Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump akan bertemu PM Qatar bincang rundingan gencatan senjata Gaza

Jul 16, 2025 | 3:31 PM
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani (kiri) dan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berbual dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum keberangkatan beliau pada penghujung lawatan ke Qatar, di Pangkalan Udara Al-Udeid, barat daya Doha, pada 15 Mei 2025. 
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani (kiri) dan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berbual dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum keberangkatan beliau pada penghujung lawatan ke Qatar, di Pangkalan Udara Al-Udeid, barat daya Doha, pada 15 Mei 2025.  - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, pada 16 Julai untuk membincangkan rundingan perjanjian gencatan senjata di Gaza, lapor wartawan Axios, Barak Ravid di platform X.

Wakil perunding dari Israel dan Hamas kini sedang mengambil bahagian dalam pusingan rundingan terkini di Doha sejak 6 Julai, dengan meneliti cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang disokong oleh Amerika. Cadangan itu merangkumi pembebasan tebusan secara berperingkat, pengunduran tentera Israel dari beberapa bahagian Gaza, dan perbincangan lanjut untuk menamatkan konflik.

Utusan Presiden Trump ke Timur Tengah, Steve Witkoff, pada 13 Julai menyatakan bahawa beliau “berharap” rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung di Qatar selaku perantara utama antara kedua-dua pihak akan membuahkan hasil.

Perantara dari Amerika, Qatar dan Mesir kini sedang berusaha keras untuk mencapai persetujuan, namun masih wujud perbezaan pendapat antara Israel dan Hamas berhubung skop pengunduran Israel dari wilayah Palestin tersebut.

Pertumpahan darah terkini dalam konflik panjang Israel-Palestin tercetus pada Oktober 2023 apabila Hamas melancarkan serangan terhadap Israel. Israel mendakwa Hamas telah membunuh 1,200 orang dan menawan kira-kira 250 tebusan.

Kementerian Kesihatan Gaza pula melaporkan bahawa serangan balas ketenteraan Israel telah mengorbankan lebih 58,000 rakyat Palestin. Serangan itu turut mencetuskan krisis kelaparan, mengakibatkan seluruh penduduk Gaza menjadi pelarian dalam negara sendiri, serta membawa kepada dakwaan jenayah genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Israel menafikan semua tuduhan tersebut.

Sebelum ini, satu gencatan senjata selama dua bulan berakhir selepas serangan udara Israel pada 18 Mac yang membunuh lebih 400 rakyat Palestin. Awal tahun 2025, Trump mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan agar Amerika mengambil alih pentadbiran Gaza - cadangan yang dikecam oleh pakar hak asasi manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta rakyat Palestin sebagai satu bentuk “pembersihan etnik”.

Encik Trump dan Sheikh Mohammed juga dijangka membincangkan usaha untuk menyambung semula rundingan antara Amerika dan Iran bagi mencapai perjanjian nuklear baharu, menurut Barak Ravid yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu. — REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg