GAZA: Sekurang-kurangnya 26 orang maut manakala lebih 100 lagi cedera dalam dua serangan yang berlaku berhampiran pusat bantuan di selatan Gaza pada 19 Julai, menurut agensi pertahanan awam Gaza.
Jurucakap agensi itu, Encik Mahmud Basal, berkata 22 orang terbunuh berhampiran sebuah tapak dekat Khan Younis, manakala empat lagi terkorban berhampiran pusat bantuan dekat Rafah.
Tambahnya, kedua-dua insiden itu didakwa berpunca daripada serangan tentera Israel.
Seorang penduduk, Encik Abdul Aziz Abed, 37 tahun, memberitahu agensi berita AFP bahawa beliau bersama lima anggota keluarganya dalam perjalanan ke kawasan Al-Tina di Khan Younis pada waktu subuh untuk mendapatkan makanan apabila mereka dikejutkan dengan tembakan oleh beberapa askar Israel.
Kementerian Kesihatan tempatan di Gaza melaporkan bahawa lebih 57,000 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan Israel ke atas wilayah itu sejak serangan yang dilancarkan kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel.
Menurut pihak berkuasa Israel, serangan itu telah menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan lebih 250 lagi diculik dan dibawa ke Gaza.
Pada 18 Julai, jurucakap sayap bersenjata Hamas berkata kumpulan itu masih terbuka kepada gencatan senjata sementara dalam konflik di Gaza, tetapi jika rundingan yang sedang berlangsung sekarang gagal mencapai persetujuan, mereka mungkin akan kembali menuntut penyelesaian menyeluruh untuk menamatkan konflik itu.
Rundingan terkini berhubung gencatan senjata antara Israel dengan Hamas telah berlangsung di Doha, Qatar sejak 6 Julai, berdasarkan usul gencatan senjata selama 60 hari yang disokong Amerika Syarikat.
Menurut jurucakap tersebut, Encik Abu Ubaida, Hamas telah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk membebaskan semua tebusan yang ditahan di Gaza dan mencapai perjanjian gencatan senjata sepenuhnya, namun tawaran itu ditolak Israel.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dalam satu majlis jamuan malam bersama ahli Kongres di Rumah Putih pada 18 Julai berkata 10 lagi tebusan dijangka dibebaskan dari Gaza dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan maklumat lanjut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg