JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menggunakan ucapan sempena cuti nasional untuk menyampaikan amaran keras kepada golongan elit politik negara itu, menggesa pegawai awam yang berprestasi rendah supaya berundur atau berdepan penyingkiran.
Ketika berucap pada 2 Jun di majlis memperingati ideologi negara pengasas Indonesia, Pancasila, beliau menyalahkan banyak perjuangan negara kepada pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan pihak yang gagal bertindak demi kepentingan negara.
“Salah satu kelemahan terbesar kita ialah mentaliti golongan elit negara,” kata Encik Prabowo dalam ucapan berapi-api selama setengah jam di hadapan ratusan anggota tentera, polis dan anggota Kabinet di Jakarta.
“Masih terlalu banyak penyelewengan, terlalu banyak rasuah, terlalu banyak manipulasi dan ia berlaku di dalam pemerintah,” tegasnya.
Pegawai yang tidak dapat melaksanakan tugas mereka, tambahnya, harus “berundur sebelum saya memecat mereka”.
Beliau tidak menamakan sasaran atau agensi tertentu dalam ucapannya itu.
Ucapan itu menandakan salah satu kritikan awam terkuat Encik Prabowo terhadap birokrasi Indonesia sejak memegang jawatan pada Oktober 2024.
Encik Prabowo, seorang ahli kelas atasan Indonesia yang berkahwin dengan keluarga mantan presiden Suharto, banyak bergantung kepada tema retorik: bahawa elit yang rasuah dan tidak berkesan melemahkan perpaduan nasional dan mensia-siakan sumber negara.
Kurang setahun dalam tempoh perkhidmatannya, Encik Prabowo telah meletakkan dirinya sebagai pemimpin popular yang ingin meningkatkan taraf hidup di seluruh kepulauan yang mempunyai lebih 280 juta orang.
Pentadbirannya sedang melancarkan skim makanan percuma untuk pelajar di seluruh negara, dan mendedahkan rancangan menurunkan kos pengangkutan dan tenaga sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna.
Program perbelanjaan besarnya dan peralihan dasar yang tajam menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur pada awal 2025, walaupun sejak itu sentimen telah kembali stabil.
Encik Prabowo juga telah menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tegar terhadap rasuah, masalah yang telah lama berakar umbi dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Indonesia menduduki tempat ke-99 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2024, dan keyakinan orang ramai terhadap institusi pengawasan agak rendah.
Encik Prabowo turut memberi amaran tentang campur tangan asing, menuduh pelaku antarabangsa membiayai kumpulan masyarakat sivil untuk memecahbelahkan Indonesia atas nama mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia.
“Mereka telah melakukan ini selama beberapa dekad. Dengan wang, mereka membiayai pertubuhan bukan pemerintah yang melaga-lagakan kita antara satu sama lain. Kita tidak boleh dimanipulasi oleh mana-mana negara,” tegas Encik Prabowo.
Beliau menyampaikan ucapannya di Bangunan Pancasila di Jakarta Tengah – tapak yang sama presiden pengasas negara itu, Encik Sukarno, mula-mula membentangkan ideologi penyatuan bagi penduduk Indonesia yang pelbagai pada Jun 1945. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg