YANGON: Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 47 cedera apabila tentera Myanmar melancarkan serangan udara menggunakan paraglider bermotor ke atas sekumpulan penunjuk perasaan di wilayah Sagaing, tengah Myanmar, pada malam 6 Oktober.
Serangan itu berlaku ketika kira-kira 100 penduduk tempatan berhimpun secara aman di bandar kecil Chaung-U sempena perayaan bulan penuh Thadingyut.
Jurucakap pemerintah bayangan Myanmar, yang kini beroperasi dalam buangan, memberitahu BBC Burma bahawa dua bom dijatuhkan oleh pasukan tentera yang menggunakan paraglider bermotor dari udara. “Ia adalah serangan yang disengajakan terhadap orang awam yang sedang mengadakan tunjuk perasaan aman,” katanya.
Perhimpunan itu diadakan bagi membantah pengambilan wajib tentera dan pilihan raya umum yang dijadualkan Disember ini, serta menuntut pembebasan tahanan politik termasuk pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi yang kini dipenjara. Namun, suasana berubah menjadi panik apabila bunyi bilah kipas berputar dari udara disusuli letupan kuat.
“Saya terdengar bunyi seperti helikopter, kemudian dua letupan besar,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 30 tahun yang terselamat. “Saya tercampak ke belakang. Saya sangka kaki saya terputus, tetapi apabila saya menyentuhnya, saya sedar ia masih ada,” katanya kepada Reuters.
Pegawai daripada Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) di Chaung-U, Ko Thant, berkata mereka menerima amaran mengenai kemungkinan serangan udara tetapi tidak sempat menghentikan perhimpunan itu. “Semuanya berlaku dalam masa tujuh minit,” katanya.
Penduduk tempatan melaporkan bahawa kesan letupan sangat dahsyat sehingga banyak mayat sukar dikenal pasti. “Kanak-kanak hancur berkecai,” kata seorang wanita yang membantu menguruskan pengebumian kepada agensi AFP. “Kami masih mengutip cebisan tubuh hingga keesokan harinya.”
Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menyifatkan penggunaan paraglider bermotor oleh tentera Myanmar sebagai “trend yang mengerikan” dalam taktik peperangan terkini junta. “Serangan ini sepatutnya menjadi peringatan mengerikan bahawa orang awam di Myanmar memerlukan perlindungan segera,” kata penyelidik Amnesty, Encik Joe Freeman.
Serangan ini meningkatkan lagi jumlah ratusan serangan udara yang telah dilancarkan oleh tentera Myanmar sejak awal tahun 2025, ketika rejim junta berusaha mendapatkan semula wilayah yang dikuasai kumpulan penentang selepas kehilangan lebih separuh daripada negara itu sejak rampasan kuasa 2021.
Menurut data daripada Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (Acled), tentera Myanmar telah melancarkan lebih 1,100 serangan udara antara Januari dan Mei 2025 - peningkatan ketara berbanding 640 serangan pada 2024.
Junta kini banyak bergantung kepada kuasa udara, termasuk penggunaan pesawat ringan, dron buatan China, dan bantuan teknikal dari Russia. Beijing dilaporkan memberi tekanan kepada kumpulan penentang di sempadan agar menghentikan bekalan senjata kepada pasukan anti pemerintah, sekaligus mengubah keseimbangan kuasa memihak kepada tentera.
“Ini adalah pembunuhan beramai-ramai,” kata penunjuk perasaan yang terselamat. “Mereka melakukannya secara terbuka terhadap rakyat sendiri.”
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan Washington “amat terganggu” dengan laporan serangan itu. “Kami menggesa rejim tentera menghentikan keganasan terhadap orang awam, membebaskan semua tahanan politik, membenarkan bantuan kemanusiaan tanpa halangan, dan memulakan dialog sebenar dengan kumpulan pembangkang,” katanya.
Sementara itu, Amnesty International menyeru Asean supaya meningkatkan tekanan terhadap junta dan menilai semula pendekatan semasa yang “gagal melindungi rakyat Myanmar selama hampir lima tahun.”
Myanmar dijangka mengadakan pilihan raya pada Disember, yang pertama sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021. Namun, penganalisis menjangka pilihan raya itu hanya akan diadakan di kawasan di bawah kawalan tentera. Banyak parti pembangkang telah diharamkan, manakala pengundi di wilayah bergolak seperti Sagaing dan Rakhine tidak akan dapat mengundi.
“Ini bukan pilihan raya untuk rakyat,” kata seorang aktivis tempatan yang enggan dikenali. “Ini adalah helah untuk mengesahkan pemerintahan tentera.”
Di tengah-tengah keganasan berterusan, Sagaing kekal sebagai pusat utama penentangan terhadap junta. Sebahagian besar wilayah itu kini ditadbir oleh kumpulan penentang tempatan di bawah struktur Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) yang turut mengurus pentadbiran awam dan keselamatan.
Namun, selepas serangan udara terbaru itu, ramai penduduk dilaporkan meninggalkan kawasan tersebut. “Orang ramai hidup dalam ketakutan,” kata seorang penduduk Chaung-U. “Kami tahu mereka akan datang semula dari langit.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg