GOWA (Indonesia): Seramai 31 pendaki terpaksa diselamatkan selepas mengalami kecederaan, keletihan dan hipotermia ketika menyertai acara menaikkan bendera sempena ulang tahun ke-81 kemerdekaan Indonesia di Gunung Bawakaraeng, Sulawesi Selatan.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan berkata mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita yang mengalami pelbagai masalah kesihatan ketika berada di laluan pendakian dan kawasan puncak gunung pada 17 Ogos.

Komander Penyelamat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Makassar, Encik Darul, berkata antara masalah yang dialami pendaki ialah kecederaan kaki, kekejangan ketika menuruni gunung, keletihan fizikal yang teruk dan hipotermia, iaitu keadaan apabila suhu badan turun ke paras terlalu rendah.

Seorang pendaki turut dilaporkan tergelincir dan terjatuh sehingga mengalami kecederaan pada tulang belakang.

“Data sementara daripada pasukan siaga khas menunjukkan 26 pendaki yang mengalami masalah telah ditangani, terdiri daripada tujuh lelaki dan 19 wanita,” katanya.

Daripada jumlah itu, 14 pendaki telah berjaya dibawa turun dan menerima rawatan perubatan, manakala 12 lagi masih dalam proses dipindahkan ketika laporan awal dikeluarkan.

Operasi menyelamat dijalankan di beberapa lokasi, termasuk kawasan puncak di Pos 10, Pos 9 serta antara Pos 7 dengan Pos 8.

Pendaki yang mengalami kecederaan lebih serius dan tidak dapat berjalan dibawa menggunakan pengusung.

Menurut Encik Darul, proses membawa mangsa turun dilakukan secara berperingkat kerana keadaan muka bumi yang mencabar.

“Proses pemindahan dilakukan secara bergilir-gilir, bermula dari puncak menuju Pos 8 sebelum disambung pasukan di Pos 7.

“Seterusnya, mangsa diserahkan kepada pasukan di Pos 5 sebelum dibawa turun ke Pos Aju Bulu Balea untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beberapa mangsa yang mengalami hipotermia, kecederaan kaki dan kekejangan dibawa ke Pusat Kesihatan Tinggi Moncong untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Kejadian berlaku ketika ribuan pendaki membanjiri Gunung Bawakaraeng untuk menyambut Hari Kemerdekaan Indonesia dengan menyertai acara menaikkan bendera Merah Putih di kawasan gunung tersebut.

Data Pos Siaga Merah Putih menunjukkan seramai 3,786 pendaki mendaftar melalui empat laluan utama menuju ke puncak.

Daripada jumlah itu, 2,033 pendaki mendaftar melalui Bulu Balea, diikuti 1,081 melalui Tassoso, 422 melalui Kanreapia dan 250 melalui Lembanna.

Peningkatan jumlah pendaki menyebabkan pasukan keselamatan dan penyelamat meningkatkan pemantauan di sepanjang laluan bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.

Operasi Siaga Merah Putih berlangsung dari 15 hingga 18 Ogos dengan melibatkan 295 anggota daripada Basarnas, pasukan SAR masyarakat, sukarelawan dan petugas perubatan.

Mereka ditempatkan di lapan lokasi strategik, termasuk Posko Lembanna, Pos Aju Bulu Balea, Pos 5, Pos 7, Pos 8, puncak Gunung Bawakaraeng, Lembah Ramma dan laluan Tassoso.

Ketua Basarnas Makassar, Encik Muhammad Arif Anwar, sebelum ini mengingatkan pendaki supaya mengutamakan keselamatan dan tidak memaksa diri untuk sampai ke puncak sekiranya keadaan fizikal atau cuaca tidak mengizinkan.

Pendaki juga diminta memastikan keadaan kesihatan mereka baik sebelum meneruskan perjalanan bagi mengurangkan risiko kecederaan dan masalah seperti hipotermia.

“Ini bukan sekadar mengenai menjaga laluan pendakian. Ini mengenai memastikan setiap orang yang datang untuk memperingati kemerdekaan dapat pulang dengan selamat kepada keluarga mereka.

“Semangat kemerdekaan harus berjalan seiring dengan kepedulian dan kemanusiaan,” katanya. – Agensi berita.