Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi pintas, musnahkan peluru berpandu serangan Houthi
Saudi pintas, musnahkan peluru berpandu serangan Houthi
DUBAI: Pihak Berkuasa Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan pada 18 November bahawa bahaya dan ancaman serangan Houthi telah berlalu di bandar-bandar selatan seperti Jazan, Najran dan Khamis Mushait.
Gabungan ketenteraan diketuai Arab Saudi di Yaman secara berasingan menyatakan bahawa mereka telah memintas dan memusnahkan peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah ibu negara Arab Saudi, Riyadh.
Angkatan tentera Houthi Yaman telah melancarkan dua operasi ketenteraan yang menyasarkan beberapa lokasi di selatan Arab Saudi, kata jurucakap ketenteraan kumpulan itu, Encik Yahya Saree.
Operasi pertama Houthi menyasarkan lokasi sensitif di wilayah Jazan dengan menggunakan beberapa peluru berpandu balistik, manakala operasi kedua menyasarkan lokasi sensitif di pangkalan udara Khamis Mushait dengan menggunakan dron, tambah Encik Saree dalam satu kenyataan.
Kumpulan Houthi telah melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke arah lapangan terbang, pelabuhan dan loji minyak Arab Saudi, sekali gus menjadikan sekutu Amerika Syarikat itu sebagai titik tekanan dalam perang yang bermula apabila Amerika dan Israel menyerang Iran pada Februari lalu.
Mereka turut menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid dan pusat kewangan di Riyadh dengan sejumlah besar peluru berpandu, tambah Encik Saree.
Pihak berkuasa Arab Saudi tidak segera mengesahkan dakwaan Houthi, yang merupakan sekutu Iran itu.
Militia itu, yang menguasai sebahagian besar kawasan berpenduduk padat di Yaman, telah memperhebatkan serangan ke atas ibu negara Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah sebagai tindak balas terhadap serangan Arab Saudi di Yaman.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera pakatan pimpinan Arab Saudi berjaya memintas beberapa dron yang dipercayai dilancarkan oleh kumpulan pemberontak Houthi di wilayah Riyadh dan Wilayah Timur.
Pemintasan berlaku ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara bersetuju melanjutkan sekatan terhadap Houthi.
Jurucakap pakatan tentera Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, mengesahkan pemintasan dron berkenaan pada 12 November menerusi kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Saudi (SPA).
Kejadian itu berlaku ketika pertempuran antara tentera pemerintah Yaman dengan pemberontak Houthi semakin sengit, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan serantau dan bekalan minyak dunia.
Majlis Keselamatan PBB pada hari yang sama meluluskan ketetapan melanjutkan sekatan terhadap Yaman selama setahun lagi, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap individu yang disenaraikan.
Menurut agensi berita Turkey, Anadolu, sekatan itu akan berkuat kuasa sehingga 14 November 2027, manakala mandat Panel Pakar PBB mengenai Yaman dilanjutkan sehingga 15 Disember 2027.
Ketetapan yang disokong Britain itu turut mengutuk peningkatan serangan Houthi terhadap Arab Saudi, termasuk serangan merentas sempadan, kegiatan ketenteraan di laut dan ancaman terhadap kapal perdagangan. – Agensi berita.
