NUSANTARA: Suasana di Istana Negara di Ibu Kota Nusantara (IKN) pada pagi 17 Ogos diselubungi semangat dan kebanggaan.
Ribuan warga dari pelbagai penjuru Nusantara berkumpul untuk menyaksikan satu peristiwa bersejarah: Upacara Peringatan Detik-Detik Proklamasi yang pertama kali dianjurkan ibu kota baru Indonesia itu.
Di antara mereka ialah Encik Edi Sopyan, seorang warga suku Dayak Benuak asal Kalimantan Timur, yang tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan bersyukur beliau dan harapan besarnya bagi masa depan Indonesia.
“Bangga, sangat bangga, kerana ini memang momen pertama dan kita masyarakat biasa diundang ke sini,” ujar Encik Edi kepada Indonesia Daily.
Masyarakat Kalimantan bangga kerana pada hari memperingati kemerdekaan negara itu, Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo memakai pakaian adat yang memadukan unsur dari Kalimantan Barat, Kalimantan Timur dan Kalimantan Tengah, yang dinilai mencerminkan semangat Pancasila yang menjadi ciri khas Indonesia.
Sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-79 itu dijadikan sasaran oleh Encik Jokowi untuk memperkenalkan Nusantara kepada dunia sebagai simbol harapan kebanggaan nasional, iltizam dan visi masa depan Indonesia.
Speaker Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), Dr Bambang Soesatyo, berkata IKN bukan sekadar nama atau lokasi di peta, malah satu lembaran baru dengan sambutan itu.
“Apabila cucu-cucu kita melihat IKN, mereka tidak hanya akan melihat sebuah bandar raya bahkan berasakan degupan jantung bangsa untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya, lapor agensi berita Antara.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan itu juga, Encik Jokowi menjemput ketua-ketua institusi negara melawat lokasi penting IKN, termasuk Istana Garuda yang baru siap dan ‘Sumbu Kebangsaan’, yang melambangkan kepelbagaian dan perpaduan rakyat Indonesia.
Encik Jokowi sekali lagi mengulangi keyakinan beliau tentang masa depan Indonesia, menekankan pentingnya pembangunan berterusan Nusantara, sebuah ibu kota baru yang akan terus menjadi inspirasi harapan ke arah kemajuan negara.
Dengan hanya tinggal beberapa bulan sebelum penggal beliau berakhir, Encik Jokowi giat mempercepat pembangunan IKN.
“Tidak semua negara mempunyai peluang atau kemampuan untuk membina ibu kota baru daripada sifar,” kata beliau.
Keberanian Encik Jokowi dalam mencetuskan idea itu memerlukan keberanian besar, terutama kerana projek tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran dan ketidakyakinan.
Ini sedang pemerintah mengejar masa untuk menyelesaikan ibu kota masa depan itu, yang dijangka menggantikan Jakarta, yang kian menyusut dan tercemar.
Ulang tahun kemerdekaan itu disambut pada skala yang lebih kecil berbanding tahun-tahun lalu.
Namun, dengan mengusung tema, ‘Nusantara Baru, Indonesia Maju’, sambutan itu diwarnai dengan harapan baru untuk mewujudkan Indonesia yang lebih maju, berdaya saing, dan sejahtera di tengah cabaran sejagat.
Encik Jokowi, bagaimanapun, tidak berucap di hadapan hadirin di sambutan itu, yang antara lain menyaksikan perarakan tentera.
Sambutan itu diadakan sehari selepas beliau menyampaikan ucapan negara tahunannya yang terakhir kepada Parlimen, yang memuji pencapaian ekonominya tanpa menyebut langsung mengenai ibu negara baru itu.
Encik Prabowo Subianto, yang bakal menggantikan Encik Jokowi sebagai presiden pada Oktober, turut menghadiri upacara di Nusantara.
Kurang 2,000 orang hadir di sambutan itu, daripada 8,000 yang dijangka, disebabkan kekurangan penginapan dan kerja binaan yang berterusan.
Dekri presiden untuk mengubah ibu kota Indonesia mungkin ditangguhkan hingga Encik Prabowo memulakan khidmatnya sebagai presiden.
Pada masa yang sama, sambutan kemerdekaan turut berlangsung di Istana Merdeka di Jakarta.
Naib Presiden, Encik Ma’ruf Amin, mengetuai sambutan itu, bakal naib presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Encik Jokowi, di sisinya.
Encik Jokowi telah menetapkan Nusantara sebagai warisan beliau yang terbesar, menggantikan Jakarta yang kini menghadapi masalah pencemaran, kesesakan lalu lintas, dan kebimbangan tenggelam akibat tanah mendak.
Walaupun Nusantara masih jauh daripada siap, Istana Garuda, yang menjadi lambang ibu kota itu, kini berdiri megah dengan reka bentuk yang menggabungkan 4,650 keping besi yang meniru sayap burung mitos Garuda.
Istana ini, bersama padang perbarisan dan beberapa bangunan lain, menjadi latar belakang sambutan Hari Kemerdekaan pertama di Nusantara.
Namun, hakikatnya ialah banyak bahagian Nusantara masih dalam fasa pembinaan.
Lapangan terbang baru yang dirancang untuk menyambut tetamu kenamaan dan penting (VIP) juga belum siap sepenuhnya, dengan hujan lebat yang sering melanda menjadi alasan utama penangguhan kerja.
Tetapi ia tidak menghalang Encik Jokowi untuk terus mempromosikan kemajuan Nusantara.
Pada 28 Julai, beliau mengadakan lawatan pertamanya ke Nusantara dengan motosikal, dan pada 11 Ogos, beliau mengadakan mesyuarat Kabinet pertama di IKN.
Pembinaan Nusantara bukan bermakna bagi struktur politik dan pentadbiran negara sahaja, bahkan ekonomi dan masyarakat tempatan.
Penerusan projek Nusantara oleh Encik Prabowo menandakan komitmen memastikan visi Encik Jokowi dijadikan kenyataan.
Walaupun projek itu menerima kritikan dan pujian meluas, masa depan Nusantara tetap menjadi simbol harapan dan aspirasi Indonesia bagi masa depan lebih cerah.
“Saya rasa Jokowi telah memainkan peranan bersejarah dengan membuat keputusan untuk memindahkan ibu kota,” kata Encik Prabowo pada 12 Ogos.
“Saya perlu meneruskan projek ini sekurang-kurangnya, atau bahkan menyelesaikannya jika saya mampu.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg