Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 ahli kelab berhaluan kanan Sweden dijel kerana jenayah kebencian

Nov 19, 2025 | 5:23 PM
sweden, jenayah kebencian
Tiga daripada empat lelaki yang menyerang mangsa di dalam kereta api bawah tanah di Sweden. - Foto POLIS SWEDEN

STOCKHOLM: Mahkamah Stockholm pada 18 November memenjarakan empat lelaki atas jenayah kebencian kerana menyerang pendatang dalam kes melibatkan gerakan kelab kecergasan supremasi kulit putih yang semakin berkembang di Eropah.

Empat lelaki itu, berumur 20 hingga 23 tahun, merupakan anggota ‘Kelab Aktif’ – kumpulan berstruktur longgar yang bertemu di gimnasium dan bertujuan untuk mempromosikan ideologi nasionalis kulit putih, membenci kaum hawa atau misoginis dan idealogi kelakian berlebihan atau hyper-masculine.

Mereka dijatuhkan hukuman penjara antara tiga dengan tiga setengah tahun atas serangan yang teruk – memukul tiga lelaki asing dalam masa 30 minit pada 27 Ogos di Stockholm.

Kumpulan itu mula-mula memukul seorang lelaki kulit hitam dengan payung sambil menjeritkan penghinaan kaum.

Mereka kemudian menyerang seorang lelaki asal Syria, menjatuhkannya ke tanah dan menendang kepalanya sehingga beliau pengsan dan kehilangan empat gigi.

Tiga daripada empat penyerang itu kemudian memukul seorang lelaki di dalam kereta api bawah tanah.

“Empat lelaki itu berasal dari Sweden dan mempunyai kaitan dengan Aktivklubb Sverige (AKS), yang dianggap sebagai organisasi berhaluan kanan yang jelas mempunyai unsur perkauman dan terlibat dalam seni mempertahankan diri,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.

“Sekurang-kurangnya dua orang lelaki itu telah melakukan tabik hormat Hitler pada malam tersebut. Semua mangsa mempunyai latar belakang etnik yang berbeza.

“Semua jenayah yang disabitkan dengan lelaki itu mempunyai motif jenayah kebencian, kecuali vandalisme,” kata mahkamah, merujuk kepada grafiti neo-Nazi yang dilukis pada tingkap kedai.

Semasa perbicaraan, pendakwa raya mengemukakan bukti yang dirampas daripada keempat-empat mereka, termasuk buku nota dengan lambang swastika dan pelekat dengan tulisan “Sayangi Sweden, Benci Islam”.

Mangsa berkata serangan itu menyebabkan mereka trauma.

Lelaki yang diserang di dalam kereta api bawah tanah pula berkata beliau merasakan “kebencian yang amat sangat” semasa diserang.

“Saya teruk dipukul... Saya tidak sempat berfikir sebelum dia menerpa dan memukul saya dengan sepenuh kekuatan,” katanya kepada mahkamah.

Mangsa yang dipukul dengan payung memberi keterangan: “Seolah-olah orang-orang ini tahu apa yang mereka lakukan... seolah-olah sedang berlatih kick-boxing atau sesuatu yang serupa. Mereka sedang berlatih untuk mencederakan orang lain.”

Tertuduh telah menafikan tuduhan terhadap mereka, kecuali serangan terakhir, yang dirakam oleh kamera keselamatan.

Mereka mendakwa melakukan tindakan itu untuk mempertahankan diri.

Menurut badan pemantau antiperkauman Sweden, Expo, para anggota Active Club digalakkan menggunakan keganasan di luar gimnasium terhadap sasaran termasuk pendatang, perempuan, Yahudi serta golongan lesbian, gay, biseksual, transjantina dan ‘queer’ (LGBTQ).

Mereka “berharap untuk mendapatkan semula kelakian mereka melalui keganasan, meningkatkan kecergasan fizikal mereka dan membina persaudaraan yang kuat dengan lelaki lain yang saling menyokong”, menurut dokumen yang diterbitkan oleh Pusat Pencegahan Ekstremisme Keganasan Sweden.

Perkhidmatan perisikan Sweden telah memberi amaran tentang risiko radikalisasi lelaki muda yang tertarik dengan keganasan dan kumpulan sayap kanan seperti Active Clubs. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg