MAKKAH: Agensi kerajaan dan pihak berkuasa di Makkah telah memulakan pelaksanaan program serta rancangan mereka bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada jemaah yang menunaikan umrah sepanjang Ramadan.
Tempoh itu menyaksikan kehadiran jutaan umat Islam dari dalam dan luar negara untuk beribadah di tanah suci.
Laporan agensi berita, Saudi Press Agency (SPA), menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah mengaktifkan pelan musim Ramadan dengan beberapa projek utama.
Antaranya ialah pelancaran percubaan perkhidmatan, ‘Tahalul dari Nusuk’, di lima lokasi khas dalam Masjidil Haram yang dilengkapi dengan standard keselamatan dan kebersihan.
Buat kali pertama, pihak berkuasa turut memperkenalkan perkhidmatan pemotongan rambut bergerak menggunakan troli khas yang boleh dipindahkan mengikut keperluan dan jumlah kehadiran jemaah.
Selain itu, perkhidmatan penyimpanan bagasi turut dipertingkatkan dengan sistem pemantauan elektronik serta rak penyimpanan khas di enam lokasi utama pintu masuk masjid.
Bagi memudahkan pergerakan jemaah, jumlah ‘kereta golf’ elektrik turut digandakan kepada 400 unit dan ditempatkan di 11 lokasi strategik dalam Masjidil Haram.
Dalam masa yang sama, sistem pengagihan makanan berbuka puasa turut diperkemas melalui pendaftaran elektronik bagi memastikan kelancaran proses agihan.
Turut diperkenalkan ialah papan tanda panduan lokasi bagi membantu jemaah mendapatkan kemudahan yang disediakan dengan lebih mudah.
Pasukan bertugas pula dikerahkan sepanjang masa bagi menerima dan menyelesaikan sebarang pertanyaan, laporan penyelenggaraan serta aduan berkaitan keperluan jemaah sepanjang musim Ramadan 2025.
Dalam usaha menguruskan aliran jemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, pihak berkuasa telah menetapkan laluan khas di dalam koridor bagi memastikan pergerakan lebih lancar.
“Kami memastikan kawasan solat disediakan dengan sempurna bagi menampung jumlah jemaah yang ramai, di samping menjamin keselesaan mereka,” kata seorang pegawai dari Pihak Berkuasa Am.
Inisiatif lain yang turut diperkenalkan termasuk program ‘Panduan Berjalan’ yang menyediakan pasukan bimbingan khas untuk membantu jemaah memahami lokasi masjid serta menjawab pertanyaan mereka dalam pelbagai bahasa.
Sementara itu, Perbandaran Suci Makkah telah menggerakkan rancangan operasi Ramadan yang meliputi penyelenggaraan kebersihan awam, pelupusan sisa, kawalan serangga perosak serta pemantauan premis perniagaan berkaitan kesihatan awam.
Agensi berkenaan turut menjalankan pemeriksaan terhadap produk makanan bagi memastikan ia selamat untuk pengguna, di samping menyelenggara prasarana, tandas awam, taman hijau serta sistem saliran air hujan dan banjir.
Dalam perkembangan berkaitan, Cawangan Wilayah Makkah bagi Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan telah memulakan program pembersihan, penyediaan peralatan solat dan penyemburan wangian di masjid utama termasuk kawasan solat wanita.
Pihak kementerian juga telah meningkatkan operasi pemeriksaan bagi memastikan semua masjid dalam keadaan terbaik untuk menerima jemaah.
“Kami mahu memastikan semua rumah ibadah berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk jemaah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini,” ujar seorang pegawai dari kementerian tersebut.
Seorang anggota jemaah dari Indonesia, Encik Ahmad Rizal, yang tiba di Makkah menyatakan penghargaan terhadap usaha pihak berkuasa dalam memastikan keselesaan jemaah.
“Saya kagum dengan pengurusan di sini. Segala kemudahan tersedia dan petugas juga sangat membantu,” katanya.
Dalam pada itu, seorang anggota jemaah dari Mesir, Encik Hassan Abdul Malik, turut berkongsi pengalaman positifnya.
“Saya bersyukur dapat menunaikan ibadah dalam keadaan yang sangat teratur dan selesa. Ini membolehkan saya lebih memberi tumpuan kepada ibadah,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg