39 maut dalam nahas 2 kereta api laju tergelincir di Sepanyol

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

39 maut dalam nahas 2 kereta api laju tergelincir di Sepanyol

Jan 19, 2026 | 12:57 PM

39 maut dalam nahas 2 kereta api laju tergelincir di Sepanyol

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Spain, train, crash, kereta api laju, kemalangan, nahas
Rakaman video yang diambil daripada imej kandungan jana pengguna (UGC) yang dimuat naik di media sosial dan disahkan oleh pasukan AFPTV di Madrid menunjukkan petugas kecemasan menjalankan operasi selepas satu kemalangan kereta api di Adamuz, selatan Sepanyol, pada 18 Januari. - Foto AFP

MADRID: Sebuah kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan melanggar sebuah lagi kereta api yang datang dari arah bertentangan di selatan Sepanyol pada 18 Januari, membunuh sekurang-kurangnya 39 orang, kata sumber polis.

Menteri Pengangkutan Sepanyol, Encik Oscar Puente, berkata punca nahas itu masih belum diketahui tetapi beliau “sangat pelik” kereta api yang tergelincir itu sepatutnya berlaku di landasan lurus.

Beliau memberitahu media di stesen Atocha di Madrid bahawa bahagian landasan berkenaan telah diperbaharui pada Mei 2025.

Kemalangan itu berlaku berhampiran Adamuz, di wilayah Cordoba, kira-kira 360 kilometer di selatan ibu kota Madrid.

Seorang ketua kesihatan serantau berkata 18 orang yang cedera telah dipindahkan ke hospital, ada yang mengalami luka yang boleh mengancam nyawa.

Stesen penyiar televisyen Espanola melaporkan bahawa pemandu salah satu kereta api, yang dalam perjalanan dari Madrid ke Huelva, adalah antara mereka yang meninggal dunia dan sejumlah 100 orang cedera, dengan 25 orang daripada mereka parah.

“Kereta api Iryo 6189 Malaga arah ke Madrid telah tergelincir dari landasan di Adamuz, terhempas ke landasan bersebelahan.

“Kereta api dari Madrid ke Huelva pula yang sedang dalam perjalanan di landasan bersebelahan juga telah tergelincir,” kata Adif, syarikat yang mengendalikan rangkaian kereta api, dalam catatan media sosial.

Adif berkata kemalangan itu berlaku pada 6.40 petang (1.40 pagi waktu Singapura pada Isnin), kira-kira 10 minit selepas kereta api Iryo meninggalkan Cordoba menuju ke Madrid.

Iryo ialah pengendali kereta api swasta, yang majoritinya dimiliki oleh kumpulan kereta api yang dikawal oleh pemerintah Italy, Ferrovie dello Stato.

Kereta api yang terlibat ialah kereta api Freccia 1000 yang sedang dalam perjalanan antara Malaga dengan Madrid, kata jurucakap Ferrovie dello Stato.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata bahawa ia amat kesal dengan nahas yang telah berlaku dan telah mengaktifkan semua protokol kecemasan untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa.

Kereta api kedua, Alvia, dikendalikan oleh Renfe, yang dilaporkan oleh El Pais bergerak pada kelajuan sekitar 200 kilometer sejam ketika nahas berlaku.

Renfe berkata kereta apinya tergelincir disebabkan oleh kereta api Iryo tergelincir ke laluannya.

Kereta api Iryo membawa lebih daripada 300 penumpang, manakala kereta api Renfe membawa sekitar 100 orang.

Adif telah menggantung semua perkhidmatan kereta api antara Madrid dengan Andalusia. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg