Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

25j anggota jemaah di Masjidil Haram dalam 10 hari pertama Ramadan

Perkhidmatan dipertingkat di Masjidil Haram untuk 10 hari terakhir Ramadan
Mar 21, 2025 | 10:28 AM
Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah meningkatkan kapasiti perkhidmatan di Masjidil Haram dengan ketara sebagai persiapan menghadapi 10 hari terakhir Ramadan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah meningkatkan kapasiti perkhidmatan di Masjidil Haram dengan ketara sebagai persiapan menghadapi 10 hari terakhir Ramadan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA). - Foto INSTAGRAM HARAMAIN

MAKKAH: Masjidil Haram di Makkah mencatat kehadiran luar biasa dengan seramai 25 juta anggota jemaah dan pengunjung dalam hanya 10 hari pertama Ramadan.

Demikian menurut kenyataan Presiden Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais.

Lebih 5.5 juta umat Islam telah menunaikan ibadah umrah sepanjang tempoh tersebut, sekali gus menunjukkan peningkatan mendadak jumlah pengunjung berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Fenomena itu berlaku hasil penyelarasan besar-besaran oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan pergerakan jemaah berjalan lancar dalam suasana ibadah yang selesa dan selamat.

“Kami menyambut Ramadan tahun ini (2025) dengan kesiapsiagaan maksimum.

“Keutamaan kami adalah keselamatan, keselesaan dan kebersihan bagi setiap anggota jemaah,” ujar Dr Abdulrahman Al-Sudais dalam satu sidang media.

Seramai 11,000 pekerja telah ditugaskan menguruskan pergerakan orang ramai di pelbagai kawasan termasuk laluan pejalan kaki, pintu masuk dan kawasan tawaf.

Sebahagian daripada mereka bertanggungjawab mengatur aliran jemaah yang ingin memasuki ruang solat utama dan tingkat atas.

Dalam aspek kebersihan pula, 4,000 kakitangan pembersihan dikerah di bawah seliaan 350 pengurus Saudi bagi memastikan Masjidil Haram dibersihkan lima kali sehari, sesuai dengan jumlah jemaah yang ramai dan keadaan cuaca panas.

Pihak berkuasa turut mempertingkat kemudahan fizikal.

Masjidil Haram kini dilengkapi 20,000 tong air zamzam bagi memenuhi keperluan jemaah yang berpuasa.

Di samping itu, salah satu sistem penyejukan terbesar dunia telah dipasang, dengan kapasiti 155,000 tan, bagi memastikan suhu di dalam masjid kekal antara 22 darjah Celcius dengan 24 darjah Celcius.

Sistem penapisan udara moden turut digunakan untuk menyingkirkan 95 peratus kekotoran udara, sekali gus memberi suasana nyaman kepada jemaah.

Lebih 8,000 alat pembesar suara dipasang bagi memastikan setiap laungan azan, khutbah dan bacaan imam dapat didengar dengan jelas di seluruh masjid termasuk di kawasan sambungan dan dataran luar.

“Suara imam begitu jelas di mana-mana sahaja kita berada dalam masjid ini. Saya rasa seperti berada dekat dengan Kaabah walaupun berada di tingkat atas,” kata seorang anggota jemaah, Cik Salimah Ahmad.

Sebanyak 120,000 unit pencahayaan digunakan sepanjang tahun, agar masjid sentiasa terang dan memberikan suasana damai walaupun pada waktu malam.

Bagi menghadapi 10 malam terakhir Ramadan yang dijangka lebih sesak, Jawatankuasa Haji Pusat telah bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh Timbalan Gabenor Makkah, Putera Saud Mishaal, atas arahan Putera Khaled Al-Faisal, penasihat kepada Penjaga Dua Tanah Suci.

Mesyuarat tersebut membincangkan rancangan pengurusan trafik, kesediaan stesen pengangkutan awam, serta persediaan tempat solat, lif berhawa dingin, permaidani tambahan, dan pasukan sukarelawan.

Penekanan turut diberikan kepada aspek keselamatan, penyelenggaraan teknikal, serta pengagihan air dan makanan iftar.

Setakat 15 Ramadan, sejumlah 10.8 juta juadah iftar telah diagihkan; 385,776 botol air zamzam diedarkan; dan 344,360 sejadah dibentangkan untuk kegunaan jemaah.

Perkhidmatan simpanan bagasi turut dimanfaatkan oleh lebih 19,000 orang, manakala seramai 101,712 pengunjung telah melawat Pameran Masjidil Haram.

Pihak berkuasa telah menempatkan pasukan di 38 lokasi bagi menjawab pertanyaan selain mengerahkan petugas khas untuk membersihkan masjid dalam tempoh hanya 35 minit.

Setiap hari, sebanyak 20 sesi semburan wangian dilakukan dengan menggunakan lebih dua kilogram oud.

Selain itu, perkhidmatan penyimpanan bagasi percuma serta kawasan solat khas untuk warga emas dan individu kurang upaya turut disediakan bagi memastikan keselesaan maksimum.

Pihak berkuasa turut menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak 24 jam; menyediakan troli bagi memudahkan pelaksanaan ibadah; ruang solat khas untuk beriktikaf sepanjang 10 hari terakhir Ramadan; serta wadah tempahan pengangkutan bersepadu, bagi memastikan pengalaman yang lancar kepada semua jemaah.

“Kesungguhan pihak berkuasa Arab Saudi dalam menjaga keperluan fizikal dan rohani jemaah sangat mengagumkan.

“Ia mencerminkan penghormatan tinggi terhadap tetamu Allah,” kata anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, Sheikh Dr Abdullah Al-Manea.

“Kami berdoa agar semua jemaah dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan selamat, terutama menjelang 10 malam terakhir Ramadan,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg