DAMSYIK: Pemimpin Timur Tengah dan sekutu Barat mereka telah memberi amaran bahawa kumpulan militan ISIS mungkin akan mengambil peluang daripada kejatuhan rejim Bashar al-Assad untuk kembali mengganas di Syria dan Iraq - dua negara yang pernah berada di bawah pemerintahan penuh ketakutan kumpulan ekstremis itu.
Menurut lebih 20 sumber termasuk pegawai keselamatan dan politik dari Syria, Iraq, Amerika Syarikat, Eropah serta diplomat serantau, ISIS kini dilaporkan sedang mengaktifkan semula pejuang, mengenal pasti sasaran, mengedarkan senjata serta meningkatkan usaha merekrut dan menyebarkan propaganda. Namun setakat ini, hasilnya masih terhad.
Pegawai keselamatan di Syria dan Iraq yang memantau ISIS selama bertahun-tahun memberitahu Reuters bahawa mereka berjaya menggagalkan sekurang-kurangnya sedozen rancangan besar kumpulan itu sepanjang tahun 2025.
Salah satu contoh utama berlaku pada Disember, iaitu bulan kejatuhan Assad. Ketika kumpulan pemberontak mara ke Damsyik, pemimpin ISIS di Raqqa, bekas ibu kota kekhalifahan mereka menghantar dua utusan ke Iraq, menurut lima pegawai antikeganasan Iraq.
Utusan itu membawa arahan lisan kepada pengikut kumpulan tersebut agar melancarkan serangan. Namun mereka ditahan di pusat pemeriksaan di utara Iraq pada 2 Disember.
Sebelas hari kemudian, pihak keselamatan Iraq menjejak seorang pengebom pembunuh diri ISIS ke sebuah restoran sesak di bandar utara Daquq dengan bantuan data telefon bimbit, dan menembaknya sebelum sempat meletupkan tali pinggang bom.
Kolonel Abdul Ameer al-Bayati dari Divisyen Ke-8 Tentera Iraq berkata insiden itu mengesahkan syak wasangka Iraq terhadap ISIS. “Elemen ISIS telah mula aktif semula selepas sekian lama menyepi, berani bertindak berikutan kekacauan di Syria,” katanya.
Namun begitu, jumlah serangan yang dituntut oleh ISIS dilaporkan menurun sejak kejatuhan Assad. Menurut data dari Site Intelligence Group, ISIS menuntut 38 serangan di Syria dalam lima bulan pertama 2025, angka yang dijangka hanya mencecah sedikit lebih 90 sepanjang tahun, berbanding satu pertiga daripada jumlah pada tahun 2024.
Di Iraq pula, ISIS hanya menuntut empat serangan dalam tempoh yang sama, berbanding 61 pada tahun sebelumnya.
Pemerintah Syria yang kini diketuai pemimpin Islamis, Encik Ahmed al-Sharaa, tidak memberi maklum balas berkenaan aktiviti ISIS. Namun Menteri Pertahanan Encik Murhaf Abu Qasra berkata pada Januari bahawa negara sedang memperkukuh usaha risikan dan keselamatan bagi menangani sebarang ancaman.
Pegawai pertahanan Amerika dan jurucakap kepada Perdana Menteri Iraq pula menyatakan bahawa saki-baki ISIS di Syria dan Iraq telah dilemahkan secara ketara dan tidak lagi mampu menguasai wilayah sejak digempur oleh gabungan diketuai Amerika pada 2019.
Jurucakap Iraq, Encik Sabah al-Numan, berkata operasi pencegahan telah berjaya mengekang kebangkitan ISIS. Katanya, lokasi persembunyian militan disasarkan melalui serangan udara dan serbuan, serta penggunaan teknologi seperti dron telah meningkatkan ketepatan risikan Iraq.
Antara tahun 2014 hingga 2017, ISIS pernah menguasai hampir satu pertiga daripada Syria dan Iraq, memperkenalkan undang-undang syariah versi ekstrem yang disusuli dengan kekejaman luar biasa.
Tiada pegawai yang ditemu bual oleh Reuters menjangka senario seumpama itu akan berulang, namun mereka memberi amaran agar tidak memandang ringan kebangkitan semula kumpulan tersebut.
Terdapat kebimbangan dalam kalangan pegawai tempatan dan Eropah bahawa pejuang asing mungkin kembali ke Syria untuk menyertai kumpulan jihad. Dua pegawai Eropah memaklumkan bahawa agensi risikan telah mengesan segelintir individu dari Eropah memasuki Syria baru-baru ini, walaupun tidak jelas sama ada mereka direkrut oleh ISIS atau kumpulan lain.
Usaha ISIS ini berlaku ketika Encik al-Sharaa cuba menyatukan Syria pasca-perang dan membawa kumpulan pemberontak ke bawah pentadbiran kerajaan. Keputusan mengejut Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Mei untuk menarik balik sekatan terhadap Syria dilihat sebagai kemenangan bagi Encik al-Sharaa.
Namun, tindakan Encik al-Sharaa mendekati negara Barat mengundang kritikan daripada golongan Islamis konservatif yang khuatir beliau tunduk kepada desakan Amerika untuk mengusir pejuang asing dan memulihkan hubungan dengan Israel.
ISIS mengambil peluang atas perpecahan ini, mengutuk pertemuan Encik al-Sharaa dan Encik Trump dalam terbitan terbaru al-Naba dan menyeru pejuang asing di Syria menyertai barisan mereka.
Dalam pertemuan pada 14 Mei di Arab Saudi, Encik Trump meminta Encik al-Sharaa membantu mencegah kebangkitan semula ISIS. Amerika dijangka mengurangkan kehadiran tenteranya di Syria sebanyak separuh daripada 2,000 anggota tahun 2025 ini.
Pengunduran ini membimbangkan sekutu yang khuatir ISIS mungkin membebaskan kira-kira 9,000 pejuang dan ahli keluarga mereka yang ditahan oleh Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika.
SDF menyatakan sekurang-kurangnya dua cubaan melarikan diri dari penjara telah berlaku sejak kejatuhan Assad. Encik Trump dan Presiden Turkey Recep Tayyip Erdogan mahu pemerintah al-Sharaa mengambil alih tanggungjawab terhadap kemudahan tahanan tersebut.
Namun, penganalisis serantau meragui kemampuan Damsyik dari segi sumber manusia. Syria juga sedang berdepan serangan oleh saki-baki penyokong Assad, keganasan sektarian, serangan udara Israel, dan pertempuran antara kumpulan disokong Turkey dengan SDF.
“Pemerintah interim sedang berdepan kekangan keselamatan yang serius. Mereka tidak cukup tenaga untuk mengawal seluruh negara,” kata Encik Charles Lister dari Middle East Institute.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika menyatakan bahawa negara-negara perlu memulangkan tahanan masing-masing dari Syria dan berkongsi tanggungjawab menjaga kem-kem tersebut. Pegawai pertahanan Amerika menambah bahawa Washington masih komited menghalang kebangkitan ISIS dan akan terus memantau kerajaan Sharaa yang setakat ini menunjukkan kerjasama.
Tiga hari selepas pertemuan dengan Encik Trump, Syria mengumumkan serbuan ke atas tempat persembunyian ISIS di Aleppo, membunuh tiga militan, menahan empat lagi serta merampas senjata dan pakaian seragam.
Beberapa pegawai mengesahkan bahawa Amerika berkongsi maklumat risikan dengan Damsyik dalam kes terhad, namun Reuters tidak dapat mengesahkan sama ada serbuan di Aleppo termasuk dalam kerjasama ini.
Gabungan Amerika dijangka menamatkan operasi di Iraq menjelang September. Namun sumber pertahanan kedua mendedahkan bahawa Baghdad telah menyatakan hasrat secara peribadi agar pengunduran 2,500 tentera Amerika ditangguhkan susulan kejatuhan Assad. Seorang sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan permintaan tersebut.
Rumah Putih, Baghdad dan Damsyik tidak memberikan sebarang komen mengenai rancangan Trump terhadap kehadiran tentera AS di Iraq dan Syria.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan ISIS memiliki antara 1,500 hingga 3,000 pejuang di Syria dan Iraq. Bagaimanapun, cawangan paling aktif kumpulan itu kini berada di Afrika, menurut data Site.
Tentera Amerika percaya pemimpin tertinggi kumpulan tersebut ialah Abdulqadir Mumin, yang mengetuai cabang ISIS di Somalia.
Namun, Pengarah Site, Cik Rita Katz, memberi amaran agar penurunan jumlah serangan di Syria tidak dianggap sebagai tanda kelemahan. “Kemungkinan besar kumpulan ini sedang menyusun strategi semula,” katanya.
Sejak kejatuhan Assad, ISIS dilaporkan telah mengaktifkan semula sel-sel tidur, memantau sasaran, serta mengedarkan senjata, peredam dan bahan letupan, menurut tiga sumber keselamatan dan tiga pegawai politik Syria.
Mereka juga memindahkan pejuang dari gurun Syria ke bandar-bandar utama seperti Aleppo, Homs dan Damsyik, kata sumber keselamatan. “Antara cabaran terbesar yang kami hadapi sekarang, Daesh adalah yang paling utama,” kata Menteri Dalam Negeri Syria, Encik Anas Khattab kepada TV Ekhbariya.
Di Iraq, pengawasan udara dan risikan darat mengesan peningkatan aktiviti ISIS di Pergunungan Hamrin dan sepanjang jalan strategik, menurut penasihat keselamatan Iraq, Ali al-Saidi.
Pegawai Iraq percaya ISIS telah merampas sejumlah besar senjata yang ditinggalkan oleh tentera Assad dan bimbang ia diseludup ke Iraq. Menteri Luar, Encik Fuad Hussein berkata Baghdad telah berhubung dengan Damsyik mengenai isu ini dan menegaskan bahawa ISIS semakin berkembang.
“Kami berharap Syria akan kembali stabil dan tidak menjadi tempat perlindungan kepada pengganas, khususnya pengganas ISIS,” katanya. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg