Indonesia sedia hantar 1,000 tentera ke Gaza awal April

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sedia hantar 1,000 tentera ke Gaza awal April

Tugas pasukan dijangka akan menjaga keselamatan, bantu operasi kemanusiaan selepas konflik
Feb 16, 2026 | 4:09 PM

Indonesia sedia hantar 1,000 tentera ke Gaza awal April

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
indonesia, gaza, tentera, misi pengaman
Wanita yang menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin menyertai protes di luar Kedutaan Palestin bagi membantah Israel serta menuntut pemerintah Indonesia membatalkan cadangan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza. - Foto REUTERS

JAKARTA: Indonesia sedang menyiapkan kira-kira 1,000 anggota tentera untuk kemungkinan dihantar ke Gaza seawal April sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman antarabangsa yang dicadangkan, menurut jurucakap Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Jurucakap TNI Donny Pramono berkata keputusan akhir hanya akan dibuat oleh pemerintah dan Presiden Prabowo Subianto, bergantung kepada perkembangan politik serta mekanisme antarabangsa.

“Jadual penghantaran tertakluk sepenuhnya kepada keputusan politik negara dan mekanisme antarabangsa yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah jumlah anggota yang bersedia boleh meningkat sehingga 8,000 orang menjelang Jun jika operasi itu diluluskan sepenuhnya.

Penubuhan badan itu disokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian pelan menamatkan perang antara Israel dengan Hamas di Gaza.

Pasukan yang dicadangkan dikenali sebagai Pasukan Penstabilan Antarabangsa dan dijangka bertugas menjaga keselamatan serta membantu operasi kemanusiaan selepas konflik.

Kementerian Luar Indonesia menegaskan penyertaan tentera negara itu tidak boleh ditafsir sebagai perubahan dasar terhadap Israel.

“Penyertaan ini tidak bermaksud normalisasi hubungan politik dengan mana-mana pihak,” menurut kenyataan kementerian.

Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan kekal menyokong perjuangan Palestin.

Kementerian juga menegaskan penempatan hanya boleh dilakukan dengan persetujuan pihak berkuasa Palestin.

“Tugas pasukan adalah berdasarkan bantuan kemanusiaan dan bukan untuk tempur,” kata kenyataan itu.

Ia turut menekankan anggota Indonesia tidak mempunyai mandat melucutkan senjata mana-mana pihak.

Jakarta turut menyuarakan kebimbangan terhadap sebarang usaha memindahkan penduduk Palestin secara paksa.

“Indonesia secara konsisten menolak semua percubaan perubahan demografi atau pemindahan paksa rakyat Palestin dalam apa jua bentuk,” kata kementerian itu.

Pendirian tersebut selari dengan dasar luar Indonesia yang lama menyokong penyelesaian dua negara.

Pemerhati melihat langkah Indonesia sebagai usaha memainkan peranan diplomatik lebih aktif di pentas global tanpa mengubah prinsip dasar luar.

Seorang penganalisis hubungan antarabangsa berkata misi itu berbeza daripada operasi ketenteraan biasa.

“Ia lebih kepada peranan kemanusiaan dan kestabilan, bukan campur tangan ketenteraan. Indonesia mahu membantu keamanan tanpa dilihat memihak,” katanya.

Menurutnya, penekanan kepada mandat bukan tempur penting bagi mengekalkan sokongan domestik dan serantau.

Walaupun persiapan logistik sedang dilakukan, penghantaran sebenar masih bergantung kepada keputusan politik serta persetujuan pihak berkaitan di peringkat antarabangsa.

Bagi Indonesia, operasi itu dilihat sebagai keseimbangan antara tanggungjawab global dan komitmen sejarah terhadap Palestin.

Sekiranya diluluskan, ia akan menjadi antara penyertaan misi keamanan terbesar Indonesia di luar negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sambil mengekalkan pendirian bahawa bantuan kemanusiaan tidak bermakna pengiktirafan politik terhadap mana-mana pihak dalam konflik. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg