JAKARTA: Seramai 732 anggota Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia bagi penggal 2024-2029 secara rasmi mengangkat sumpah dalam sesi di bangunan Parlimen, Jakarta Pusat pada 1 Oktober untuk berkhidmat di Parlimen selama lima tahun akan datang.
Ini susulan pilihan raya perundangan yang diadakan serentak dengan pilihan raya Presiden dan Naib Presiden pada 14 Februari.
MPR, sebagai badan perundangan tertinggi, bertanggungjawab meminda perlembagaan serta melantik presiden dan naib presiden terdiri daripada 580 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 152 ahli Dewan Perwakilan Daerah (DPD).
DPR berfungsi sebagai dewan rendah yang bertanggungjawab merangka undang-undang, meluluskan belanjawan dan memantau cabang eksekutif, manakala DPD mewakili wilayah dan memberi tumpuan kepada isu serantau.
Dalam kalangan ahli yang baru dilantik, 25 artis menyertai MPR, dengan dua terpilih ke DPD dan 23 ke DPR, termasuk artis terkenal, Melly Goeslaw dan Ahmad Dhani Prasetyo yang komited meningkatkan industri muzik.
Antara artis dan selebriti yang secara rasmi menjadi Anggota Parlimen untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat termasuk Uya Kuya, Pasha Ungu serta Denny Cagur.
Selain itu, bekas pelakon, Rano Karno, yang terpilih sebagai wakil dari kawasan Banten III, telah mengundurkan diri untuk bertanding sebagai calon gabenor Jakarta dengan pasangannya, Encik Pramono Anung.
Upacara pelantikan angkat sumpah itu berlangsung di Kompleks Parlimen Jakarta disaksikan Ketua Hakim Negara, Encik Muhammad Syarifuddin, dengan ditandatangani oleh Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Buat pertama kalinya sejak 1977, Parti Persatuan Pembangunan (PPP), parti yang berasaskan Islam, tidak mempunyai wakil dalam DPR.
PPP gagal mencapai syarat 4 peratus untuk mendapatkan kerusi di DPR dalam pilihan raya Februari 2024.
Sejak penubuhannya pada 1973, PPP sentiasa memenangi kerusi, namun dalam pilihan raya ini, mereka hanya memperoleh 3.87 peratus undi popular.
PPP mendapat 5.88 juta undi daripada keseluruhan 151.8 juta undi di seluruh 38 provinsi, tetapi ini tidak mencukupi untuk mencapai perangkaan yang diperlukan.
Walaupun PPP mencabar keputusan pilihan raya di beberapa daerah dengan mendakwa berlaku penipuan undi, mahkamah menolak tuntutan tersebut.
Dengan ketiadaan PPP, DPR kini terdiri daripada lapan parti politik iaitu Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Parti Golkar, Parti Gerindra, Parti NasDem, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Demokrat dan Parti Amanat Nasional (PAN).
Walaupun masih menjadi parti terbesar dengan 16 peratus undi popular, kedudukan PDI-P telah berkurangan daripada 21 peratus pada tempoh sebelumnya.
Parti Golkar kini menjadi parti kedua terbesar, hanya 1 peratus di belakang PDI-P.
Gerindra, yang sebelumnya menduduki tempat kedua, jatuh ke tempat ketiga walaupun ketuanya, Encik Prabowo Subianto, telah memenangi kerusi Presiden dan akan memegang jawatan pada 20 Oktober.
PDI-P menjadi satu-satunya parti besar yang belum secara rasmi menyokong pemerintahan Encik Prabowo.
Jika PDI-P memilih menjadi pembangkang, mereka akan berhadapan dengan gabungan parti propemerintah yang menguasai hampir 85 peratus kerusi DPR.
Struktur MPR, yang terdiri daripada ahli DPR dan telah berkembang menjadi 732 anggota, meningkat daripada 711 pada tempoh sebelumnya.
Ini termasuk 580 ahli DPR (naik daripada 575) dan 152 senator DPD (naik daripada 136). Ahli DPD dipilih secara bebas melalui pilihan raya langsung tanpa penglibatan parti politik. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg