JAKARTA: Sekitar 2,200 anggota tentera dan pegawai awam dari 19 negara menyertai latihan tindak balas bencana besar-besaran di Banten, Indonesia, menjadikannya latihan terbesar di bawah kerangka Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean Plus (ADMM-Plus) dalam tempoh sedekad berdasarkan jumlah peserta.

Latihan Trident Resolve, yang berlangsung dari 20 hingga 26 September, menghimpunkan kesemua 11 negara Asean bersama lapan rakan dialog – Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat.

Kali terakhir latihan ADMM-Plus melibatkan lebih ramai peserta adalah di Singapura dan Brunei pada 2016.

Latihan keselamatan maritim dan menangani pengganasan ketika itu membabitkan kira-kira 3,500 anggota dari 18 negara, selain 18 kapal tentera laut dan 25 pesawat.

Trident Resolve kali ini menjadi latihan lapangan gabungan ADMM-Plus pertama yang menyatukan tiga Kumpulan Kerja Pakar dalam satu latihan, masing-masing dalam bidang keselamatan siber, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR), serta perubatan ketenteraan, lapor The Straits Times.

Latihan diadakan di tujuh lokasi darat dan kawasan laut bagi menguji keupayaan tentera serta agensi awam dari pelbagai negara bekerjasama menghadapi bencana berskala besar.

Antara operasi yang diuji termasuk mencari dan menyelamat, pemindahan dan rawatan mangsa, tindak balas terhadap ancaman kimia, biologi dan radiologi serta membaiki prasarana yang rosak.

Senario latihan berdasarkan kejadian gempa bumi yang disusuli letusan Anak Krakatau dan tsunami, menurut pemerintah wilayah Banten.

Banten dipilih kerana kedudukannya yang mempunyai garis pantai panjang, menghadap Selat Sunda serta terdedah kepada risiko aktiviti gunung berapi Anak Krakatau.

Pemilihan senario itu juga mempunyai kaitan rapat dengan risiko sebenar yang dihadapi wilayah berkenaan.

Anak Krakatau meletus pada awal September, memuntahkan abu sehingga menjejas penerbangan di beberapa kawasan Indonesia.

Lima wartawan dan tiga kru bot kemudian dilaporkan hilang selepas bertolak dari Banten untuk membuat liputan mengenai letusan itu.

Operasi mencari mereka dihentikan selepas 10 hari tanpa menemui mangsa.

Anak Krakatau juga mencetuskan tsunami di Selat Sunda pada 2018 yang mengorbankan lebih 400 orang.

Menurut pemerintah Banten, pengalaman bencana itu menunjukkan pentingnya persediaan, sistem amaran awal dan penyelarasan berkesan antara pelbagai agensi ketika berdepan kecemasan.

Singapura turut memainkan peranan penting dalam latihan kali ini dengan mengerahkan kapal pendarat kereta kebal RSS Endeavour.

Kapal itu mempunyai keupayaan pembedahan menerusi kemudahan perubatan dalam kontena maritim yang boleh dikerahkan dengan pantas.

RSS Endeavour beroperasi bersama kapal hospital Indonesia, KRI dr. Soeharso, bagi menyokong kemudahan perubatan di darat dan merawat mangsa dalam simulasi bencana.

Singapura juga membantu penyelarasan operasi pelbagai negara menerusi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana Serantau Changi (RHCC).

Sistem maklumat komputer OPERA yang dikendalikan pusat itu mengumpulkan maklumat daripada agensi bencana nasional dan pelbagai sumber lain sebelum berkongsi dengan tentera negara peserta menerusi sebuah portal dalam talian.

Maklumat tersebut membolehkan pasukan bantuan memperoleh gambaran bersama mengenai keperluan di kawasan bencana, operasi bantuan yang sedang dijalankan serta bantuan antarabangsa yang sudah dikerahkan.

Ia sekali gus membantu pasukan menentukan lokasi yang paling memerlukan sumber dan mengurangkan risiko bantuan bertindih atau kawasan tertentu tercicir.

Sistem itu pernah digunakan selepas gempa bumi Nepal pada 2015, apabila pasukan dari Singapura dikerahkan ke Kathmandu untuk membantu tentera Nepal menyelaraskan bantuan ketenteraan asing.

Anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dalam latihan di Banten turut menyokong usaha kemanusiaan yang diterajui Indonesia untuk masyarakat setempat, termasuk membina tempat perlindungan dan menjalankan kerja prasarana.

Satu lagi tumpuan utama Trident Resolve ialah keselamatan siber.

Latihan itu merupakan latihan lapangan pertama Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus mengenai Keselamatan Siber, dengan peserta menguji cara melindungi sistem maklumat daripada gangguan atau pencerobohan ketika operasi bantuan bencana pelbagai negara sedang berlangsung.

Aspek itu dianggap semakin penting kerana operasi bantuan moden bergantung pada rangkaian komunikasi dan perkongsian data bagi menyelaraskan pergerakan anggota, peralatan dan bekalan.

Pegawai kanan pertahanan negara peserta melawat lokasi latihan di Banten pada 22 September.

Ketua Inspektor Kementerian Pertahanan Indonesia, Leftenan Jeneral Rui F.G.P. Duarte, menyifatkan latihan itu sebagai satu “pencapaian penting” dalam kerjasama praktikal antara Asean dengan negara rakan.

“Selain matlamat operasinya, latihan ini turut memperkukuh kepercayaan dan persahabatan dalam kalangan negara peserta,” katanya.

Indonesia menjadi tuan rumah Trident Resolve, manakala tiga bidang latihan dianjurkan bersama oleh negara berbeza.

Australia dan Kemboja mengetuai komponen keselamatan siber, Singapura dan New Zealand bagi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana, manakala Indonesia dan Amerika Syarikat mengetuai komponen perubatan ketenteraan.

Latihan itu bukan sahaja menguji keupayaan setiap negara bertindak ketika bencana, malah kemampuan 19 negara berkongsi maklumat, menyelaras sumber dan menjalankan operasi bersama apabila kecemasan besar melangkaui kemampuan sesebuah negara.