Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS gugurkan sekatan sekutu junta Myanmar kerana memuji Trump

Jul 25, 2025 | 12:48 PM
Jeneral Kanan Min Aung Hlaing telah memohon kepada Encik Trump agar mengurangkan kadar tarif sebanyak 40 peratus ke atas eksport negaranya ke Amerika Syarikat.
Jeneral Kanan Min Aung Hlaing telah memohon kepada Encik Trump agar mengurangkan kadar tarif sebanyak 40 peratus ke atas eksport negaranya ke Amerika Syarikat. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat telah menggugurkan sekatan terhadap beberapa sekutu rapat pemerintah tentera Myanmar pada 25 Julai, hanya dua minggu selepas ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing, memuji Presiden Donald Trump dan menyeru agar sekatan dikurangkan dalam sepucuk surat sebagai respons terhadap amaran tarif.

Dalam notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika, syarikat KT Services & Logistics dan pengasasnya, Encik Jonathan Myo Kyaw Thaung; kumpulan MCM dan pemiliknya, Encik Aung Hlaing Oo; syarikat Suntac Technologies dan pemiliknya, Encik Sit Taing Aung; serta seorang individu lain, Encik Tin Latt Min, telah dikeluarkan daripada senarai sekatan Amerika - satu tindakan yang disifatkan oleh Pemantau Hak Asasi (HRW) sebagai “amat membimbangkan”.

Jabatan Perbendaharaan Amerika tidak memberikan penjelasan mengenai sebab tindakan itu diambil, dan Rumah Putih juga tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Myanmar merupakan antara sumber utama mineral nadir bumi yang amat diperlukan dalam sektor pertahanan berteknologi tinggi dan aplikasi pengguna moden. Usaha untuk mendapatkan bekalan mineral ini menjadi fokus utama pentadbiran Encik Trump dalam persaingan strategik dengan China, yang kini menguasai 90 peratus kapasiti pemprosesan mineral nadir bumi dunia.

Kebanyakan lombong mineral nadir bumi Myanmar terletak di kawasan yang dikuasai oleh Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA), iaitu kumpulan etnik yang menentang junta, dan mineral tersebut biasanya diproses di China.

KT Services & Logistics serta Encik Jonathan Myo Kyaw Thaung telah dimasukkan ke dalam senarai sekatan pada Januari 2022 oleh pentadbiran Biden, bertepatan dengan ulang tahun pertama rampasan kuasa tentera yang telah mencetuskan kekacauan di Myanmar.

Encik Sit Taing Aung dan Encik Aung Hlaing Oo pula dikenakan sekatan pada tahun sama kerana terlibat dalam sektor pertahanan Myanmar. Sementara itu, Encik Tin Latt Min yang dikenal pasti sebagai sekutu rapat pemerintah tentera dimasukkan ke dalam senarai sekatan pada 2024 sempena ulang tahun ketiga rampasan kuasa tersebut.

Pada 11 Julai, Jeneral Min Aung Hlaing menghantar surat kepada Presiden Trump untuk memohon pengurangan kadar tarif sebanyak 40 peratus ke atas eksport Myanmar ke Amerika dan menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan rundingan ke Washington jika diperlukan.

“Jeneral kanan itu mengiktiraf kepimpinan kukuh Presiden dalam membimbing negaranya ke arah kemakmuran nasional dengan semangat patriot sejati,” menurut laporan media rasmi Myanmar ketika itu.

Dalam surat balasannya terhadap notis Encik Trump berkenaan tarif yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Ogos, Jeneral Min Aung Hlaing mencadangkan kadar tarif yang dikurangkan kepada sekitar 10 hingga 20 peratus, manakala Myanmar akan menurunkan cukai import ke atas barangan Amerika kepada antara sifar hingga 10 peratus.

Jeneral Min Aung Hlaing turut merayu agar Presiden Trump mempertimbangkan semula dasar sekatan dan menghapuskannya, dengan alasan bahawa sekatan tersebut menghalang kepentingan bersama serta kemakmuran rakyat kedua-dua negara.

Pengarah advokasi Asia di HRW, Encik John Sifton, menyifatkan tindakan Amerika itu sebagai “mengejutkan” dan motifnya tidak jelas. “Tindakan ini menunjukkan kemungkinan berlakunya perubahan besar dalam dasar Amerika terhadap Myanmar, yang sebelum ini menumpukan kepada tindakan menghukum rejim tentera Myanmar rejim yang hanya empat tahun lalu telah menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dan dikaitkan dengan jenayah terhadap kemanusiaan serta pembunuhan beramai-ramai,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel.

“Keputusan ini pasti menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan mangsa kekejaman tentera Myanmar serta semua pihak yang memperjuangkan kembalinya pemerintahan demokrasi di negara itu,” tambah Encik Sifton. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg