Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Luar Thai: Myanmar masih perlukan bantuan perubatan, tempat perlindungan

Apr 9, 2025 | 4:57 PM
Orang ramai menggeledah runtuhan bangunan yang telah musnah di Mandalay pada 5 April 2025, susulan gempa bumi pada 28 Mac lalu. Gempa bumi cetek bermagnitud 7.7 itu meranapkan bangunan di seluruh Myanmar, mengorbankan lebih 3,000 nyawa dan menyebabkan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.
Orang ramai menggeledah runtuhan bangunan yang telah musnah di Mandalay pada 5 April 2025, susulan gempa bumi pada 28 Mac lalu. Gempa bumi cetek bermagnitud 7.7 itu meranapkan bangunan di seluruh Myanmar, mengorbankan lebih 3,000 nyawa dan menyebabkan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal. - Foto AFP

YANGON; Myanmar yang dilanda gempa bumi kuat masih memerlukan bantuan perubatan segera, hospital lapangan dan tempat perlindungan sementara, kata Menteri Luar Thailand, Encik Maris Sangiampongsa, sambil menegaskan kepentingan kerjasama serantau yang terselaras serta sokongan jangka panjang.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda pada 28 Mac adalah antara yang terkuat dalam tempoh satu abad, menggegarkan kawasan yang dihuni 28 juta penduduk, meruntuhkan bangunan, memusnahkan komuniti dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal, makanan dan air bersih.

Pihak berkuasa junta tentera memaklumkan bahawa 3,645 orang terbunuh, 5,017 cedera dan 148 masih hilang, manakala hampir 49,000 rumah serta lebih 2,100 bangunan pemerintah musnah.

Menteri Luar Thailand dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Mohamad Hasan, bertemu pegawai Myanmar di ibu negara Naypyitaw dan menyaksikan sendiri skala kemusnahan tersebut.

“Apa yang paling diperlukan Myanmar sekarang ialah hospital lapangan,” kata Encik Maris dalam satu temu bual pada 8 April malam. “Hospital sedia ada tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana rosak akibat gempa.”

Beliau turut menyatakan keperluan segera seperti khemah, kelambu, penapis air dan bekalan makanan serta air bersih, di tengah kebimbangan meningkatnya penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa yang kehilangan tempat tinggal, ditambah pula dengan cuaca panas melampau.

Pada 9 April, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) mengucapkan terima kasih kepada lebih 30 pasukan mencari dan menyelamat dari 13 negara yang telah dikerah membantu. Beberapa pasukan kini mula berundur selepas menyelesaikan misi mereka.

“Kepakaran mereka sangat penting dalam fasa awal bencana – membantu mengesan mangsa dan menyokong komuniti dalam saat paling gelap,” menurut OCHA menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa pasukan penyelamat dari China telah meninggalkan Myanmar setelah menamatkan misi mereka. Pada hari sama, kumpulan kelima bantuan kecemasan dari China tiba dengan muatan 91 tan, termasuk 266 khemah dan ribuan kelambu serta kepingan kanvas.

Gempa bumi ini merupakan tamparan hebat kepada Myanmar, yang sebelum ini telah pun bergelut dengan ekonomi yang merosot serta perang saudara berpanjangan susulan rampasan kuasa tentera pada 2021. Menurut PBB, lebih 3.5 juta penduduk telah pun kehilangan tempat tinggal sebelum bencana ini berlaku.

Walaupun pihak junta dan kumpulan pemberontak mengumumkan gencatan senjata unilateral bagi memudahkan misi bantuan, kedua-duanya saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.

Pemimpin junta, Encik Min Aung Hlaing, menegaskan bahawa pembinaan semula mesti mengambil kira daya tahan terhadap bencana alam. “Kita mesti belajar daripada bencana lalu yang mengorbankan banyak nyawa,” katanya dalam laporan media rasmi pada 9 April. “Pegawai perlu mengawasi pembinaan bangunan dengan ketat.”

Menurut Encik Maris, Thailand dan Malaysia kini merancang bantuan jangka sederhana dan panjang, termasuk pemulihan kawasan yang rosak. Malaysia akan menyelaraskan bantuan di wilayah Sagaing, manakala Thailand akan menumpukan usaha kemanusiaan di Mandalay, dua kawasan yang berhampiran pusat gempa.

“Kami maklumkan kepada Myanmar bahawa selain membantu rakyat, dua pasukan ini juga akan menguruskan penyelarasan bantuan asing yang masuk,” jelas Encik Maris. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg