Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

27 terbunuh dalam tragedi runtuhan bangunan di Pakistan

Jul 7, 2025 | 7:36 PM
Petugas penyelamat mencari mangsa di bawah runtuhan selepas sebuah bangunan runtuh di Karachi, Pakistan, 6 Julai 2025. Pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat selepas bangunan lima tingkat itu runtuh pada 4 Julai di Karachi, menjadikan jumlah kematian sekurang-kurangnya 27 orang.
Petugas penyelamat mencari mangsa di bawah runtuhan selepas sebuah bangunan runtuh di Karachi, Pakistan, 6 Julai 2025. Pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat selepas bangunan lima tingkat itu runtuh pada 4 Julai di Karachi, menjadikan jumlah kematian sekurang-kurangnya 27 orang. - Foto EPA

KARACHI: Pasukan penyelamat Pakistan pada 7 Julai menamatkan operasi mencari dan menyelamat selama tiga hari selepas berjaya mengeluarkan 27 mayat daripada runtuhan sebuah bangunan lima tingkat yang roboh di kawasan padat penduduk di Lyari, Karachi.

Insiden berlaku sekitar jam 10 pagi pada 4 Julai lalu apabila penduduk di kawasan kejiranan Lyari—yang dahulunya terkenal dengan keganasan kumpulan samseng—melaporkan terdengar bunyi retakan sebelum bangunan tersebut tiba-tiba runtuh.

“Semua mayat yang terperangkap di bawah runtuhan telah dikeluarkan, jadi operasi mencari secara rasmi dihentikan,” kata Javed Nabi Khoso, pegawai tertinggi kerajaan di daerah itu kepada AFP. “Jumlah kematian kini mencecah 27 orang.”

Menurut pihak berkuasa, bangunan berkenaan telah diisytiharkan tidak selamat dan notis pengusiran telah dikeluarkan antara tahun 2022 hingga 2024. Namun begitu, beberapa tuan rumah dan penghuni mendakwa mereka tidak menerima sebarang notis rasmi.

Sundeep Maheshewari, seorang aktivis dari komuniti minoriti Hindu, mengesahkan bahawa 20 daripada mangsa adalah penganut Hindu. “Kebanyakan keluarga yang tinggal di sana sangat miskin,” katanya.

Khoso menambah bahawa lima daripada lebih 50 bangunan lain yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi di daerah itu telah dikosongkan sejak Sabtu. “Operasi pengosongan telah dimulakan dan akan diteruskan sehingga semua bangunan berbahaya dikosongkan,” katanya.

Insiden runtuhan bangunan bukanlah perkara asing di Pakistan, negara berpenduduk lebih 240 juta orang, berikutan piawaian keselamatan yang lemah dan penggunaan bahan binaan yang tidak berkualiti. Namun Karachi, yang menempatkan lebih 20 juta penduduk, sering dikaitkan dengan pembinaan tidak sah, infrastruktur uzur, kawasan sesak, dan penguatkuasaan undang-undang bangunan yang lemah.

Bangunan yang runtuh itu terletak di daerah Lyari, salah satu kawasan tertua di bandaraya Karachi yang didiami oleh golongan pekerja dan keluarga migran dari latar belakang minoriti. Bangunan itu dikatakan bergetar kuat sebelum roboh secara tiba-tiba, menghasilkan awan debu tebal.

Kini, lokasi kejadian hanya tinggal timbunan logam yang berpintal, bongkah konkrit yang hancur, dan barangan peribadi yang bertaburan—termasuk buku sekolah, kasut dan mesin jahit.

Antara yang paling terkesan ialah Imdad Hussain, 28, seorang nelayan tempatan. “Saya membesar di bangunan itu. Saya kenal semua yang tinggal di situ,” katanya. Hussain kehilangan tujuh ahli keluarga termasuk rakan-rakan zaman kanak-kanak dalam tragedi itu.

Kini beliau tinggal menumpang dengan saudara-mara sementara menunggu masa depan yang masih tidak pasti. “Kami bukan sahaja kehilangan rumah, tetapi juga orang tersayang. Saya tak tahu macam mana kami akan mulakan semula hidup kami,” luahnya dengan sebak.

Sementara itu, Saeed Ghani, Menteri Kerajaan Tempatan Wilayah Sindh, berkata pihak Pesuruhjaya Karachi telah diarahkan untuk menyemak semula semua 51 bangunan yang dikenal pasti sebagai “sangat berbahaya”. “Tujuannya adalah untuk mengelakkan insiden seperti ini daripada berulang,” katanya kepada media tempatan.

Kira-kira 100 penduduk daripada 12 keluarga dilaporkan mendiami bangunan yang runtuh, manakala hampir 50 lagi keluarga dari tiga bangunan bersebelahan telah dipindahkan selepas struktur bangunan mereka juga didapati tidak selamat.

Lakshmi, seorang tukang cuci sekolah yang tinggal di sebelah bangunan tersebut, berkongsi detik-detik cemas ketika menerima panggilan daripada kakaknya yang tinggal di bangunan berkenaan.

“Kakak saya telefon dan cakap bangunan sedang bergoyang,” katanya. Kakaknya terselamat, namun Lakshmi masih bimbang kerana telah menyerahkan barang kemas milik keluarganya kepada kakaknya sebagai persediaan untuk perkahwinan anak perempuannya.
“Kami berjaya selamatkan nyawa, tapi semuanya yang lain hilang. Kami tak tahu apa akan jadi selepas ini,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg