ROME: Italy mengeluarkan amaran merah cuaca panas bagi 16 bandarnya pada Ahad, selepas pakar meteorologi memberi amaran suhu akan mencecah paras tertinggi di seluruh selatan Eropah dalam beberapa hari akan datang.
Sepanyol, Italy dan Greece telah mengalami suhu terik selama beberapa hari, merosakkan pertanian dan menyebabkan pelancong terkial-kial mencari tempat berteduh.
Tetapi antisiklon baru yang digelar Charon, menghembus masuk ke wilayah itu dari Afrika Utara pada Ahad dan boleh menaikkan suhu melebihi 45 darjah Celcius di bahagian Italy awal minggu ini.
“Kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi ribut panas yang hari demi hari akan menyelimuti seluruh negara,” perkhidmatan berita cuaca Italy, Meteo.it, memberi amaran pada Ahad.
Greece menutup Acropolis, kawasan peninggalan sejarah purba, pada Jumaat bagi melindungi pelancong.
Menteri Kesihatan Italy Orazio Schillaci berkata orang ramai perlu berwaspada ketika mengunjungi tapak bersejarah Rome itu.
“Pergi ke Colosseum pada suhu 43 darjah Celcius tidak digalakkan, terutamanya bagi orang tua,” katanya kepada media pada Ahad, sambil berkata orang ramai harus berada di dalam rumah antara 11 pagi dengan 6 petang.
Selain ibu kota Italy itu, amaran kesihatan telah dikeluarkan dari pusat bandar Florence ke Palermo di Sicily dan Bari di tenggara Semenanjung, manakala suhu juga mula meningkat lebih jauh ke utara.
“Ini bukan perkara biasa. Saya tidak ingat panas yang begitu teruk sebelum ini, terutamanya pada tahun ini,” kata Encik Federico Bratti, yang dilihat berjemur di Tasik Garda.
Di Sepanyol, agensi kaji cuaca memberi amaran mengenai risiko kebakaran hutan ekoran suhu dijangka tidak mungkin turun di bawah 25 darjah Celcius di seluruh negara itu.
Gelombang haba akan meningkat mulai Isnin, dengan suhu mencecah 44 darjah Celcius di lembah Guadalquivir berhampiran Seville di selatan negara itu.
Sementara itu, di pulau La Palma Sepanyol di Canaries, sekurang-kurangnya 4,000 orang terpaksa dipindahkan kerana kebakaran hutan di luar kawalan berikutan gelombang panas, kata pihak berkuasa.
Suhu tertinggi yang direkodkan di Eropah pernah mencecah 48.8 darjah Celcius, iaitu di Sicily dua tahun lalu.
Gelombang haba telah melanda kawasan Mediterranean termasuk Israel yang menyaksikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dimasukkan ke hospital pada Sabtu kerana mengalami pening dan dehidrasi. Namun beliau dibenarkan pulang pada Ahad. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg