Interpol keluar notis merah buru taikun minyak Indonesia dalam skandal rasuah AS$17b
Interpol keluar notis merah buru taikun minyak Indonesia dalam skandal rasuah AS$17b
JAKARTA: Interpol telah mengeluarkan notis merah terhadap seorang daripada taikun minyak terbesar Indonesia,Encik Mohammad Riza Chalid, yang dikehendaki berhubung skandal rasuah bernilai kira-kira AS$17 bilion (S$21.6 bilion) melibatkan syarikat minyak milik pemerintah, Pertamina.
Encik Riza Chalid, 66 tahun, yang dikenali dengan gelaran “gasoline godfather” kerana pengaruhnya dalam industri minyak, disiasat atas dakwaan terlibat dalam rasuah, pengubahan wang haram serta manipulasi perjanjian pajakan dalam pengurusan minyak mentah dan produk penapisan Pertamina antara 2018 hingga 2023.
Setiausaha Biro Pusat Kebangsaan (NCB) Interpol Indonesia, Brigedier Jeneral Untung Widyatmoko, berkata Interpol telah mengeluarkan notis merah terhadap Riza pada 23 Januari lalu. “Kami tidak boleh mendedahkan secara terperinci di mana beliau berada, tetapi kami sudah mengetahuinya,” katanya kepada media pada 1 Februari.
Menurut Encik Widyatmoko, notis merah itu telah diedarkan kepada 196 negara anggota Interpol bagi mendapatkan bantuan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa untuk mengesan dan menahan sementara Riza sementara proses undang-undang dijalankan.
Kes rasuah ini membabitkan dakwaan bahawa Riza, anaknya Encik Muhammad Kerry Adrianto Riza, serta beberapa pegawai kanan Pertamina telah bersekongkol untuk mengimport minyak mentah daripada pembekal luar negara pada harga lebih tinggi, walaupun undang-undang Indonesia mewajibkan keutamaan kepada sumber domestik.
Pejabat Peguam Negara Indonesia menganggarkan nilai kerugian negara akibat perbuatan tersebut mencecah 285 trilion rupiah, bersamaan kira-kira AS$17 bilion. Setakat ini, 18 individu telah dinamakan sebagai suspek dalam kes berprofil tinggi itu.
Pada Julai lalu, Encik Riza, anaknya Encik Kerry, serta beberapa pegawai kanan Pertamina secara rasmi dinamakan sebagai suspek. Encik Kerry kini ditahan dan dikenal pasti sebagai pemilik manfaat sebuah syarikat perkapalan minyak dan gas swasta yang didakwa terlibat secara langsung dalam skim import tersebut.
Pihak imigresen Indonesia mengesahkan pasport Indonesia milik Encik Riza telah dibatalkan pada Oktober tahun lalu, sekali gus menyukarkan pergerakannya merentasi sempadan secara sah.
Encik Widyatmoko menegaskan bahawa selepas pengeluaran notis merah, pihaknya telah mengadakan koordinasi lanjut dengan rakan sejawat di dalam dan luar negara, termasuk kementerian serta agensi berkaitan.
“NCB Interpol Indonesia menyokong sepenuhnya tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap individu yang melarikan diri ke luar negara untuk mengelakkan tanggungjawab undang-undang, sehingga menjadi buruan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa lokasi Encik Riza kini berada di sebuah negara anggota Interpol dan sedang dipantau rapat. “Kami boleh mengesahkan bahawa individu berkenaan berada di sebuah negara anggota Interpol. Lokasinya telah dikenal pasti dan diletakkan di bawah pemantauan. Pasukan kami kini berada di negara terbabit,” katanya, sambil menambah bahawa butiran lanjut tidak boleh didedahkan bagi melindungi operasi penguatkuasaan yang sedang berjalan.
Menurut Encik Widyatmoko, kejayaan mendapatkan notis merah itu bukan hasil usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya mencerminkan kerjasama meluas antara pelbagai agensi di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pencapaian ini mencerminkan sokongan serta kerjasama kementerian, institusi dan organisasi antarabangsa yang komited dalam penguatkuasaan undang-undang serta usaha memburu penjenayah rentas sempadan,” katanya.
Notis merah Interpol bukan waran tangkap antarabangsa, tetapi satu permintaan rasmi kepada agensi penguatkuasaan di seluruh dunia untuk mengesan dan menahan sementara seseorang individu sementara proses perundangan diputuskan oleh pihak berkuasa negara pemohon.
Indonesia sejak sekian lama berdepan cabaran serius berkaitan rasuah, khususnya dalam sektor awam dan syarikat berkaitan pemerintah. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, puluhan pegawai kanan kerajaan telah ditahan dan didakwa.
Pada 2023, seorang bekas menteri komunikasi dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas didapati bersalah dalam satu kes rasuah yang menyebabkan kerugian negara melebihi AS$530 juta, menurut penyiasat.
Dalam kes Encik Riza, pihak polis Indonesia dilaporkan telah mengemukakan permohonan kepada ibu pejabat Interpol di Lyon, Perancis, sejak September 2025 untuk mengeluarkan notis merah.
Seorang pegawai Kementerian Imigresen sebelum ini mendedahkan bahawa Encik Riza dipercayai menetap di Malaysia selepas melarikan diri dari Indonesia ketika gelombang pertama penahanan dibuat oleh Pejabat Peguam Negara pada Februari.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui bahawa beliau mengenali dan pernah bertemu Encik Riza, namun menegaskan kerajaan Malaysia tidak akan campur tangan dalam sebarang proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Kerajaan tidak akan mengganggu mana-mana siasatan atau proses perundangan,” katanya sebelum ini. - Agensi berita

