Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesara hilang lebih 2 minggu, kereta ditemui hangus terbakar

Sep 23, 2024 | 12:49 PM
Encik Muhammad Amir Hakimi dan kakaknya, Cik Suraiya Izzaty, menunjukkan gambar bapa mereka, Encik Sabari Baharom, 62 tahun, yang hilang sejak 3 September lalu.
Encik Muhammad Amir Hakimi dan kakaknya, Cik Suraiya Izzaty, menunjukkan gambar bapa mereka, Encik Sabari Baharom, 62 tahun, yang hilang sejak 3 September lalu. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

BALING (Kedah): Keluarga kepada seorang pesara, Encik Sabari Baharom, 62 tahun, yang hilang sejak 3 September lalu, mengesyaki lelaki itu dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

Perkara itu dimaklumkan anak kepada mantan pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan itu, Encik Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25 tahun, yang yakin bapanya masih hidup biarpun kereta yang dipandu ditemui terbakar oleh penduduk di Belantik, Sik, Kedah.

Beliau berkata selepas meneliti beberapa akaun milik bapanya melalui aplikasi dalam talian, terdapat pemindahan wang daripada akaun Tabung Haji Encik Sabari ke akaun Bank Islam, seterusnya ke akaun Maybank milik seorang individu wanita.

“Selepas penelitian pihak polis melalui kamera litar tertutup (CCTV), didapati pada 4 dan 5 September lalu, kelihatan seorang wanita tempatan melakukan transaksi wang daripada akaun ayah.

“Kami tidak tahu apa niat mereka sebenarnya mengambil wang ayah, walau apapun jika ayah masih dalam genggaman mereka, harap pulangkan semula ayah kami dengan selamat.

“Kami amat merindui ayah. Sudah 15 hari tiada khabar berita mengenainya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling, Kedah, lapor Berita Harian Malaysia.

Kata beliau sebelum kehilangannya, Encik Sabari ada hubunginya untuk menghantar ubat-ubatan dan ramuan herba tradisional bagi mengubati bayinya yang terkena demam kuning.

“Biasanya jika ayah telefon beritahu hendak datang ke rumah, pastinya sama ada hari itu atau keesokannya ayah akan sampai, tetapi sehingga ke hari ini jangankan wajahnya, malah kelibatnya terus hilang. Inilah yang merisaukan kami,” katanya.

Kakaknya, Cik Suraiya Izzaty, pula berkata mereka buntu memikirkan ke mana bapa pergi, tetapi selepas penemuan Proton Waja Encik Sabari yang dibakar di suatu kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, di Sik, pada 20 September lalu, kehilangan mangsa dikategorikan sebagai kes jenayah.

Menurut beliau, bapanya seorang yang amat teliti berhubung pengeluaran wang dan sangat mengikuti perkembangan semasa termasuk mengenai penipuan dalam talian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg