Lebih 2,700 orang telah didenda atas kesalahan berkaitan vape sejak hukuman yang lebih berat berkuat kuasa pada 1 September.
Dalam satu kenyataan bersama pada 18 Disember, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata bahawa daripada 2,710 orang yang ditangkap dan didenda antara September dengan November, 2,453 adalah pesalah vape umum.
Bakinya, 257 orang didapati memiliki vape yang mengandungi etomidate atau Kpod.
Antara mereka, 162 orang telah disertakan dalam program pemulihan di Institut Kesihatan Mental dan agensi perkhidmatan sosial.
Enam adalah warga asing yang telah dihantar pulang atau sedang menunggu penghantaran pulang, 18 kini dipenjarakan atas kesalahan yang tidak berkaitan dengan vape, dan seorang telah dibebaskan dengan amaran bersyarat.
Tiga orang telah didakwa di mahkamah kerana gagal menghadiri temu janji pemulihan pertama.
Mereka boleh dipenjara hingga dua tahun.
Di samping itu, 18 pesalah vape berulang telah disertakan dalam program pemulihan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Menurut The Straits Times, 14 orang telah mematuhi program pemulihan mereka, dengan empat pesalah yang ingkar sedang disiasat.
Pada masa ini terdapat lima orang yang gagal menghadiri pemulihan pertama mereka selepas disiasat melakukan kesalahan berkaitan etomidate dan vape.
Jika didakwa, pesalah etomidate boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Pesalah vape boleh didenda hingga $2,000.
Pesalah pertama yang dimasukkan ke pusat pemulihan dadah (DRC) kerana menyalahgunakan etomidate ialah seorang remaja berusia 16 tahun yang ditangkap menyalahgunakan dadah buat kali ketiga, kata kenyataan itu.
Remaja itu dimasukkan ke DRC pada 27 November.
Seorang pemegang permit kerja berusia 26 tahun dari Taiwan ditemui bersama pod etomidate pada 21 Oktober dan permitnya dibatalkan.
Dia telah dihantar pulang atas kesalahan itu.
Seramai 10 orang juga telah didakwa oleh HSA di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, termasuk dua orang atas dakwaan pengedaran pod vape etomidate.
Seramai 46 orang telah ditangkap menyeludup vape di lapangan terbang, pusat pemeriksaan atau pusat kapal persiaran dan 26,000 vape dan komponen berkaitan telah dirampas.
Enam orang telah didakwa di mahkamah, 29 telah didenda, tujuh telah diberi amaran keras, dan empat sedang disiasat.
Terdapat juga lebih daripada 3,200 aktiviti vape yang dilaporkan melalui borang pelaporan dalam talian dan talian hotline HSA.
Orang ramai telah melaporkan penyenaraian dalam talian, media sosial dan platform pesanan dengan iklan dan hantaran haram.
HSA berkata ia telah melupuskan lebih 830 penyenaraian berkaitan vape dalam talian, laman web dan Telegram, serta telah mengambil tindakan terhadap 15 orang yang menyiarkan diri mereka sedang menghisap vape atau dengan vape di media sosial.
Seramai 72 orang juga telah mendaftar secara sukarela dalam program QuitVape untuk berhenti menggunakan vape etomidate, manakala lebih 310 orang mendaftar untuk program I Quit.
“Mereka yang secara sukarela meminta bantuan tidak akan menghadapi sebarang tindakan mahupun mempunyai rekod kesalahan untuk tampil,” kata kenyataan itu, sambil menambah program QuitVape dan I Quit adalah percuma.
Orang ramai boleh melupuskan vape secara sukarela di tong pelupusan vape seperti di pusat pemeriksaan sempadan dan di program dan lokasi pemulihan QuitVape.
Hukuman yang lebih berat berkuat kuasa pada 1 September bagi mereka yang memiliki, menggunakan atau membeli vape.
Pengguna degil dikehendaki menjalani pemulihan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg