Seorang lelaki yang dipercayai pengedar rokok elektronik mengandungi etomidate atau dikenali sebagai Kpod telah didakwa atas lima pertuduhan melakukan perbuatan terburu-buru yang boleh menyebabkan kecederaan kepada lima pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) semasa operasi pada 10 Julai.
Pada 9 Disember, Jodan Chin Wei Liang, yang rakaman cubaan melarikan diri daripada serbuan HSA di Bishan sebelum ini tular, turut dikenakan enam pertuduhan tambahan yang berkaitan dengan Kpod.
Warga Singapura berusia 28 tahun itu kini berhadapan dengan 21 pertuduhan kesemuanya, dengan majoriti pertuduhan melibatkan vape dan peranti vape.
Menurut pertuduhan terkini, Chin memandu kereta di bahagian belakang Blok 189, Bishan Street 13, sekitar 4 petang pada 10 Julai.
Dia kemudian memecut kenderaannya ketika lima pegawai HSA berada berhampiran.
The Straits Times (ST) sebelum ini melaporkan pegawai HSA sedang berusaha mengepung kereta itu semasa operasi apabila Chin didakwa menghidupkan enjin dan cuba memecut dari lokasi.
Dokumen mahkamah menyatakan seorang pegawai, yang berada berhampiran pintu penumpang hadapan, terpaksa melompat ke dalam kereta untuk mengelak daripada dilanggar, manakala seorang lagi pegawai terpaksa melompat keluar dari kenderaan tersebut.
Secara berasingan, Chin turut dituduh menawarkan pelbagai jenis Kpod untuk dijual pada Julai.
Apabila Kpod disedut, etomidate akan memasuki paru-paru secara langsung, berpotensi mencetuskan kekejangan, kesukaran bernafas, sawan dan juga gangguan mental.
Persidangan praperbicaraannya dijadual berlangsung pada 23 Disember.
Dia pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 18 Julai, dan didakwa menjual dan memiliki alat vape.
Pada November, dia didakwa di bawah Akta Pasport.
Dia dituduh membuat kenyataan palsu dalam usaha untuk memohon pasport Singapura baru pada 12 Julai, dua hari selepas penangkapan awalnya.
Warga Singapura itu didakwa mengisytiharkan dia telah kehilangan pasportnya pada 12 Julai walaupun dia mengetahui ia adalah satu pembohongan.
Untuk melaporkan kesalahan ‘vape’ dan penjualan peranti vaping kepada pihak berkuasa, orang ramai boleh menghubungi Cawangan Peraturan Tembakau HSA di talian 6684-2036 atau 6684-2037 dari 9 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg