Topik diikuti
Pergi ke BHku3 terkorban dalam tragedi tembakan semasa festival makanan di Seattle
3 terkorban dalam tragedi tembakan semasa festival makanan di Seattle
3 terkorban dalam tragedi tembakan semasa festival makanan di Seattle
SEATTLE: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam kejadian tembakan di festival makanan, Bite of Seattle, berhampiran mercu tanda Space Needle di bandar raya Seattle, Amerika Syarikat, pada 26 Julai.
Ia termasuk dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala lima lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun
Polis mengesahkan seorang suspek berjaya ditahan, namun motif serangan masih dalam siasatan.
Ketua Penolong Polis Seattle, Encik Tyrone Davis, berkata dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Harborview.
“Setakat ini tiga kematian disahkan. Lima lagi mangsa cedera dan sedang menerima rawatan,” katanya pada sidang media.
Tragedi itu berlaku kira-kira 6 petang waktu tempatan ketika ribuan pengunjung menghadiri hari terakhir festival makanan tahunan yang berlangsung di Seattle Center, kawasan riadah yang menempatkan Space Needle.
Jabatan Polis Seattle segera mengarahkan orang ramai supaya menjauhi kawasan berkenaan ketika anggota keselamatan dan pasukan kecemasan menjalankan operasi.
“Beberapa mangsa ditembak. Tembakan dilepaskan di Seattle Center,” tambah kenyataan polis menerusi media sosial.
Datuk Bandar Seattle, Cik Katie Wilson, menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang mengejutkan seluruh bandar.
“Apa yang berlaku di Seattle Center hari ini (26 Julai) adalah satu tindakan keganasan yang amat mengerikan.
“Keluarga mangsa sedang melalui detik paling sukar dalam hidup mereka, manakala seluruh masyarakat tertanya-tanya bagaimana acara yang dibina atas semangat budaya, perpaduan dan kegembiraan boleh berakhir dengan pertumpahan darah,” katanya.
Beliau mengesahkan seorang suspek sudah ditahan, namun tidak mendedahkan identitinya atau sama ada terdapat suspek lain yang masih diburu.
Jabatan Bomba Seattle berkata lima mangsa yang cedera mengalami kecederaan daripada tahap ringan hingga serius.
Mangsa termuda ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Empat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Harborview, termasuk kanak-kanak terbabit, seorang lelaki berusia 23 tahun dan dua wanita dewasa.
Jurucakap hospital, Cik Susan Gregg, berkata semua mangsa mengalami kecederaan akibat tembakan.
Beliau berkata seorang wanita berada dalam keadaan tenat dan menjalani pembedahan, manakala tiga lagi berada dalam keadaan memuaskan.
Seorang saksi, Encik Estan Wakonabo, berkata beliau sedang beratur bersama teman wanitanya untuk bergambar di reruai festival sebelum suasana tiba-tiba bertukar menjadi huru-hara.
“Orang ramai menolak antara satu sama lain, ada yang terjatuh, kereta sorong bayi turut terbalik.
“Apabila saya mendengar bunyi ‘pop, pop, pop’, saya terus sedar ada penembak,” katanya.
Beliau segera membawa teman wanitanya ke tempat selamat sebelum kembali ke lokasi kejadian.
“Saya melihat beberapa mangsa terbaring di tanah sementara pasukan penyelamat memberikan bantuan kecemasan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Encik Justice Beitzel, 52 tahun, berkata muzik yang sedang dimainkan terhenti secara tiba-tiba sebelum orang ramai bertempiaran melarikan diri.
“Kami terus berlindung di belakang pagar sambil menenangkan mereka yang masih menggigil ketakutan,” katanya.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan ratusan pengunjung melompat pagar untuk menyelamatkan diri, manakala ramai lagi berlindung di lobi Space Needle.
Sebahagian pengunjung dilihat meniarap di lantai dan bersembunyi di sebalik tiang serta rak cenderamata ketika bunyi tembakan bergema.
Berikutan kejadian itu, Pusat Sains Pasifik yang terletak di dalam kompleks Seattle Center mengumumkan penutupan operasi pada 27 Julai.
Pihak pengurusan memaklumkan semua pertunjukan dan tiket masuk dibatalkan, manakala bayaran pengunjung akan dipulangkan secara automatik.
Festival, Bite of Seattle, yang bermula pada 1982 merupakan antara acara terbesar di bandar itu dan lazimnya menarik kira-kira 350,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Acara itu menampilkan ratusan reruai makanan, persembahan hiburan serta kegiatan kemasyarakatan dan menjadi antara tarikan utama musim panas di Seattle.
Kejadian tembakan itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai keganasan senjata api di Amerika, terutama apabila ia berlaku di acara awam yang dihadiri ribuan keluarga dan kanak-kanak. – Agensi berita.