Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 anak ketua Hamas terbunuh dalam serangan Israel

Apr 11, 2024 | 12:34 PM
Para penduduk melihat sebuah kereta yang musnah bersama tiga anak lelaki pemimpin kanan Hamas, Encik Ismail Haniyeh, yang terbunuh akibat serangan udara Israel di kem pelarian Al-Shati di barat Gaza pada 10 April.
Para penduduk melihat sebuah kereta yang musnah bersama tiga anak lelaki pemimpin kanan Hamas, Encik Ismail Haniyeh, yang terbunuh akibat serangan udara Israel di kem pelarian Al-Shati di barat Gaza pada 10 April. - Foto AFP

GAZA: Tiga anak lelaki pemimpin politik paling kanan Hamas, Encik Ismail Haniyeh, terbunuh pada 10 April dalam serangan udara Israel di Gaza, kata saudara-mara dan saluran media Hamas.

Encik Haniyeh yang mengakui kematian lebih ramai anggota keluarganya, memberi amaran kepada Israel bahawa ia tidak akan “mematahkan tekad rakyat kita”.

Beliau berkata serangan maut itu akan gagal memaksa Hamas dalam usaha rundingan ke arah gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

“Sekiranya mereka (Israel) berfikir bahawa menyasarkan anak-anak saya... pada kemuncak perbincangan ini dan sebelum tindak balas usaha itu, jika mereka fikir ini akan memaksa Hamas menukar kedudukannya, ia adalah khayalan mereka,” tambahnya.

“Darah anak-anak saya tidak lebih berharga daripada darah rakyat Palestin. Kami tidak akan berundur dengan tuntutan kami,” tambahnya.

Encik Ameer, Encik Hazem dan Encik Mohammad Haniyeh terbunuh berhampiran kem pelarian Shati di Bandar Gaza, kata Hamas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 10 April, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata ia membunuh “tiga operasi tentera Hamas yang menjalankan kegiatan pengganas di tengah Jaluran Gaza”.

IDF mendakwa Encik Ameer Haniyeh adalah komander sel dalam sayap tentera Hamas, manakala Encik Mohammad Haniyeh dan Encik Hazem Haniyeh adalah anggota tentera kumpulan tersebut.

Hamas berkata serangan Israel itu memusnahkan kenderaan berhampiran rumah milik keluarga Encik Haniyeh.

“Semua penduduk Gaza membayar harga yang tinggi dan melihat darah anak lelaki mereka ditumpahkan, dan saya adalah salah seorang daripada mereka,” kata Encik Haniyeh kepada rangkaian Al Jazeera dalam temu bual pada 10 April.

Menurut Al Jazeera, beliau berkata beberapa cucunya turut terbunuh, dan kumpulan itu telah menjadi sasaran ketika mereka melawat saudara-mara untuk Aidilfitri.

“Israel berpendapat bahawa dengan menyasarkan anak-anak pemimpin, mereka akan memusnahkan keazaman rakyat kita. Kami tidak akan berundur, dan kami akan terus berjuang demi membebaskan Baitulmakdis dan Masjid Al-Aqsa.”

Beliau berkata 60 ahli keluarganya telah terbunuh sejak Israel melancarkan perang menentang Hamas di Gaza, yang dicetuskan oleh serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang.

Anak lelaki sulungnya, Encik Abdel-Salam Haniyeh, juga mengesahkan dalam hantaran Facebook bahawa tiga adiknya telah terbunuh.

Israel dan Amerika Syarikat telah lama menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas, tetapi ia juga merupakan salah satu daripada dua puak politik Palestin yang utama.

Encik Haniyeh, sebagai ketua biro politik kumpulan itu, telah berpangkalan selama bertahun-tahun di pejabatnya di Qatar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg