berkata serangan tersebut merupakan tindak balas terhadap serangan udara Arab Saudi yang mengorbankan nyawa di Yaman.
Sementara itu, Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua warga negaranya yang terbunuh di Kuwait.
Rheinmetall turut melahirkan rasa dukacita atas kematian dua kakitangannya ketika menjalankan tugas menyediakan sokongan teknikal bagi sistem pertahanan udara Kuwait.
“Melindungi penduduk negara itu merupakan sesuatu yang amat penting bagi mereka. Pihak pengurusan dan seluruh kakitangan syarikat amat sedih atas kehilangan rakan sekerja kami,” menurut kenyataan syarikat itu.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, pula menggesa supaya tekanan terhadap Iran dipertingkat bagi menghentikan serangan terhadap negara-negara jirannya.
Beliau berkata perkembangan terbaru itu menunjukkan bahawa konflik di Teluk bukan sahaja mengancam kestabilan Timur Tengah, bahkan mempunyai kesan terhadap keselamatan masyarakat antarabangsa.
“Kita mesti meningkatkan tekanan terhadap Iran supaya menghentikan serangan yang tidak boleh diterima terhadap negara-negara jirannya dan rakan kongsi kita di Teluk.
“Kejadian hari ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa keselamatan di Teluk merupakan isu keselamatan bagi kita semua,” katanya. – Agensi berita.