Jika ditanya apakah “peristiwa besar” yang paling mungkin membentuk 2026, jawapannya bukan satu titik tunggal, tetapi gugusan peristiwa yang saling berkait.
Di Asia Barat, masa depan gencatan senjata Gaza dan hubungan Israel-Palestin akan menentukan sama ada rantau itu bergerak ke arah pembinaan semula atau kembali ke kitaran perang. Di Ukraine, 2026 berisiko mengekalkan perang yang berlarutan dan melemahkan Eropah untuk jangka masa panjang. Dalam ekonomi, gelembung teknologi, ketidaktentuan fiskal dan kejutan minyak berpotensi menggoncang pasaran pada bila-bila masa
Memasuki tahun 2026, dunia berada dalam keadaan yang digambarkan oleh sebahagian penganalisis sebagai “ketidaktentuan terkawal”. Beberapa trend mega utama terus bergerak serentak. Peralihan menuju dunia multipolar, persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dengan China, perang di Ukraine, pergolakan di Timur Tengah, Asia Barat, krisis iklim, serta ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semuanya membentuk persekitaran geopolitik yang semakin sarat dengan risiko.
Laporan geostrategik terkini menjangkakan risiko geopolitik kekal tinggi sepanjang 2026, dengan kebarangkalian besar berlakunya “kejutan buruk” seperti konflik yang meletus semula atau krisis pasaran kewangan yang dicetuskan politik.
Namun 2026 juga bukan semata-mata tentang krisis. la adalah tahun pilihan rava besar di pelbagai benua; Piala Dunia 2026 yang pertama kali dianjurkan serentak oleh Amerika Syarikat, Canada dan Mexico, serta Sidang Puncak Perubahan Iklim ke-31 (COP31) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Antalya, Turkey, yang berpotensi menjadi medan ujian sebenar komitmen dunia terhadap agenda iklim.
Unjuran bagi tahun 2026 seolah-olah menempatkan dunia di sebuah simpang penentu: sama ada melangkah menuju satu bentuk kestabilan baru yang dicirikan oleh kepelbagaian pusat kuasa, atau tergelincir ke dalam kitaran konflik dan krisis yang lebih kompleks serta mendalam.
Timur Tengah 2026: Antara Gencatan Senjata Gaza dengan Risiko Perang Baru
Di Timur Tengah, 2026 dijangka kekal sebagai medan utama pergelutan geopolitik. Beberapa firma penarafan dan institusi ekonomi memberi amaran bahawa walaupun terdapat usaha gencatan senjata di Gaza, risiko konflik baru kekal tinggi jika perjanjian damai Israel-Hamas tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Moody’s, iaitu sebuah agensi penarafan kredit global yang berpengaruh, menegaskan bahawa sebarang manfaat ekonomi untuk dunia hanya akan tercapai sekiranya gencatan senjata Israel-Hamas benar-benar berkekalan. Agensi itu turut memberi amaran bahawa kegagalan melaksanakan butiran perjanjian dengan konsisten boleh mencetuskan semula konflik berskala besar.
Di Jaluran Gaza sendiri, tahun 2026 berkemungkinan menjadi tempoh peralihan yang berada “antara dua dunia”. Di atas kertas, wilayah itu sepatutnya memasuki fasa pembinaan semula bernilai puluhan bilion dolar, seperti yang diunjurkan oleh beberapa analisis geostrategik, dengan pergantungan besar kepada bantuan antarabangsa, institusi kewangan, serta sumbangan negara-negara Teluk.
Namun di lapangan, dua senario utama sedang dibayangkan. Dalam senario yang lebih positif, gencatan senjata yang rapuh dapat dikekalkan, laluan bantuan dibuka dengan lebih konsisten, dan pelan pembinaan semula infrastruktur kritikal seperti elektrik, air, hospital serta sekolah mula bergerak secara berperingkat.
Dalam keadaan ini, wujud juga kemajuan ke arah suatu bentuk tadbir urus baharu di Gaza yang, walaupun bersifat pragmatik, dapat diterima oleh Israel, Hamas, serta pemain serantau utama seperti Mesir dan Qatar.
Dalam senario lebih suram, pelaksanaan gencatan senjata tersangkut di tengah jalan, isu sensitif seperti pelucutan senjata Hamas, status tahanan politik, dan kedudukan Baitulmakdis tidak bergerak, dan kumpulan pelampau di kedua-dua pihak menggunakan rasa tidak puas hati untuk mengapi-apikan sentimen.
Agensi Xinhua mengingatkan bahawa risiko kegagalan perjanjian “kekal tinggi”, dan sebarang pusingan baru keganasan akan menggagalkan bukan sahaja pemulihan dengan Israel, malah menghancurkan sama sekali harapan rakyat Gaza untuk keluar daripada kitaran perang dan kebuluran.
Di luar Gaza, Asia Barat memasuki tahun 2026 dalam fasa transformasi jangka panjang. Laporan tinjauan rantau bagi tahun tersebut menggambarkan Asia Barat sebagai wilayah yang sedang mengimbangi tiga faktor utama: risiko konflik yang berterusan, penyesuaian ekonomi pasca era harga minyak tinggi, serta usaha transformasi struktur melalui inisiatif besar seperti Wawasan 2030 Arab Saudi dan projek mega Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Laporan Economist menjangkakan harga minyak tertekan oleh lebihan bekalan sehingga hampir 4 juta tong sehari pada 2026 menurut agensi tenaga, tetapi risiko geopolitik, termasuk sekatan lanjut terhadap Russia atau pergolakan di Teluk, boleh menyebabkan kejutan harga.
Dalam konteks ini, 2026 berpotensi menyaksikan dua “peristiwa besar” di Asia Barat. Pertama, sama ada pengukuhan gencatan senjata di Gaza, yang boleh membuka ruang bagi perjanjian lebih menyeluruh melibatkan Israel, Palestin dan negara Arab utama, atau sebaliknya runtuhnya gencatan senjata yang membawa kepada pusingan baru peperangan dengan implikasi serantau.
Ukraine dan Eropah: Ke Arah Perang Ledakan Baru?
Dari sudut geopolitik global, perang di Ukraine kekal sebagai titik tumpu utama menjelang 2026. Analisis pelaburan dan geostrategik seperti Amundi Research menjangkakan konflik ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Negara Eropah perlu bersedia menghadapi apa yang digambarkan sebagai “perang separa beku” iaitu konflik berlarutan tanpa penyelesaian dengan serangan dron dan peluru berpandu yang terus-menerus menghentam bandar serta infrastruktur penting antara Russia dengan Ukraine.
Penganalisis menjangka beberapa kemungkinan “peristiwa besar” berkaitan Ukraine pada 2026. Antaranya ialah kebarangkalian gelombang serangan dron berskala besar baru ke atas bandar utama seperti Kyiv atau Lviv, yang bukan sahaja menjejas rakyat awam tetapi juga bekalan tenaga Eropah. Selain itu, terdapat juga kemungkinan tekanan politik dalam Kesatuan Eropah (EU) sendiri, apabila negara anggota berdepan keletihan sokongan perang dan kos fiskal yang semakin berat.
Jika Ukraine dan sekutu Barat berjaya mengekalkan aliran bantuan ketenteraan serta kewangan, tahun 2026 mungkin menjadi tempoh pengukuhan kedudukan Ukraine, meskipun belum menandakan kemenangan yang jelas. Namun, jika sokongan itu merosot, terdapat risiko Rusia memperluas lagi cengkamannya di timur dan selatan Ukraine, sekali gus mengubah struktur keselamatan Eropah untuk jangka panjang.
Dalam kedua-dua kemungkinan, 2026 hampir pasti menyaksikan sebuah Eropah yang lebih bersenjata, lebih berhati-hati terhadap Russia, dan semakin bergantung kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) serta Amerika Syarikat.
Ekonomi Global 2026: Risiko Gelembung Ledakan Al
Dari segi ekonomi, beberapa laporan unjuran 2026 menjelaskan bahawa dunia sedang memasuki fasa rumit. Satu analisis daripada ING, misalnya, menyenaraikan pelbagai risiko yang boleh menggagalkan prospek 2026 termasuk kemungkinan gelembung kecerdasan buatan (AI), krisis hartanah di beberapa ekonomi besar, ledakan perbelanjaan pemerintah yang tidak mampan dan kejutan harga minyak.
Allianz Global Investors pula melihat selepas beberapa tahun kadar faedah tinggi, 2026 mungkin menyaksikan pelonggaran monetari yang lebih luas. Namun ia bukan semestinya membawa kestabilan. Penurunan kadar faedah boleh melonjakkan lagi harga aset berasaskan teknologi dan kewangan yang kurang dikawal, membuka ruang kepada ledakan gelembung baru dalam sektor Al dan ekonomi digital.
Dalam dunia pasca pandemik dan perang, pemerintah banyak negara sudah memperluaskan perbelanjaan fiskal untuk menampung subsidi tenaga, bantuan sosial dan perbelanjaan ketenteraan. Tahun 2026 boleh menjadi tahun di mana pasaran mula menguji had kesabaran terhadap hutang negara tertentu, terutama jika berlaku kombinasi antara ketidaktentuan politik, inflasi berterusan dan pertumbuhan perlahan.
Pilihan Raya Utama dan Kebarangkalian Pergeseran Politik
Secara politik, 2026 ialah tahun pilihan raya global yang padat. Kalendar pilihan raya nasional mencatatkan puluhan negara akan mengundi, termasuk beberapa ekonomi utama. Analisis risiko politik menyenaraikan Bangladesh, Brazil, Colombia, Hungary, Israel, Peru dan Sweden sebagai antara medan penting yang perlu diperhatikan, di samping pilihan raya pertengahan penggal di Amerika Syarikat.
Di Israel, pilihan raya 2026 boleh menjadi referendum tidak rasmi terhadap cara pemerintah menangani perang Gaza, hubungan dengan dunia Arab, serta keseimbangan antara kelompok agama dengan sekular. Jika blok pemerintah hilang sokongan, 2026 mungkin membuka fasa politik baru di Israel dengan kombinasi parti baru yang lebih pragmatik terhadap rundingan serantau, atau sebaliknya yang lebih nasionalis.
Di Amerika Syarikat, pilihan raya pertengahan penggal 2026 akan menjadi ujian penting kepada kedudukan Donald Trump yang kembali ke Rumah Putih. Pusat-pusat kajian politik menjangkakan kempen yang sangat terpisah dengan isu imigresen, tarif perdagangan, perang Ukraine, dan pengurusan konflik Asia Barat menjadi tema utama.
Jika parti pemerintah kehilangan kawalan di Kongres, baki penggal Trump mungkin dipenuhi kebuntuan institusi; jika sebaliknya Trump mengukuhkan majoriti, Amerika perlu bersedia untuk versi lebih tajam lebih tegas dan lantang daripada dasar “Amerika Didahulukan”.
Secara keseluruhan, 2026 boleh menjadi tahun yang mengalihkan lagi spektrum politik global ke arah polarisasi: lebih ramai pemimpin populis di satu sisi, dan di sisi lain, penolakan rakyat terhadap politik lama yang dianggap tidak responsif terhadap isu sebenar seperti kos sara hidup dan krisis iklim
Asia dan Asia Timur: Persaingan Kuasa Besar dan Rantaian Bekalan
Di Asia, 2026 dijangka mengekalkan persaingan strategik Amerika Syarikat dan China sebagai naratif utama. Laporan pelaburan antarabangsa menyatakan bahawa Russia dan Asia Timur kekal sebagai titik panas risiko geopolitik, dengan tumpuan khusus kepada kemungkinan ketegangan di sekitar Taiwan dan Laut China Selatan, menurut Allianz Global.
Walaupun perang terbuka tidak dijangka dalam masa terdekat, risiko salah perhitungan ketenteraan atau insiden maritim yang boleh mencetuskan krisis diplomatik tetap wujud dan tidak boleh dipandang ringan.
Pada masa yang sama, usaha menyusun semula rantaian bekalan global bagi mengurangkan pergantungan kepada China akan berterusan, memberikan peluang kepada negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk menjadi titik tumpuan baru dalam rangkaian pengeluaran global.
Namun manfaat ini datang bersama risiko. Perdagangan yang terpecah kepada blok geopolitik, sekatan teknologi, dan tekanan untuk memilih “sisi” dalam persaingan Amerika Syarikat – China boleh menjadikan 2026 tahun yang penuh dilema bagi negara Asia yang bergantung kepada kedua-dua kuasa besar untuk perdagangan, pelaburan dan keselamatan.
Titik Cerah: Piala Dunia dan Sidang Puncak Perubahan Iklim ke-31 (COP31)
Di sebalik segala ketidaktentuan, 2026 juga mempunyai titik cerah yang boleh menyatukan perhatian dunia. Piala Dunia 2026 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di 16 bandar merentasi Amerika Syarikat, Canada dan Mexico, buat pertama kali dengan 48 pasukan bertanding. Dari sudut geopolitik yang lebih halus, ia akan menjadi peluang untuk Amerika Utara mempamerkan imej keterbukaan dan kerjasama rentas sempadan pada saat dunia sedang berpecah mengikut garis geopolitik.
Pada hujung tahun, semua mata akan tertumpu ke Antalya, Turkey, yang akan menjadi tuan rumah Sidang Puncak Perubahan Iklim ke-31 (COP31) dari 9 hingga 20 November 2026. Persidangan ini dijangka menjadi ujian kritikal terhadap keseriusan negara untuk memenuhi sasaran iklim jangka sederhana. Dengan rekod bencana iklim beberapa tahun kebelakangan ini dan kegagalan negara memenuhi komitmen pembiayaan iklim, COP31 berpotensi menjadi sama ada lonjakan komitmen baru atau satu lagi peluang yang terlepas.
Bagi Asia Barat, menjadi tuan rumah COP31 memberikan Turkey peluang untuk menempatkan dirinya sebagai jambatan antara Eropah dengan dunia Islam dalam menangani isu iklim dan pembangunan mapan. Jika dimanfaatkan dengan berkesan, tahun 2026 boleh menjadi detik penting yang menyaksikan Asia Barat bukan sahaja dikenal sebagai rantau konflik, tetapi turut dilihat sebagai sebahagian daripada penyelesaian global terhadap krisis iklim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg