MAKKAH: Air mata Cik Jumariah akhirnya gugur sebaik sahaja matanya memandang Kaabah buat kali pertama di Masjidil Haram pada 10 Mei lalu.

Di bawah cuaca panas Makkah, wanita warga emas dari Maros, Sulawesi Selatan itu beberapa kali mengesat wajahnya dengan hujung tudung hitam yang dipakai, sebelum emosinya tidak lagi dapat ditahan.

Impian yang disimpan puluhan tahun akhirnya menjadi kenyataan selepas beliau menghabiskan hampir dua dekad mengumpul wang sedikit demi sedikit, di dalam baldi.

“Saya gembira dapat melihat Kaabah,” katanya perlahan ketika ditemui di Hotel Asrar al Tayseer, Makkah.

Kenangan melihat Baitullah itu sekali lagi membuat air matanya mengalir sebelum beliau segera menyapunya dengan jemari yang sudah kelihatan berkedut.

Cik Jumariah ialah anggota jemaah haji warga emas dari daerah Maros.

Beliau sendiri tidak lagi mengingati usia sebenarnya dan hanya tahu dirinya kini berada dalam lingkungan 70-an tahun.

Di kampungnya, kehidupan Cik Jumariah sederhana.

Setiap pagi selepas subuh, beliau memberi makan ayam peliharaan, membersihkan rumah kayunya dan memasak sarapan untuk dirinya sendiri.

Pada 9 pagi pula, beliau akan berjalan membawa sabit untuk menjaga kebun ubi milik jiran, sebelum menuju ke sawah kecilnya sendiri yang berukuran kira-kira 1,500 meter persegi bagi membersihkan tanaman padi.

“Saya tanam sendiri, jaga sendiri dan tuai sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Walaupun hidup bersendirian selepas berpisah dengan suaminya, Cik Jumariah berkata beliau tidak pernah berasa benar-benar keseorangan, kerana yakin Tuhan sentiasa menemaninya.

Keyakinan itulah yang mendorongnya menyimpan impian untuk menunaikan haji, walaupun beliau tidak tahu membaca atau menulis dan tidak pernah bersekolah.

Secara diam-diam, beliau mula menyimpan wang hasil kerja di sawah dan kebun di dalam sebuah baldi di rumahnya sejak 2006.

“Saya kumpul duit, sedikit demi sedikit dalam baldi,” katanya.

“Kalau saya dapat 110,000 rupiah ($7.95), saya simpan 50,000 rupiah.”

Pada 2011, selepas wang simpanannya mencecah 25 juta rupiah, beliau akhirnya mendaftar haji dengan bantuan seorang saudara.

Sejak itu, beliau terus bekerja keras untuk melunaskan baki kos perjalanan ke Tanah Suci.

Apabila namanya disahkan sebagai jemaah haji bagi musim 2026, semangat Cik Jumariah menjadi semakin luar biasa.

Beliau sanggup menempuh perjalanan 15 kilometer dari rumah ke lokasi kursus persiapan bagi menunaikan haji, dan menghadiri lebih 80 sesi latihan tanpa ponteng.

Menurut Ketua Kumpulan Penerbangan Haji UPG-14, Cik Sitti Hawaisyah, Cik Jumariah sentiasa duduk di barisan hadapan dan memberi perhatian penuh terhadap setiap penerangan pembimbing haji.

Kegigihan wanita itu akhirnya menarik perhatian Kementerian Haji dan Umrah Indonesia serta pihak berkuasa Arab Saudi.

Profil kehidupannya kemudian dipilih untuk dijadikan sebahagian dokumentari promosi, Laluan Makkah, bagi musim haji 2026.

“Beliau hidup sendiri di kawasan terpencil tetapi sangat memberi inspirasi,” kata Cik Sitti Hawaisyah.

Dokumentari itu hanya mengambil masa empat jam untuk dirakam di kampung Cik Jumariah di Maros, tetapi kini kisahnya menjadi lambang semangat dan pengorbanan sebahagian warga emas Indonesia dalam usaha menunaikan ibadah haji.

Tidak lama selepas penggambaran selesai, Cik Jumariah menaiki kapal terbang buat kali pertama dalam hidupnya menuju ke Madinah.

“Mulanya saya takut naik kapal terbang, tetapi selepas itu rasa selesa,” katanya sambil tersenyum.

Di Madinah, beliau menunjukkan daya ketahanan fizikal yang luar biasa, walaupun sudah berusia.

Menurut rakan serombongannya, Cik Marwati, Cik Jumariah kelihatan lebih bertenaga berbanding jemaah lebih muda.

“Ketika menjalani umrah, beliau paling bersemangat.

“Kami yang muda sudah penat tetapi beliau masih mahu berjalan,” katanya.

Sejak tiba di Makkah pada 9 Mei lalu, Cik Jumariah sudah menyempurnakan tiga kali umrah tanpa mengadu sakit.

Apabila ditanya rahsia kesihatannya, beliau menjawab ringkas:

“Pergi ke sawah setiap hari dan banyak minum air,” katanya. – Agensi berita.

“Saya gembira dapat melihat Kaabah... Saya kumpul duit, sedikit demi sedikit dalam baldi. Kalau saya dapat 110,000 rupiah ($7.95), saya simpan 50,000 rupiah.”
Cik Jumariah.