Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga flat sewa terbakar dibantu cara milik rumah sendiri

Sep 29, 2024 | 9:48 AM
Cik Roziana Ramli, 43 tahun, merupakan penduduk rumah sewa di Keat Hong, yang rumahnya ditimpa kebakaran awal tahun 2024 dan dihiasi semula oleh satu daya usaha silang agensi menerusi bantuan Projek Dian@M³.
Cik Roziana Ramli, 43 tahun, merupakan penduduk rumah sewa di Keat Hong, yang rumahnya ditimpa kebakaran awal tahun 2024 dan dihiasi semula oleh satu daya usaha silang agensi menerusi bantuan Projek Dian@M³. - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA

Cik Roziana Ramli pernah menikmati kehidupan yang jauh lebih selesa dan stabil pada zaman mudanya berbanding sekarang.

Pada usia awal 20-an tahun, beliau bersama empat anaknya pada ketika itu menetap di flat tiga bilik dan kemudian empat bilik, sementara suaminya bertugas sebagai teknisyen dan beliau sebagai suri rumah.

Namun rumahtangga pertamanya itu tidak kekal lama dan atas sebab-sebab tertentu termasuk hutang-piutang yang semakin membukit, Cik Roziana dan anak-anaknya terpaksa berpindah ke flat sewa di Keat Hong lima tahun lalu. 

Kini bergelar ibu tujuh anak selepas bernikah dengan suami keduanya, keluarga Cik Roziana diuji sekali lagi selepas rumahnya ditimpa kebakaran sebelum Ramadan 2024.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya dulu-dulu, saya akan hidup seperti ini,” kata Cik Roziana, 43 tahun, yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya pada usia muda dan tidak mempunyai adik-beradik.

“Tapi alhamdulillah, kami sembilan beranak, meskipun hidup dalam rumah kecil, satu bilik, satu hall (ruang tamu), kami tak pernah rasa kekurangan.”

Dalam kesempitan itu juga, Cik Roziana didekati kakitangan dan relawan daripada Projek Dian@M3 daerah Chua Chu Kang.

Ditubuhkan pada 2021, Projek Dian memainkan peranan menunjuk jalan bagi keluarga yang menetap di rumah sewa memenuhi aspirasi memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, anggota Projek Dian ingin meninjau jika keluarganya layak berpindah ke flat milik sendiri dan selain itu turut disalurkan pelbagai bantuan daripada M³ seperti daya usaha silang agensi untuk memperbaiki dan membina semula kehidupannya selepas kebakaran itu.

“Semua yang awak lihat ini, mereka yang bantu dapatkan, daripada Mendaki, masjid dan penderma lain,” kata Cik Roziana kepada wartawan, sambil menunjukkan perabot Ikea berwarna putih daripada laci kepada almari.

“Apa yang saya perlukan pada ketika itu, mereka kata, “tak apa-apa kak, kami bantu”,” katanya lagi.

Cik Roziana yang sibuk membesarkan tiga anak daripada suami keduanya – lima tahun, tiga tahun dan satu tahun – juga menerima subsidi yuran sepenuhnya bagi khidmat jagaan bayi di pusat jagaan kanak-kanak berhampiran rumahnya.

Menurut seorang kakitangan M³ yang mengendali kes Cik Roziana, keluarganya menerima pelbagai sokongan seperti bantuan ComCare, program WeCare di bawah Majlis Pebangunan Masyarakat (CDC), bantuan kewangan bulanan serta baucar barang dapur daripada Masjid Al-Khair, KidStart dan Fei Yue.

Setiap bulan, Cik Roziana menganggarkan sekitar $1,300 digunakan bagi menanggung kos sewa rumah, bil api dan air, barang keperluan rumah, duit sekolah dan lain-lain lagi.

Suaminya, seorang penduduk tetap Singapura yang berasal dari Malaysia dan bekerja dalam bahagian logistik, menerima sekitar $2,500 untuk menyara hidup keluarga sembilan orang itu.

Dengan bantuan yang diterimanya itu meringankan bebannya sebagai ibu dan orang rumah, Cik Roziana kini merancang untuk bekerja sebagai guru tambahan di pusat jagaan kanak-kanak yang disertai anak-anaknya itu.

“Cumanya kerja itu memerlukan saya mendapat sijil dulu. Jadi saya merujuk kepada Mendaki baru-baru ini untuk menyertai kursus pendidikan pembangunan awal kanak-kanak.

Menurutnya beliau masih menunggu permohonannya diluluskan dan berharap dalam masa akan datang dapat meningkatkan dirinya serta keluarganya.

“Saya pun berharap anak-anak saya dapat pelajari daripada pengalaman ini dan moga-moga mereka juga berusaha demi kebaikan diri dan keluarga sendiri,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg