AMMAN/ISTANBUL: Sejumlah 21 negara Arab dan Islam mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk serangan udara Israel ke atas Iran.
Ia turut menggesa agar meredakan ketegangan, pelucutan senjata nuklear “tanpa memilih” dan menghormati undang-undang antarabangsa, lapor agensi berita Turkey, Anadolu Ajansi (AA).
Menurut agensi berita Mesir, Mena, kenyataan bersama itu menyusuli daya usaha Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, yang mengadakan rundingan dengan rakan serantaunya.
Negara yang terlibat dalam inisiatif itu ialah Turkey, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Bahrain, Brunei, Chad, Gambia, Algeria, Comoros, Djibouti, Arab Saudi, Sudan, Somalia, Iraq, Oman, Qatar, Kuwait, Libya, Mesir dan Mauritania.
Menteri luar negara tersebut sepakat mengecam serangan Israel ke atas wilayah Iran sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Mereka menekankan kepentingan menegakkan kedaulatan negara, integriti wilayah dan prinsip kejiranan yang baik, sambil menggesa penyelesaian pertikaian secara aman.
Kumpulan menteri itu turut melahirkan kebimbangan mendalam terhadap konflik yang kian memuncak, memberi amaran tentang kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.
Mereka menggesa agar permusuhan Israel dihentikan serta-merta dan usaha menyeluruh untuk meredakan keadaan ke arah melaksanakan gencatan senjata.
Ketegangan meningkat secara mendadak sejak 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara yang diselaraskan di beberapa lokasi strategik di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear.
Media sebelum ini melaporkan setakat 16 Jun, seramai 224 orang di Iran telah terkorban, separuh daripadanya adalah kanak-kanak.
Lebih 1,400 orang cedera, dengan 90 peratus merupakan orang awam.
Serangan terkini Israel turut mengorbankan enam pegawai tertinggi keselamatan Iran termasuk Ketua Perisikan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Brigadier Jeneral Mohammad Kazemi, dan timbalannya.
Sejak 13 Jun, Israel memperhebat serangan termasuk ke atas sektor tenaga Iran.
Serangan udara telah memusnahkan kemudahan loji gas South Fars, salah satu yang terbesar di dunia untuk kegunaan dalaman Iran.
Setakat ini, 13 orang awam Israel terbunuh dalam serangan balas Iran sejak 13 Jun.
Golongan pengamat bimbang konflik itu akan merebak menjadi perang serantau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg