JAKARTA: Sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan maut dalam kebakaran besar yang memusnahkan sebuah kilang gula-gula di wilayah Banten, Indonesia, manakala 29 pekerja masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan.

Kebakaran berlaku pada malam 21 November di sebuah bangunan kilang PT Fonusa Agung Mulia di Cikande, daerah Serang, kira-kira sejam perjalanan dari Jakarta.

Penasihat Presiden Indonesia bagi hal ehwal buruh, Encik Said Iqbal, pada 23 November mengumumkan angka kematian itu sambil memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran dan tahap pematuhan prosedur keselamatan di kilang berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas penyaman udara.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.

Encik Said berkata beliau akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif kilang itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan langkah keselamatan dan prosedur kecemasan.

Kebakaran yang merebak dengan pantas menyebabkan sebahagian bangunan rosak teruk, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat pekerja yang dipercayai masih terperangkap.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Banten,Encik Al Amrad, berkata operasi mencari mangsa diteruskan pada 23 November meskipun pasukan penyelamat berdepan keadaan berbahaya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Menurutnya, beberapa kawasan kilang masih mempunyai sisa kebakaran, manakala struktur bangunan yang semakin tidak stabil meningkatkan risiko runtuhan.

Pasukan penyelamat setakat ini sudah membawa keluar 24 beg mayat yang mengandungi cebisan anggota badan mangsa.

Namun, pihak berkuasa di lokasi kejadian belum dapat mengesahkan jumlah sebenar korban kerana satu beg mayat mungkin mengandungi anggota badan lebih daripada seorang mangsa.

Encik Al Amrad berkata 29 orang disahkan selamat, termasuk lima yang dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kenyataan berasingan, pihak kilang memaklumkan bahawa daripada 65 pekerja yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian itu, 24 sudah pulang ke rumah, empat menerima rawatan perubatan, 29 masih hilang dan lokasi lapan yang lain belum dapat dipastikan.

Keadaan mayat yang rentung teruk turut menyukarkan usaha mengenal pasti identiti mangsa.

Pegawai polis yang bertanggungjawab dalam proses pengecaman mangsa bencana, Cik Wahyu Hidayati, berkata api kebakaran yang begitu marak menyebabkan mangsa tidak dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan fizikal.

Sehubungan itu, pihak berkuasa sedang mengumpulkan contoh asid deoksiribonukleik (DNA) daripada anggota keluarga serta barangan peribadi pekerja yang dilaporkan hilang.

Menurutnya, proses pengecaman itu dijangka mengambil masa antara dua dengan tiga minggu.

Semua beg mayat yang mengandungi cebisan anggota badan mangsa sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 15 jentera bomba dengan bantuan meriam air dikerah untuk memadamkan kebakaran yang masih marak di beberapa bahagian kilang lebih 12 jam selepas kejadian bermula.

Pegawai Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Banten, Encik Rizky Dwianto, berkata usaha memadamkan api dijalankan secara berterusan bagi membolehkan pasukan penyelamat memasuki kawasan yang terjejas.

Operasi itu turut membabitkan pasukan polis, tentera, Palang Merah Indonesia dan sukarelawan.

Ketua Operasi Jabatan Bomba Serang, Encik Tubagus Mahfud, berkata kebakaran sebahagian besarnya berjaya dikawal pada 22 November, namun kerja penyejukan masih perlu dilakukan sebelum semua bahagian bangunan dapat diperiksa.

Menurutnya, sisa kebakaran masih tertumpu di bahagian tengah dan belakang kilang.

“Kami sedang menjalankan pemeriksaan di kawasan yang sudah berjaya dikawal.

“Sebahagian struktur bangunan runtuh, manakala keadaan pencahayaan yang kurang baik menyebabkan anggota bomba perlu bergerak dengan berhati-hati,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa bahan pengeluaran yang disimpan di kilang berkenaan boleh menyebabkan api marak semula jika proses penyejukan tidak dilakukan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif kilang, Encik Steven Erwin Wijaya, berkata kira-kira 300 pekerja berada di kompleks berkenaan ketika syif pada 21 November.

“Kami amat sedih dan prihatin terhadap tragedi ini.

“Kami sudah menyediakan talian khas untuk keluarga mendapatkan maklumat mengenai anggota keluarga yang hilang dan sentiasa berhubung dengan mereka yang terjejas,” katanya dalam sidang media.

Menurut Encik Steven, kilang itu kerap mengadakan latihan kecemasan dan pemindahan pekerja bersama pasukan bomba tempatan.

Beliau turut mendakwa kemudahan itu mempunyai laluan keluar kecemasan yang mencukupi serta sistem perlindungan kebakaran, termasuk pili bomba dan simpanan air, yang mematuhi piawaian keselamatan.

Semua sistem berkenaan berfungsi ketika kebakaran berlaku, ujar beliau.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menilai sama ada langkah keselamatan tersebut dilaksanakan dengan berkesan.

Kilang PT Fonusa Agung Mulia dimiliki United Family Food, sebuah syarikat pengeluar makanan dan barangan pengguna yang ditubuhkan pada 1981.

Syarikat itu mempunyai kira-kira 5,000 pekerja dan empat pejabat di luar negara, selain membekalkan produk kepada pasaran domestik Indonesia yang mempunyai lebih 250 juta pengguna.

Antara jenama keluarannya ialah gula-gula Milkita dan mi segera Lemonilo.

United Family Food belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan media untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai tragedi berkenaan.

Siasatan masih diteruskan bagi menentukan punca sebenar kebakaran, sementara keluarga mangsa menunggu keputusan pengecaman dan perkembangan operasi mencari pekerja yang hilang. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti