Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 maut, 100 hilang dalam banjir kilat di bandar Himalaya

Aug 6, 2025 | 1:30 PM
Gambar edaran yang disediakan oleh Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF) Uttarkashi menunjukkan kerosakan selepas kejadian ‘cloudburst’ atau hujan lebat mendadak yang mencetuskan gelongsoran lumpur berhampiran Harsil, Uttarkashi, Uttarakhand, utara India, pada 5 Ogos 2025. Menurut pegawai negeri, kejadian ‘cloudburst’ yang kuat melanda kawasan Dharali dalam daerah Uttarkashi dan mengakibatkan banjir kilat yang menghanyutkan sebuah kampung serta menyebabkan beberapa penduduk hilang.
Gambar edaran yang disediakan oleh Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF) Uttarkashi menunjukkan kerosakan selepas kejadian ‘cloudburst’ atau hujan lebat mendadak yang mencetuskan gelongsoran lumpur berhampiran Harsil, Uttarkashi, Uttarakhand, utara India, pada 5 Ogos 2025. Menurut pegawai negeri, kejadian ‘cloudburst’ yang kuat melanda kawasan Dharali dalam daerah Uttarkashi dan mengakibatkan banjir kilat yang menghanyutkan sebuah kampung serta menyebabkan beberapa penduduk hilang. - Foto EPA

DHARALI, India: Sekurang-kurangnya empat orang terkorban manakala kira-kira 100 lagi masih hilang selepas banjir kilat membawa lumpur deras melanda pekan Dharali di negeri Himalaya, Uttarakhand, India pada 5 Ogos.

Bencana itu dikaitkan dengan fenomena ‘cloudburst’ yang berlaku secara mengejut dan menyebabkan kerosakan besar ke atas kawasan pelancongan popular itu. “Ini adalah situasi yang sangat serius,” kata Timbalan Menteri Pertahanan India, Jeneral Sanjay Seth kepada agensi berita Press Trust of India (PTI). “Kami telah menerima laporan mengenai empat kematian dan sekitar 100 orang hilang. Kami berdoa agar mereka selamat,” tambahnya.

Rakaman video yang disiarkan oleh media India menunjukkan arus deras berlumpur menghanyutkan bangunan bertingkat dan mengheret orang awam yang sedang cuba menyelamatkan diri. Beberapa penduduk kelihatan berlari sebelum dihanyutkan oleh gelombang gelap yang membawa sisa runtuhan dan puing-puing bangunan.

Ketua Menteri Uttarakhand, Encik Pushkar Singh Dhami berkata bahawa operasi menyelamat digerakkan secara besar-besaran. “Pasukan penyelamat telah dihantar dengan segera dan operasi sedang dilakukan pada skala yang sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tentera India memaklumkan bahawa 150 anggota telah tiba di lokasi dan berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 20 mangsa yang terperangkap dalam runtuhan lumpur sejuk itu. “Satu gelongsoran tanah besar telah mengakibatkan aliran puing dan air menghentam kawasan penempatan di Dharali,” menurut kenyataan rasmi tentera.

Imej yang dikongsi tentera menunjukkan kawasan tersebut dibanjiri lumpur pekat dan dalam, sehingga menenggelamkan sebahagian bumbung rumah. Komander Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF), Encik Arpan Yaduvanshi, berkata ketebalan lumpur di beberapa kawasan dianggarkan mencecah 15 meter.

“Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan, dan semua sumber sedang digerakkan untuk mengesan serta memindahkan mangsa yang terperangkap,” kata jurucakap tentera, Encik Suneel Bartwal.

Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi dalam satu kenyataan turut menyampaikan ucapan takziah dan memberi jaminan bahawa segala bantuan akan disalurkan secepat mungkin. “Tiada usaha akan dipandang ringan dalam memberikan bantuan,” katanya.

Ketua Menteri Uttarakhand, Encik Pushkar Singh Dhami menyifatkan insiden ini sebagai satu kemusnahan yang amat menyedihkan dan mendesak tindakan segera bagi mencegah kejadian sama berulang. Jabatan Meteorologi India turut mengeluarkan amaran merah bagi kawasan tersebut dengan rekod hujan lebat ekstrem setinggi 21 sentimeter.

Pakar perubahan iklim dan aktivis, Encik Harjeet Singh dari Yayasan Iklim Satat Sampada di New Delhi, menyifatkan tragedi ini sebagai isyarat amaran yang tidak boleh diabaikan.
“Ini adalah kombinasi maut. Pemanasan global mempercepatkan hujan monsun yang ekstrem, sementara dasar pembangunan yang tidak mampan seperti pemotongan bukit dan pembinaan tidak saintifik melemahkan pertahanan semula jadi kita,” tegasnya.

Hujan lebat pada 6 Ogos terus menyukarkan usaha menyelamat. Pasukan penyelamat menghadapi halangan apabila tanah runtuh menghalang laluan utama ke Dharali, sebuah kampung pelancongan yang juga laluan ke bandar suci Gangotri. Malah, kem tentera di Harsil, hanya 4 kilometer dari Dharali, turut dilanda banjir kilat dan 11 anggota tentera dilaporkan hilang.

“Kami masih belum mengetahui jumlah sebenar mangsa hilang, tetapi usaha menyelamat diteruskan sepanjang malam,” kata Kolonel Harshavardhan yang mengetuai misi, menerusi kenyataan dalam platform X.

Tentera India menggerakkan pasukan tambahan, termasuk anjing pengesan, dron dan jentera berat untuk mempercepat operasi mencari dan menyelamat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg