GAZA: Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza berkata pada Isnin bahawa 200 pesakit telah dipindahkan dari hospital dengan bantuan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) hanya beberapa jam selepas ia dilanda serangan tentera Israel.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Ashraf al-Qudra, memberitahu media bahawa 200 orang telah dipindahkan dari Hospital Indonesia di Jabaliya dan dibawa dengan bas ke hospital Nasser di bandar selatan Khan Yunis.
“Tentera Israel sedang mengepung Hospital Indonesia. Kami bimbang perkara yang sama akan berlaku di sana seperti yang berlaku di Al-Shifa,” tambahnya, merujuk kepada hospital terbesar di Gaza yang telah dikepung dan diserbu tentera Israel sejak Rabu.
Pemindahan pesakit di hospital yang mempunyai 140 katil dan terletak dekat kem pelarian Jabaliya itu dilakukan dengan kerjasama ICRC, katanya selepas Israel menyerang sebuah ambulans di utara Gaza yang mereka dakwa digunakan oleh militan Hamas.
“Masih terdapat 400 pesakit di hospital dan kami bekerjasama dengan ICRC untuk melakukan pemindahan,” katanya sambil memberitahu bahawa sekitar 2,000 orang kehilangan tempat tinggal dengan berlindung di dalam dan sekitar hospital.
Hamas sebelum ini melaporkan bahawa berpuluh-puluh kereta kebal dan kereta berperisai telah dikerahkan di sekitar pinggir hospital dan menembak ke arah kemudahan itu.
Seorang wartawan agensi berita AFP di Khan Yunis melihat dua bas tiba di hospital Nasser dengan diiringi karyawan ICRC.
Encik Qudra berkata serangan Israel ke atas sebuah hospital telah membunuh 12 orang, antaranya pesakit dan rakan mereka, dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.
Sebanyak 22 hospital dan 49 pusat kesihatan di Jalur Gaza terpaksa menghentikan operasi di Jaluran Gaza kerana dilanda masalah kekurangan bekalan perubatan dan dicengkam pertempuran yang terus berlaku.
Dalam pada itu, tentera Hezbollah dan Israel dilaporkan terlibat dalam kejadian tembak-menembak di sempadan antara Lebanon dengan Israel.
Pada Isnin, Angkatan Tentera Israel (IDF) telah membedil Gereja Saint George di selatan Lebanon, menurut agensi berita NNA di Lebanon. Serangan itu menyebabkan “kerosakan yang ketara” tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Hezbollah berkata ia menyasarkan tentera di utara Israel dengan dron, artileri dan peluru berpandu pada Isnin.
Tentera Israel pula berkata kereta kebal, jet pejuang dan helikopternya telah menyerang sasaran Hezbollah di Lebanon sebagai tindak balas kepada apa yang dikatakan sebagai pelancaran peluru berpandu dari “sel pengganas”.
Dalam pada itu, IDF dilaporkan sedang “menyerbu” bandar Hebron di Tebing Barat,” kata agensi berita Shehab yang bersekutu dengan Hamas.
“Pasukan pendudukan Israel menyerbu bandar Hebron di selatan Tebing Barat dan melancarkan serangan dan penangkapan,” lapor Al-Jazeera pula. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg