3 mantan eksekutif Pertamina dijel dalam skandal rasuah AS$17b
3 mantan eksekutif Pertamina dijel dalam skandal rasuah AS$17b
JAKARTA: Mahkamah Jakarta pada 26 Februari menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas mantan ketua pegawai eksekutif Pertamina Patra Niaga, Riva Siahaan, selepas didapati bersalah atas rasuah berkaitan pengadunan produk bahan api secara haram.
Skandal itu menandakan salah satu kes rasuah terbesar dalam sektor tenaga Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus meningkatkan penelitian terhadap pengawasan dalam perusahaan milik negara.
Ketua hakim Encik Fajar Kusuma Aji berkata Riva terbukti secara meyakinkan telah melakukan rasuah bersama beberapa eksekutif lain dalam syarikat pengedar tenaga negara antara 2018 dengan 2023.
Pendakwa raya mendakwa bahawa bahan api gred rendah telah diadun secara haram dan dijual kepada orang ramai sebagai produk berkualiti tinggi pada harga premium, menjana keuntungan haram.
Riva tidak segera memfailkan rayuan tetapi sebaliknya mengkritik keputusan itu.
“Saya percaya masih terdapat banyak fakta daripada perbicaraan yang tidak dipertimbangkan. Masa akan mendedahkan kebenaran,” katanya selepas hukuman dikenakan terhadapnya.
Dalam kes yang sama, mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas bekas rakan sekerjanya Maya Kusmaya, bekas pengarah pemasaran, dan 10 tahun ke atas Edward Corne, bekas naib presiden operasi perdagangan.
Hukuman tersebut lebih ringan daripada tuntutan pendakwa raya iaitu 14 tahun terhadap setiap defendan.
Kes ini merupakan sebahagian daripada siasatan rasuah lebih luas yang diketuai oleh Pejabat Peguam Negara terhadap dakwaan amalan pengadunan bahan api yang mungkin telah menyebabkan negara mengalami kerugian besar.
Secara keseluruhan, 18 suspek telah dinamakan dalam kes yang lebih luas. Mereka dituduh berpakat untuk memperkayakan diri mereka sendiri dan menyebabkan kerugian negara dianggarkan sebanyak AS$17 bilion (S$21.49 bilion).
Salah seorang suspek utama ialah hartawan minyak Riza Chalid, yang melarikan diri daripada negara selepas siasatan bermula.
Anak lelakinya, Muhammad Kerry Adrianto Riza, juga telah dinamakan sebagai suspek dan kini sedang ditahan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Interpol telah mengeluarkan notis merah terhadap Riza Chalid, yang dikehendaki berhubung skandal rasuah AS$17 bilion melibatkan syarikat milik pemerintah itu.
Riza Chalid, 66 tahun, yang dikenali dengan gelaran “gasoline godfather” kerana pengaruhnya dalam industri minyak, disiasat atas dakwaan terlibat dalam rasuah, pengubahan wang haram serta manipulasi perjanjian pajakan dalam pengurusan minyak mentah dan produk penapisan Pertamina antara 2018 hingga 2023. - Agensi berita

