LONDON: Britain dan Perancis adalah antara 21 negara yang menandatangani kenyataan bersama pada 21 Ogos mengecam projek petempatan di Tebing Barat dengan menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang antarabangsa”.
Israel meluluskan rancangan untuk projek seluas kira-kira 12 kilometer persegi yang dikenali sebagai Pelan E1 di sebelah timur Baitulmakdis pada 20 Ogos.
“Kami mengecam keputusan ini dan menggesa agar keputusan itu dibatalkan dengan segera,” kata kenyataan tersebut yang turut ditandatangani Australia, Canada, Italy dan ketua hal ehwal luar Suruhanjaya Eropah.
Negara lain termasuk Belgium, Denmark, Estonia, Finland, Iceland, Ireland, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Belanda, Norway, Portugal, Slovenia, Sepanyol dan Sweden turut menandatangani kenyataan itu, selain ketua hal ehwal luar Suruhanjaya Eropah.
Kenyataan itu menyatakan bahawa Menteri Kewangan paling kanan Israel, Encik Bezalel Smotrich, berkata rancangan itu “akan menjadikan penyelesaian dua negara mustahil dicapai dengan membahagikan negara Palestin dan menyekat akses Palestin ke Baitulmakdis”.
“Ini tidak membawa faedah kepada rakyat Israel,” kata kalangan menteri luar negara tersebut.
“Sebaliknya, ia berisiko menjejas keselamatan dan menyemarakkan lagi keganasan dan ketidakstabilan, membawa kita lebih jauh daripada keamanan.
“Pemerintah Israel masih mempunyai peluang untuk menghentikan pelan E1 daripada diteruskan.
“Kami menggalakkan mereka menarik balik pelan ini dengan segera,” tambah mereka.
Pelan itu bertujuan membina sekitar 3,400 rumah di kawasan sangat sensitif yang terletak di antara Baitulmakdis dengan petempatan Israel di Maale Adumim.
Semua petempatan Israel di Tebing Barat, yang diduduki sejak 1967, dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa, tidak kira sama ada mereka telah mendapat kebenaran daripada perancang Israel.
Penguasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Ramallah telah menyelar tindakan terkini Israel itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, dan ketua agensi PBB bagi pelarian Palestin Encik Philippe Lazzarini, turut mengecam tindakan Israel.
Projek itu akan “memutuskan sepenuhnya utara dan tengah Tebing Barat dari selatan Tebing Barat – bermakna tidak akan ada lagi sempadan wilayah”, kata Encik Lazzarini.
Beliau menarik perhatian bahawa Israel sedang mengambil keputusan yang akan menjadikan penciptaan dua negara “semakin mustahil”.
Kenyataan dari pejabat Encik Gutarres sebelum ini turut memberi amaran bahawa langkah sedemikian akan “mengukuhkan lagi pendudukan, mencetus ketegangan dan secara sistematik melemahkan kebolehlaksanaan penubuhan sebuah negara Palestin sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara”.
Britain pada 21 Ogos telah memanggil Duta Israel ke Britain, Encik Tzipi Hotovely, ke kementerian luar bagi membantah keputusan itu.
“Jika dilaksanakan, rancangan petempatan ini merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan dan akan membahagikan negara Palestin masa depan kepada dua, secara kritikal menjejas penyelesaian dua negara,” kata kementerian luar Britain itu dalam satu kenyataan. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg