AS umum penubuhan badan pentadbiran Palestin bagi Gaza
WASHINGTON/GAZA: Amerika Syarikat mengumumkan penubuhan sebuah badan pentadbiran Palestin bersifat teknokrat bagi mentadbir Gaza dalam tempoh peralihan.
Ia merupakan sebahagian daripada fasa kedua pelan berperingkat Presiden Donald Trump untuk masa depan wilayah yang musnah akibat perang itu.
Pengumuman tersebut dibuat utusan khas Encik Trump, Encik Steve Witkoff, pada 14 Januari yang menyatakan bahawa Fasa Kedua Pelan 20 Perkara Presiden itu kini bergerak daripada gencatan senjata kepada pelucutan senjata, tadbir urus teknokrat dan pembinaan semula Gaza.
“Hari ini (14 Januari, bagi pihak Presiden Trump, kami mengumumkan pelancaran Fasa Kedua Pelan 20 Perkara Presiden untuk menamatkan konflik Gaza, dengan peralihan daripada gencatan senjata kepada penghapusan keupayaan ketenteraan, pentadbiran teknokrat dan pembinaan semula,” kata Encik Witkoff, dalam kenyataan di wadah X.
Di bawah pelan tersebut, sebuah badan Palestin baru yang dinamakan, Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG), akan memainkan peranan utama dalam mengurus wilayah itu.
Ia berada di bawah pengawasan sebuah lembaga antarabangsa yang dinamakan, Lembaga Keamanan, yang bertujuan mentadbir Gaza dalam tempoh peralihan.
Namun, persoalan terbesar yang masih belum terjawab ialah bagaimana kumpulan Hamas akan dilucutkan senjata, satu syarat utama dalam fasa kedua pelan itu.
Walaupun Hamas dan Israel bersetuju terhadap pelan Encik Trump pada Oktober lalu, kumpulan itu setakat ini belum menunjukkan kesediaan untuk menyerahkan senjata.
Di bawah fasa pertama, kedua-dua pihak bersetuju kepada gencatan senjata, pertukaran tebusan dan tahanan, pengunduran separa tentera Israel, serta peningkatan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Fasa kedua pula memberi tumpuan kepada pelucutan ketenteraan penuh Gaza dan pembinaan semula wilayah tersebut.
Encik Witkoff memberi amaran tegas Washington menjangkakan Hamas mematuhi sepenuhnya komitmen mereka.
“Amerika Syarikat menjangka Hamas mematuhi sepenuhnya kewajipannya, termasuk pemulangan segera mayat tebusan Israel terakhir. Kegagalan berbuat demikian akan membawa akibat serius,” katanya.
Jawatankuasa NCAG akan diketuai Encik Ali Shaath, mantan Timbalan Menteri dalam Penguasa Palestin (PA) yang disokong Barat, kata kenyataan bersama Mesir, Qatar dan Turkey sebagai negara pengantara.
Encik Shaath sebelum ini terlibat dalam pembangunan zon perindustrian Palestin.
Beberapa anggota lain termasuk tokoh sektor swasta dan pertubuhan bukan pemerintah yang dipilih oleh Encik Nickolay Mladenov, bekas utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Asia Barat, yang dijangka mewakili Lembaga Keamanan di Gaza.
Encik Witkoff bagaimanapun tidak memperincikan jumlah penuh anggota jawatankuasa, manakala pengumuman lanjut mengenai Lembaga Keamanan dijangka dibuat di Davos, Switzerland, sempena Forum Ekonomi Dunia minggu hadapan, ujar seorang diplomat Eropah.
Di bawah pelan Encik Trump, Lembaga Keamanan akan dipengerusikan sendiri oleh Presiden Amerika, satu langkah yang mencerminkan penglibatan langsung Washington dalam pentadbiran pascaperang Gaza.
Pelan itu turut menyebut penempatan satu Pasukan Penstabilan Antarabangsa untuk melatih dan menyokong pasukan polis Palestin yang telah ditapis.
Dalam satu kenyataan di X, Naib Presiden Palestin Encik Hussein Al-Sheikh menyambut baik usaha Amerika meneruskan pelan berperingkat Gaza dan menyatakan sokongan terhadap jawatankuasa teknokrat itu.
Beliau menegaskan institusi di Gaza perlu dihubungkan dengan pentadbiran PA di Tebing Barat.
“Ini bagi menegakkan prinsip satu sistem, satu undang-undang dan satu senjata yang sah,” katanya, merujuk kepada keperluan penyatuan tadbir urus Palestin.
Hamas sebelum ini bersetuju menyerahkan pentadbiran Gaza kepada jawatankuasa teknokrat, tetapi menegaskan isu masa depan Gaza dan hak Palestin perlu dibincangkan dalam kerangka nasional Palestin yang terangkum.
Kumpulan itu juga berulang kali menyatakan senjata hanya akan diserahkan jika sebuah negara Palestin yang merdeka diwujudkan.
Rundingan terkini di Kahirah antara Hamas dengan pihak pengantara kini tertumpu kepada isu pelucutan senjata, ujar sumber Mesir.
Pengunduran lanjut tentera Israel dari Gaza pula dikaitkan secara langsung dengan pelucutan senjata kumpulan bersenjata Palestin.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober, pelaksanaannya kekal rapuh.
Serangan udara Israel dilaporkan terus berlaku, dengan Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan lebih 440 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata bermula, termasuk sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak, tambah Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian, manakala Israel dilapor melengahkan pembukaan semula lintasan Rafah ke Mesir.
Keadaan kemanusiaan di Gaza kekal genting, dengan PBB menegaskan keperluan aliran bantuan tanpa sekatan.
Menurut anggaran PBB, kos pembinaan semula Gaza melebihi AS$50 bilion ($64.4 bilion) dan dijangka mengambil masa bertahun-tahun, sementara komitmen kewangan antarabangsa masih terhad. – Agensi berita.

