230,000 wanita dan kanak-kanak perempuan sukar akses kesihatan di Gaza
230,000 wanita dan kanak-kanak perempuan sukar akses kesihatan di Gaza
WASHINGTON: Lebih 230,000 wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza, termasuk hampir 15,000 wanita hamil, sukar mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerana operasi ketenteraan Israel, meskipun gencatan senjata dilaksanakan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Januari.
Jurucakapnya, Encik Stephane Dujarric, memetik Dana Populasi PBB (UNFPA), sebagai memberi amaran bahawa “terdapat peningkatan risiko keganasan berasaskan jantina, perkahwinan kanak-kanak, dan eksploitasi wanita dan kanak-kanak perempuan.”
Beliau menambah bahawa kerosakan pada kemudahan kesihatan, ruang selamat dan klinik, digabungkan dengan perpindahan penduduk dan banjir, telah “mengehadkan akses kepada sokongan psikososial dan rawatan perubatan.”
Rakan badan kemanusiaan PBB telah mendekati lebih daripada 13,000 isi rumah sejak 18 Januari, katanya, sambil menambah bahawa mereka mengagihkan “beratus-ratus khemah” bersama-sama dengan tilam, selimut, pakaian panas, peralatan memasak dan lampu solar.
Kekangan kapasiti dan pembiayaan bermakna sokongan pada masa ini hanya menjangkau kira-kira 40 peratus daripada 970 khemah pelarian di Gaza, ujar beliau.
Perang Israel ke atas Gaza yang bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, dan berlangsung selama dua tahun, telah membunuh lebih 71,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Bahkan, kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza telah musnah akibat serangan berterusan Israel itu.
Perang juga menyebabkan berlaku masalah kebuluran yang serius akibat sekatan yang dikenakan oleh tentera Israel dan berkurangnya bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke wilayah Palestin itu.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, serangan Israel telah membunuh 483 rakyat Palestin dan mencederakan 1,287 yang lain.
Israel juga didakwa telah menyekat kemasukan makanan, bahan perlindungan dan bekalan perubatan ke Gaza, di mana 2.4 juta rakyat Palestin hidup dalam keadaan serba serbi daif.
Media sebelum ini melaporkan Israel telah merobohkan struktur di dalam kompleks agensi Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Baitulmakdis Timur pada 20 Januari selepas merampas tapak tersebut pada 2025.
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengutuk tindakan itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.
Beberapa bekas kakitangan UNRWA berkata struktur yang dirobohkan pada 20 Januari itu digunakan untuk menyimpan bantuan kemanusiaan bagi Tebing Barat dan Gaza.
Israel mendakwa bahawa beberapa kakitangan UNRWA adalah anggota kumpulan Hamas yang mengambil bahagian dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. - Agensi berita

