WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu mengesahkan bahawa senarai pemimpin dunia yang akan menganggotai Lembaga Keamanan Gaza hanya akan diumum awal tahun 2026, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa pengumuman tersebut bakal dibuat sebelum hujung tahun 2025.
Berucap pada satu acara ekonomi di Bilik Roosevelt, Rumah Putih, Encik Trump berkata ramai pemimpin dunia telah menyatakan minat untuk menyertai badan itu, yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada pelan gencatan senjata Gaza yang dirangka Washington.
“Raja-raja, presiden, perdana menteri semuanya mahu berada dalam Lembaga Keamanan Gaza. Kita akan umumkan pada tahun baru (2026). Ia akan menjadi salah satu badan paling bersejarah pernah diwujudkan, semua orang mahu menyertai,” kata Encik Trump.
Lembaga Keamanan Gaza diluluskan melalui Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 17 November, yang turut memberi kebenaran menubuhkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) bagi mentadbir wilayah Gaza secara sementara.
Resolusi yang digubal oleh Amerika Syarikat itu mentakrifkan Lembaga Keamanan Gaza sebagai sebuah pentadbiran peralihan yang bertanggungjawab merangka kerangka pembangunan semula Gaza, menyelaras bantuan serta pelaburan antarabangsa, dan beroperasi sehingga Penguasa Palestin (PA) menyiapkan program reformasi dalaman serta bersedia mengambil alih semula pentadbiran wilayah tersebut.
Namun, menurut pegawai Amerika perbincangan mengenai fasa kedua pelan damai Trump termasuk isu paling sukar iaitu pelucutan senjata Hamas masih terlalu awal. Israel menegaskan pembinaan Gaza tidak boleh dimulakan selagi Hamas tidak melucutkan senjata sepenuhnya serta menyerahkan baki mayat tebusan terakhir.
“Kami perlukan struktur keselamatan yang jelas sebelum IDF (Angkatan Pertahanan Israel) boleh diganti oleh mana-mana pasukan antarabangsa,” kata seorang pegawai Amerika kepada The Times of Israel.
Washington masih belum berjaya meyakinkan mana-mana negara untuk menyertai ISF, yang dijangka mengambil alih kawasan timur Gaza di mana tentera Israel masih beroperasi.
Pada 4 Disember, pegawai Rumah Putih memberi gambaran bahawa pengumuman fasa baru gencatan senjata akan dibuat dalam tempoh dua minggu. Namun apabila seorang wartawan bertanya mengenai status pengumuman tersebut, Encik Trump menjawab ringkas: “Kita akan buat awal tahun depan (2026).”
Jawapan itu meredakan jangkaan bahawa senarai keanggotaan Lembaga Keamanan Gaza akan disahkan lebih awal daripada jadual.
Encik Trump turut menegaskan bahawa beliau sendiri akan mempengerusi badan tersebut dan ia bakal disertai ramai pemimpin dunia. Namun, sehingga kini, tiada seorang pun pemimpin yang mengesahkan penyertaan secara terbuka.
Sementara itu, laporan The Guardian dan Financial Times mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair telah digugurkan daripada peranan utama dalam “majlis perdamaian” selepas bantahan kuat oleh negara Arab dan Muslim.
Encik Blair pada awalnya dianggap calon paling menonjol dalam pentadbiran pascaperang Gaza, malah Encik Trump pernah memanggilnya sebagai “seorang yang sangat baik”. Encik Blair juga diketahui melobi secara aktif untuk peranan tersebut melalui institutnya, Institut Tony Blair untuk Perubahan Global, yang menjalankan perbincangan strategik bersama menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner.
Namun, penentangan terhadap Encik Blair sangat ketara beberapa negara Arab melihat rekod beliau sebagai wakil Kuartet Timur Tengah dan peranan Britain dalam Perang Iraq sebagai liabiliti besar. “Amerika suka beliau, Israel suka beliau. Tetapi itu tidak bermakna rantau ini boleh menerima beliau,” kata seorang sumber kepada Financial Times.
Seorang sekutu Blair memberitahu The Guardian bahawa bekas Perdana Menteri itu “tidak akan menganggotai Lembaga Keamanan Gaza, mengesahkan penarikan diri yang tidak diumum secara rasmi.
Di sebalik struktur damai 20 perkara yang diumumkan Encik Trump pada September, pelan itu menerima kritikan kerana memisahkan Gaza daripada Tebing Barat, sesuatu yang dilihat ramai penganalisis sebagai usaha memecah belah wilayah Palestin.
Encik Trump, ketika ditanya sama ada Blair kekal pilihan yang sesuai, menjawab: “Saya selalu suka Tony. Tetapi saya mahu pastikan semua pihak dapat menerimanya.”
Buat masa ini, Washington masih merangka pembentukan pemerintah teknokrat Palestin yang akan bekerja rapat dengan sebuah jawatankuasa eksekutif yang lebih berkuasa berbanding Lembaga Keamanan Gaza melibatkan Encik Kushner; utusan presiden Encik Steve Witkoff; bekas utusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Encik Nikolay Mladenov dan tokoh antarabangsa lain.
Dengan pelbagai komponen pentadbiran Gaza masih belum dimuktamadkan, penganalisis melihat pengumuman awal tahun 2026 sebagai ujian penting terhadap keupayaan Encik Trump menggerakkan pelan damai paling kompleks dalam sejarah moden Timur Tengah.
Sehingga kini, banyak persoalan masih belum berjawab tetapi satu perkara jelas: pembentukan Gaza Board of Peace hanyalah langkah pertama dalam proses panjang menentukan masa depan wilayah yang telah hancur akibat peperangan.
“Gaza memerlukan lebih daripada struktur pentadbiran baharu ia memerlukan kepercayaan, keselamatan dan komitmen antarabangsa,” kata seorang diplomat Arab yang enggan dinamakan. “Dan itu belum lagi wujud sepenuhnya.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg