Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2023 mungkin pecah rekod tahun paling panas dalam sejarah

Jul 18, 2023 | 2:17 PM
CATAT SUHU TINGGI: Renjer Perkhidmatan Taman Negara Amerika, Encik Gia Ponce (kiri), dan Cik Christina Caparelli, diambil gambar oleh Renjer Cik Nicole Bernard, bersebelahan paparan digital bacaan haba tidak rasmi di Pusat Pelawat Furnace Creek di Death Valley, California, pada 16 Julai.
CATAT SUHU TINGGI: Renjer Perkhidmatan Taman Negara Amerika, Encik Gia Ponce (kiri), dan Cik Christina Caparelli, diambil gambar oleh Renjer Cik Nicole Bernard, bersebelahan paparan digital bacaan haba tidak rasmi di Pusat Pelawat Furnace Creek di Death Valley, California, pada 16 Julai. - Foto AFP

WASHINGTON: Jun adalah bulan terpanas dalam rekod dan dikuti dengan awal Julai yang kini termasuk dalam kategori 10 hari terpanas dalam sejarah.

Gelombang haba serentak melanda merata Amerika Syarikat, sebahagian besar Eropah dan sebahagian Asia, manakala cuaca El Nino semakin meningkat di Lautan Pasifik, dan perairan Atlantik di Florida mencecah 32.2 darjah Celsius yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ia sudah cukup untuk meletakkan 2023 sebagai tahun paling panas sejak catatan rekod bermula pada 1800an.

Sejak Oktober 2019, badan penyelidikan bukan mencari untung, Berkeley Earth, telah menganalisis suhu global setiap bulan dan mengeluarkan ramalan bagi kedudukan muktamad tahun itu dari segi haba.

Analisis terbarunya, yang diterbitkan pada 11 Julai, mendapati “peluang yang agak tinggi – melebihi 80 peratus pada ketika ini – bahawa 2023 akan menjadi tahun paling panas dalam rekod”, kata Dr Zeke Hausfather, seorang saintis iklim bumi Berkeley.

Penyelidik akan memuktamadkan kedudukan suhu tahunan pada Januari. Setakat ini, tahun paling panas dalam rekod adalah pada 2016 dan 2020.

Bagi pemerhati iklim jangka masa panjang, kadar rekod suhu musim panas melampau adalah corak suram yang memang telah lama diramalkan.

“Saya telah menjangkakan ini selama 20 tahun,” kata Profesor Camille Parmesan daripada Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan dan pengarang laporan Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

“Ini akan terus berlaku, memandangkan kita tidak mengurangkan pelepasan gas.”

Bumi telah pun semakin panas sebanyak 1.2 darjah Celsius sejak era praindustri kerana pelepasan gas rumah hijau yang semakin meningkat di atmosfera. Ini telah menghasilkan arah aliran yang jelas: 22 daripada 23 tahun yang lalu adalah yang paling panas pernah berlaku.

Satu-satunya cara untuk menghentikan trend itu, saintis iklim telah berulang kali memberi amaran kepada orang ramai supaya secara dramatik dan segera mengurangkan bahan pencemar iklim, terutamanya melalui pembuangan bahan api fosil.

Antara faktor utama peningkatan haba melampau pada tahun ini ialah El Nino - yang pertama dalam hampir empat tahun.

Lembangan Pasifik meliputi satu pertiga daripada planet ini dan terdedah kepada El Nino-Southern Oscillation, yang menyebabkan turun naik suhu lautan antara fasa sejuk dan panas. Tahun 2023 bermula dalam fasa cuaca La Nina, secara rasmi bertukar kepada El Nino pada Jun.

“Setiap kali kami menyaksikan El Nino, kami dapat melihat sedikit masa depan. Inilah yang akan menjadi normal baru bagi iklim dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika pelepasan gas kekal pada tahap semasa dan tidak berkurangan dengan cepat,” kata Dr Hausfather. “Jadi kita akan mengalami suhu sedikit lebih tinggi daripada suhu biasa tahun ini dan akan datang, tetapi perubahan iklim jangka panjang akan dengan cepat mendorong planet ini ke tahap haba seperti ini sepanjang masa,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg