Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi, Perancis pimpin seruan penyelesaian dua negara Palestin-Israel

Jul 30, 2025 | 10:33 AM
bantahan, palestin, israel, PBB
Sekumpulan peserta mengadakan tunjuk perasaan menyokong Palestin di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika persidangan mengenai Palestin dan penyelesaian dua negara sedang berlangsung pada 29 Julai di New York. - Foto AFP

NEW YORK: Arab Saudi dan Perancis pada 29 Julai mengetuai usaha diplomatik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menyeru negara anggota agar menyokong satu deklarasi penting yang menetapkan langkah konkrit, terikat waktu dan tidak boleh diubah bagi merealisasikan penyelesaian dua negara Palestin dan Israel.

Deklarasi setebal tujuh muka surat itu merupakan hasil daripada persidangan antarabangsa anjuran bersama Arab Saudi dan Perancis, yang berlangsung di New York.

Namun, Amerika Syarikat dan Israel memboikot persidangan tersebut, yang dilihat sebagai percubaan berani untuk menghidupkan kembali rundingan damai yang telah lama terhenti.

“Kami menyeru anda semua menyokong dokumen ini sebelum berakhirnya Sidang Umum ke-79 dengan menghubungi misi Arab Saudi dan Perancis di New York,” kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud dalam ucapannya pada 29 Julai.

Sidang Umum PBB ke-80 dijadual bermula September ini.

Langkah pertama dalam deklarasi itu adalah menamatkan perang yang telah berlarutan selama 22 bulan antara Israel dengan Hamas di Jaluran Gaza.

“Selepas gencatan senjata, sebuah jawatankuasa pentadbiran peralihan mesti segera ditubuhkan untuk mentadbir Gaza di bawah naungan Penguasa Palestin (PA),” jelas dokumen itu.

Ketika ini, PA hanya mempunyai kuasa terhad di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Deklarasi tersebut juga menyokong penempatan misi penstabilan antarabangsa sementara yang diberikan mandat oleh Majlis Keselamatan PBB, dan mengalu-alukan kesediaan beberapa negara anggota untuk menyumbang pasukan.

Deklarasi tersebut menyeru kepimpinan Israel agar membuat komitmen awam yang jelas terhadap penyelesaian dua negara, termasuk pengiktirafan kepada sebuah negara Palestin yang berdaulat dan berdaya maju.

Ia juga menuntut Israel menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin, menghentikan aktiviti petempatan haram, rampasan tanah dan penaklukan termasuk di Baitulmakdis Timur.

Antara langkah tegas lain termasuk mengenakan sekatan ke atas pelampau Yahudi yang ganas serta individu dan entiti yang melanggar prinsip penyelesaian secara aman menerusi keganasan atau pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Menurut teks deklarasi: “Hanya dengan menamatkan perang di Gaza, membebaskan semua tebusan, menamatkan penjajahan, menolak keganasan dan keganasan balas, merealisasikan negara Palestin yang berdaulat, demokratik dan bebas, serta menyediakan jaminan keselamatan kepada kedua-dua Israel dan Palestin, barulah hubungan normal dan kewujudan bersama antara negara-negara di rantau ini boleh dicapai.”

Hampir 30 menteri dan wakil negara anggota berkumpul di PBB pada 28 Julai untuk menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara.

Majlis Umum PBB telah bersetuju sejak September 2024 bahawa satu persidangan seperti ini perlu diadakan pada 2025.

Ia sepatutnya berlangsung lebih awal, tetapi ditangguhkan berikutan konflik antara Israel dan Iran.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mengingatkan bahawa persidangan ini “tidak boleh menjadi satu lagi retorik semata-mata,” sambil menegaskan bahawa penyelesaian dua negara kini “lebih jauh daripada sebelumnya”.

Satu perkembangan luar biasa turut dicatatkan apabila beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi, Qatar dan Mesir menyokong seruan supaya Hamas menyerahkan kuasa dan senjata di Gaza kepada PA.

Ini merupakan kali pertama negara-negara Arab membuat kenyataan terbuka yang begitu keras terhadap Hamas.

“Dalam konteks menamatkan perang di Gaza, Hamas mesti menamatkan pemerintahan mereka dan menyerahkan senjata kepada Penguasa Palestin dengan penglibatan serta sokongan antarabangsa,” menurut deklarasi itu.

Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot menyifatkan deklarasi itu sebagai “bersejarah dan tidak pernah berlaku sebelum ini.” Beliau berkata: “Buat pertama kalinya, negara-negara Arab dan Timur Tengah mengutuk Hamas, mengutuk serangan 7 Oktober, menyeru perlucutan senjata Hamas, dan menyatakan hasrat untuk menormalkan hubungan dengan Israel pada masa hadapan.”

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengumumkan sebelum ini bahawa Perancis akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada September. Pengumuman itu mendapat bantahan keras daripada Israel dan Amerika Syarikat.

Pada 28 Julai Luxembourg memberi bayangan bahawa ia mungkin akan mengikut langkah Perancis, diikuti negara lain.

Dalam satu kenyataan bersama lewat 28 Julai, 15 negara Barat termasuk Perancis dan Sepanyol menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada penyelesaian dua negara.

Sembilan negara yang belum lagi mengiktiraf Palestin termasuk Australia, Canada, New Zealand, Portugal dan Finland menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan pengiktirafan dalam masa terdekat.

Walaupun Israel dan sekutunya Amerika Syarikat tidak hadir dalam persidangan ini, tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk menghidupkan semula jalan diplomasi.

“Kami telah melihat terlalu banyak pertumpahan darah. Ini masa untuk keberanian politik,” tegas Putera Faisal. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg