Topic followed successfully
Go to BHku4 calon tanding jawatan Setiausaha Agung PBB
4 calon tanding jawatan Setiausaha Agung PBB
Proses pemilihan tidak lagi tertutup, rangkumi persidangan awam bagi calon bentang visi masing-masing
4 calon tanding jawatan Setiausaha Agung PBB
NEW YORK: Minggu ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki fasa penting dalam pertandingan untuk menduduki puncak badan dunia itu dengan empat calon membentangkan visi mereka dalam persidangan awam di ibu pejabatnya di New York.
Kesemua empat calon itu bertanding bagi menggantikan Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres.
Setiausaha Agung PBB yang baru akan memegang jawatan mulai 1 Januari 2027, pada masa organisasi itu menghadapi tekanan kewangan yang meningkat, sumbangan yang tidak dibayar oleh negara anggota utama, dan keraguan yang kian meningkat tentang keupayaannya mengurus konflik dan menguatkuasakan mandatnya.
Tidak seperti pemilihan tertutup sebelum ini, proses itu kini merangkumi ceramah interaktif awam yang bertujuan meningkatkan ketelusan dan membolehkan negara anggota dan orang ramai menilai calon yang bersaing untuk jawatan tertinggi.
PBB tidak pernah mempunyai seorang wanita berkhidmat sebagai setiausaha agung dalam sejarahnya hampir 80 tahun, satu kekurangan yang diakui oleh Perhimpunan Agung dalam ketetapan September lalu yang menyeru pertimbangan yang lebih kukuh terhadap calon wanita.
Empat calon tersebut ialah mantan Presiden Chile, Cik Michelle Bachelet; diplomat Argentina yang juga ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi; pakar ekonomi Costa Rica yang juga mantan Naib Presiden Cik Rebeca Grynspan; dan mantan Presiden Senegal, Encik Macky Sall.
Sesi sidang bermula pada 21 April melibatkan Cik Bachelet dan Encik Grossi, diikuti oleh Cik Grynspan dan Encik Sall pada 22 April.
Menurut surat daripada Presiden Perhimpunan Agung PBB, Cik Annalena Baerbock, dialog interaktif akan diadakan sekitar dua segmen bagi menentukan keupayaan kepimpinan, pengalaman dan kemahiran calon untuk memimpin organisasi, serta memikul tiga tonggak teras PBB – keamanan dan keselamatan, pembangunan dan hak asasi manusia.
Kumpulan masyarakat sivil akan dapat bertanya soalan kepada calon semasa setiap segmen, membolehkan penyertaan yang lebih luas dalam proses pemilihan.
Cik Bachelet adalah antara calon paling berprofil tinggi, setelah berkhidmat sebagai presiden wanita pertama Chile selama dua penggal sebelum mengetuai Bahagian Wanita PBB.
Beliau turut berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia dari 2018 hingga 2022.
Sementara itu, Encik Grossi, yang disokong oleh Argentina pada hari pertama pembukaan pencalonan, telah merangka pencalonannya berdasarkan kecekapan institusi.
Sebagai ketua IAEA sejak 2019, beliau telah mengemudi beberapa diplomasi nuklear paling sensitif di dunia dan telah meminta PBB supaya menyelaraskan operasinya dengan pembiayaan yang benar-benar disediakan oleh negara anggota.
Manakala Cik Grynspan, mantan Setiausaha Agung Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan, dicalonkan oleh Costa Rica.
Encik Sall, yang dicalonkan oleh Burundi, merupakan Presiden Senegal dari 2012 hingga 2024 dan memimpin salah satu negara demokrasi paling stabil di Afrika Barat dan menjadi suara utama untuk kepentingan Afrika dalam forum antarabangsa.
Beliau menyeru agar PBB distruktur semula dan dimodenkan secara asasnya, menekankan bahawa organisasi itu telah ketinggalan berbanding kelajuan dan kerumitan krisis kontemporari sejagat. – Agensi berita.

