WASHINGTON/GENEVA: Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat telah mengemukakan cadangan terkini berhubung pelan gencatan senjata di Gaza kepada Israel dan Hamas, menurut laporan Axios pada 17 Julai yang memetik dua sumber terdekat dengan rundingan.
Cadangan baru dilaporkan memberi tumpuan kepada dua isu utama: tahap pengunduran tentera Israel dari Gaza semasa tempoh gencatan senjata, serta nisbah pembebasan tahanan Palestin bagi setiap tebusan Israel yang akan dibebaskan oleh Hamas.
“Cadangan ini lebih realistik dan mengambil kira keperluan kedua-dua pihak,” kata seorang pegawai diplomatik serantau yang enggan dikenali.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, dijangka bertemu pimpinan Hamas di Doha pada 19 Julai dalam usaha meyakinkan mereka supaya menerima cadangan yang telah dikemaskini itu.
Israel pula dilaporkan telah mengurangkan syaratnya mengenai kehadiran tentera di kawasan sepanjang sempadan Gaza dan Mesir.
Israel mahu mengekalkan zon keselamatan sejauh 5 kilometer ke utara Koridor Philadelphi.
Namun, menurut laporan Axios, syarat itu kini dikurangkan kepada 1.5 kilometer hampir dengan tuntutan asal Hamas supaya Israel kembali ke kedudukan yang dipersetujui dalam gencatan senjata terdahulu.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, turut mengadakan pertemuan dengan Sheikh Mohammed pada 16 Julai sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan rundingan damai.
Perbincangan antara delegasi Israel dan Hamas telah berlangsung di Doha sejak 6 Julai, dengan matlamat mewujudkan gencatan senjata selama 60 hari.
Rundingan sebelum ini pada Mac lalu menemui jalan buntu selepas Israel melancarkan serangan udara yang mengorbankan lebih 400 rakyat Palestin, sekali gus menamatkan gencatan senjata dua bulan yang dimeterai sebelum itu.
Israel juga telah mendesak Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) agar membubarkan Suruhanjaya Siasatan Bebas mengenai pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Palestin dan Israel.
Menurut satu surat yang dilihat oleh Reuters, Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Daniel Meron, menuduh suruhanjaya tersebut bersikap berat sebelah dan menindas Israel.
“Suruhanjaya ini, baik dari segi mandat mahupun pendekatan ahlinya, jelas menunjukkan diskriminasi institusi terhadap Israel dalam sistem UNHRC,” tegas kandungan surat tersebut.
Suruhanjaya itu ditubuhkan pada Mei 2021 susulan konflik berdarah antara Israel dan Hamas yang terdahulu. Ia diberikan kuasa untuk mengemukakan bukti kepada tribunal antarabangsa seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Dalam laporan yang diterbitkan pada Mac lalu, suruhanjaya berkenaan berkata Israel telah melakukan “tindakan pembunuhan beramai-ramai” terhadap penduduk Palestin.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pantas mengecam laporan itu, menyifatkannya sebagai berat sebelah dan bersifat antisemitik. “Ini bukan laporan hak asasi manusia. Ini adalah serangan politik terhadap negara kami,” katanya.
Jurucakap UNHRC, Encik Pascal Sim, mengesahkan bahawa Presiden Majlis, Jurg Lauber, telah menerima surat berkenaan tetapi menegaskan bahawa kuasa untuk membubarkan suruhanjaya tersebut hanya terletak di tangan 47 negara anggota Majlis.
Israel secara rasmi telah menarik diri daripada keanggotaan UNHRC pada Februari lalu sebagai protes terhadap apa yang dianggap sebagai pendirian berat sebelah badan tersebut terhadap rejim Zionis. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg