JEDDAH: Arab Saudi mencatat rekod tertinggi bilangan jemaah umrah dalam sehari apabila seramai 500,000 anggota jemaah mengunjungi Masjidil Haram pada 6 Mac.
Menurut kenyataan dari Presidensi Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, angka tersebut merupakan jumlah tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh sehari sepanjang musim umrah 2025.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan pengurusan jemaah lebih cekap, pihak berkuasa telah memperkenalkan teknologi terkini bagi memantau aliran jemaah di sekitar Masjidil Haram.
Antaranya termasuk penggunaan sensor pembaca yang ditempatkan di pintu-pintu utama masjid.
Sensor itu mampu mengesan jumlah jemaah secara langsung.
Selain itu, kamera pintar turut dipasang bagi mengesan pergerakan dan mengenal pasti kawasan yang sesak dengan lebih tepat.
Gabungan teknologi sensor dan kecerdasan buatan (AI) itu memudahkan pihak berkuasa mengatur pergerakan jemaah, terutama di kawasan tumpuan utama seperti Mataf (tempat melakukan tawaf mengelilingi Kaabah) dan kawasan Saie di antara Bukit Safa dengan Marwah.
Teknologi itu penting dalam memastikan keselamatan pengunjung, aliran masuk dan keluar yang lancar, serta tindakan pantas ketika waktu sibuk.
Dalam pada itu, rondaan keselamatan Makkah terus dipergiat secara berterusan terutama ketika Ramadan, musim apabila jumlah pengunjung meningkat secara mendadak.
Menurut pihak berkuasa, rondaan keselamatan itu bekerjasama dengan pelbagai agensi lain untuk menguruskan kesesakan, membantu jemaah warga emas, menyatukan semula kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga serta memberi panduan kepada pengunjung yang sesat atau memerlukan bantuan.
“Kami sentiasa bersiap sedia sepanjang masa, terutama pada Ramadan ini untuk memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah yang datang dari seluruh dunia,” kata seorang pegawai keselamatan yang bertugas.
Pada masa yang sama, Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi turut mengedarkan 29,000 naskhah Al-Quran dalam bahasa Arab dan pelbagai bahasa asing kepada jemaah umrah yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, pada 9 Februari.
“Hadiah Al-Quran dalam bahasa kami sendiri amat bernilai dan akan menjadi kenangan indah sepanjang hayat kami setelah pulang ke tanah air nanti,” kata seorang jemaah yang ditemui di lapangan terbang tersebut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg