MANDAILING NATAL (Indonesia): Dua pelombong emas haram maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kabupaten Mandailing Natal, Sumatera Utara, ketika pemerintah wilayah itu sedang memperhebat operasi membanteras lombong emas haram.

Mangsa dikenal pasti sebagai Encik Erlin Nasution dari Kampung Tarlola dan Encik Zulparman dari Kampung Aek Guo.

Kedua-duanya tertimbus ketika menjalankan aktiviti melombong emas secara manual dan haram di Kampung Aek Guo, Kecamatan Batang Natal, pada petang 4 Julai.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Mandailing Natal, Pesuruhjaya Tri Boy Alvin Siahaan, berkata kejadian berlaku kira-kira 4 petang apabila struktur tanah di kawasan lombong tiba-tiba runtuh lalu menimbus mangsa.

“Kedua-dua mangsa maut selepas tertimbus tanah runtuh ketika menggali emas secara manual dan haram,” katanya pada 6 Julai.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan dari lokasi kejadian dan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

Polis masih menyiasat kejadian itu dan sudah menyoal beberapa saksi yang berada di lokasi.

Pasukan penyiasat juga sudah meninjau kawasan kejadian sebagai sebahagian daripada siasatan awal.

Encik Tri berkata saksi memaklumkan sekumpulan pelombong sedang menjalankan aktiviti mencari emas secara haram pada 4 Julai apabila tebing tanah yang tidak stabil runtuh secara tiba-tiba.

Kedua-dua mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh kerap berlaku di kawasan lombong emas haram, terutama di lokasi yang digali tanpa pemantauan keselamatan dan tanpa kawalan teknikal.

Polis juga sedang meneliti kemungkinan wujud unsur jenayah berkaitan aktiviti perlombongan haram itu.

Mandailing Natal sebelum ini beberapa kali mencatatkan kematian membabitkan pelombong emas haram yang tertimbus tanah runtuh.

Pada 18 Mac lalu, dua pelombong emas haram maut dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Aek Baru, Kampung Simanguntong, Batang Natal.

Pada 25 Mei 2025 pula, seorang pelombong haram dilaporkan terjatuh ke dalam lubang sebelum tertimbus tanah runtuh di kawasan lombong emas haram Pulo Padang, Kampung Simpang Durian, Kecamatan Linggabayu.

Pada 9 Julai 2024, dua pelombong haram turut maut di lombong emas haram Sungai Batang Gadis, Kampung Lubuk Sibegu, Kecamatan Penyabungan.

Kejadian paling buruk berlaku pada April 2022 apabila 12 pelombong wanita maut di Kampung Bandar Limabung, Kecamatan Linggabayu.

Insiden terbaru ini berlaku ketika pemerintah wilayah Sumatera Utara melancarkan operasi besar-besaran terhadap lombong emas haram di beberapa kawasan Mandailing Natal.

Terdahulu pasukan gabungan pemerintah wilayah dan kabupaten mengambil tindakan terhadap beberapa lombong emas haram di sepanjang sungai di Kecamatan Kotanopan.

Lombong-lombong berkenaan dipercayai sudah lama beroperasi dan didakwa dikendalikan oleh individu yang hanya dikenali sebagai GD dan PW.

Bagaimanapun, pelombong di kawasan itu melarikan diri ke hutan apabila menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.

Ketua Jabatan Lingkungan Hidup dan Kehutanan Sumatera Utara, Encik Heri Wahyudi Marpaung, berkata operasi itu dilakukan bagi menunjukkan pemerintah serius dalam menguatkuasakan undang-undang serta memulihkan kawasan yang rosak akibat perlombongan haram.

Beliau berkata aktiviti lombong emas haram di Mandailing Natal bukan sahaja membahayakan nyawa pelombong, malah turut merosakkan alam sekitar, khususnya kawasan sungai dan hutan.

“Perlombongan emas haram sudah mengorbankan banyak nyawa dan merosakkan alam sekitar dengan serius. Kita mesti menghentikannya,” katanya.

Encik Heri berkata pemerintah wilayah akan memperluaskan operasi terhadap lombong emas haram ke kabupaten lain selepas ini.

“Kami juga akan melancarkan tindakan terhadap lombong emas haram di kabupaten lain,” katanya.

Pemerhati alam sekitar berpendapat kejadian berulang itu menunjukkan aktiviti perlombongan emas haram masih sukar dibendung, terutama di kawasan pedalaman yang jauh daripada pemantauan pihak berkuasa.

Selain risiko tanah runtuh, kegiatan itu juga dikaitkan dengan pencemaran sungai, kerosakan hutan dan penggunaan jentera berat tanpa kawalan.

Bagi pemerintah Sumatera Utara, operasi kali ini dilihat sebagai ujian penting untuk membuktikan bahawa tindakan membanteras lombong emas haram tidak hanya bersifat sementara, tetapi diteruskan sehingga rangkaian pengusaha dan pelombong haram dapat dihentikan sepenuhnya. – Agensi berita.