3 pemimpin Asia Tenggara sertai mesyuarat pertama Lembaga Keamanan
3 pemimpin Asia Tenggara sertai mesyuarat pertama Lembaga Keamanan
WASHINGTON: Tiga pemimpin Asia Tenggara iaitu Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto; pemimpin tertinggi Vietnam, Encik To Lam dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet akan menghadiri mesyuarat rasmi pertama Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump di Washington pada 19 Februari.
Namun ketiadaan beberapa sekutu rapat Washington di rantau ini menjadi perhatian, termasuk Thailand dan Filipina yang merupakan sekutu perjanjian pertahanan Amerika serta Malaysia yang sebelum ini antara negara terawal Asia Tenggara menandatangani perjanjian perdagangan dengan pentadbiran Encik Trump.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan pembinaan semula Gaza dan mengumumkan komitmen dana melebihi AS$5 bilion.
Bagaimanapun, ramai penganalisis percaya peranan badan tersebut tidak akan terhad kepada Gaza semata-mata.
Reaksi berbeza negara Asia Tenggara menunjukkan bagaimana setiap pemerintah menilai wadah baru Encik Trump, sekali gus mencerminkan persoalan lebih luas sama ada mereka percaya sistem antarabangsa berasaskan peraturan pasca Perang Dunia Kedua kini semakin terhakis.
Bagi negara yang sedang meningkat seperti Indonesia dan Vietnam, penyertaan dilihat peluang meningkatkan akses politik ke Rumah Putih.
Namun langkah itu juga membawa implikasi menerima sistem antarabangsa yang lebih berasaskan kuasa dan rundingan dua hala, kata penganalisis.
Komposisi delegasi Vietnam mencerminkan kesungguhan Hanoi terhadap mesyuarat tersebut.
Selain Setiausaha Agung Parti Komunis Encik To Lam, rombongan turut disertai menteri pertahanan, keselamatan awam, luar negeri, kewangan, industri dan perdagangan serta gabenor bank pusat.
Media rasmi Vietnam menyatakan penyertaan itu melambangkan komitmen terhadap usaha keamanan sejagat.
“Langkah ini mencerminkan kesediaan Vietnam menyertai usaha bersama masyarakat antarabangsa untuk keamanan dan pembangunan,” lapor media negara itu.
Ia juga digambarkan sebagai langkah konkrit memperkukuh perkongsian strategik komprehensif Vietnam-Amerika yang dipertingkatkan sejak 2023.
Penganalisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, Encik Gregory Poling, berkata keanggotaan Lembaga Keamanan kebanyakannya terdiri daripada kuasa pertengahan yang bukan sekutu perjanjian Amerika.
Bagi Filipina dan Thailand, katanya, penyertaan tidak memberi keuntungan jelas.
“Bagi kedua-dua negara, sebenarnya tiada kelebihan besar untuk menyertai badan ini,” katanya.
Beliau menambah kerajaan Asia Tenggara secara umum bimbang kemungkinan badan itu meminggirkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kebangkitan ekonomi rantau ini berlaku dalam sistem berasaskan peraturan. Mereka tidak berminat dengan sistem antarabangsa yang bergantung sepenuhnya kepada kekuatan kuasa,” katanya.
Sarjana dari Singapura, Cik Elina Noor dari Yayasan Keamanan Antarabangsa Carnegie, berkata lembaga itu dilihat eksklusif namun menimbulkan persoalan tentang kesahihannya.
“Pada hakikatnya, lembaga ini memberi kuasa kepada dirinya untuk membina semula Gaza tanpa pertanggungjawaban terhadap kemusnahan yang berlaku,” katanya.
Menurut beliau, perkara itu mungkin antara sebab negara seperti Malaysia yang lantang mengkritik tindakan Israel memilih untuk tidak menyertainya.
Sebaliknya Indonesia dan Vietnam melihat peluang meningkatkan pengaruh sebagai kuasa pertengahan baru.
Encik Prabowo tiba di Pangkalan Tentera Bersama Andrews berhampiran Washington pada 17 Februari bersama menteri tenaga dan sumber mineral, menteri ekonomi serta menteri pelaburan.
Selain menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan, beliau dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Encik Trump, yang berpotensi menghasilkan perjanjian perdagangan baru.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika-Asean, Encik Brian McFeeters, berkata rundingan hampir dimuktamadkan.
“Kami melihat Indonesia semakin hampir melengkapkan perjanjian perdagangan timbal balik,” katanya.
Perjanjian itu bakal menyusuli perjanjian serupa yang ditandatangani Encik Trump dengan Malaysia dan Kemboja pada Oktober lalu.
Perjanjian berkenaan memerlukan rakan dagang Asia Tenggara menerima kawalan eksport, sekatan dan yuran selaras dengan Amerika sebagai balasan pengurangan tarif balas Washington.
Encik McFeeters berkata perhatian kini tertumpu kepada halangan bukan tarif, khususnya di Indonesia.
“Perkara paling menarik ialah halangan bukan tarif,” katanya.
“Di Indonesia, halangan terbesar ialah syarat kandungan tempatan. Untuk menghasilkan produk teknologi tinggi, syarikat perlu membuktikan 40 hingga 50 peratus dibuat di dalam negara, sesuatu yang sukar dan kadang-kadang tidak masuk akal dari sudut ekonomi.”
Penganalisis melihat rundingan perdagangan dan penyertaan dalam Lembaga Keamanan saling berkait, mencerminkan pendekatan geopolitik baru Washington yang menggabungkan keselamatan dan ekonomi.
Dengan kehadiran sebahagian negara dan ketiadaan yang lain, mesyuarat pertama badan tersebut dijangka bukan sahaja menentukan masa depan Gaza, malah menguji kedudukan Asia Tenggara dalam susunan geopolitik global yang sedang berubah. – Agensi berita.

