TEHERAN: Media pemerintah Iran secara rasmi pada 16 Jun mengesahkan bahawa ketua perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigedier-Jeneral (BG) Mohammad Kazemi dan timbalannya Hassan Mohaqiq terbunuh dalam serangan Israel.
Agensi berita Tasnim juga berkata pegawai perisikan ketiga IRGC, Encik Mohsen Bagheri, turut terbunuh dalam serangan di Teheran itu.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah pun menyatakan sebelum ini bahawa BG Kazemi dan Encik Mohaqiq telah dibunuh.
Israel dan Iran melancarkan serangan ke atas satu sama lain untuk hari ketiga berturut-turut pada 15 Jun, membunuh ramai orang awam dan menimbulkan kebimbangan konflik yang lebih meluas.
Di tengah-tengah jumlah kematian terus meningkat, kedua-dua pihak telah mengancam melancarkan serangan dengan kekuatan yang lebih besar.
Sekurang-kurangnya 14 orang telah disahkan maut di Israel.
Media negara Iran pula menyatakan jumlah kematian serangan Israel ke atas Iran telah meningkat kepada 224 sejak 13 Jun, sambil menambah bahawa majoriti adalah orang awam.
Buat pertama kalinya, Iran turut melancarkan serangan siang hari terhadap Israel.
Sekurang-kurangnya satu daripada peluru berpandu yang dilancarkan pada petang 15 Jun melanda sebuah bangunan di bandar pantai Haifa, mencederakan empat orang, menjadikan jumlah yang cedera di seluruh Israel kepada 15 orang.
Rakyat Israel kini telah diberitahu mereka boleh meninggalkan tempat perlindungan, selepas serangan peluru berpandu itu menyebabkan beberapa kecederaan ringan dan kerosakan di utara dan selatan negara itu.
Di Iran, imej dari ibu negara menunjukkan langit malam diterangi oleh kebakaran besar di depoh bahan api selepas Israel memulakan serangan terhadap sektor minyak dan gasnya.
Sementara itu, rundingan nuklear Amerika dan Iran telah dibatalkan pada 15 Jun, dan seorang pegawai Amerika Syarikat menyatakan bahawa Presiden Donald Trump telah menolak rancangan Israel untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei.
Dalam pada itu, Encik Khamenei dilaporkan telah dipindahkan ke kubu bawah tanah di timur laut Teheran beberapa jam selepas Israel memulakan serangan pada 13 Jun. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg