BHUBANESWAR/DHAKA (India/Bangladesh): Sekurang-kurangnya 34 orang maut di wilayah timur laut India selepas banjir besar menyebabkan tanah runtuh sepanjang empat hari lalu, dari akhir Mei.
Demikian menurut pihak berkuasa dan media pada 2 Jun.
Jabatan kaji cuaca pula meramalkan hujan lebat berterusan.
Lebih 1,000 pelancong yang terperangkap di Sikkim, wilayah Himalaya, sedang dipindahkan pada 2 Jun, menurut satu kenyataan pemerintah.
Pasukan penyelamat tentera turut dikerah ke wilayah Meghalaya untuk menyelamatkan lebih 500 orang yang terkandas di kawasan yang dilanda banjir.
Di negara jiran, Bangladesh, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di daerah Sylhet, manakala ratusan pusat perlindungan dibuka di daerah berbukit seperti Rangamati, Bandarban dan Khagrachhari pada 1 Jun.
Pihak berkuasa telah memberi amaran tentang risiko tanah runtuh dan banjir kilat yang lebih buruk dan menggesa penduduk di kawasan berisiko supaya terus berwaspada.
Daerah timur laut di India dan Bangladesh sememangnya terdedah kepada hujan lebat yang sering menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat, menjejas jutaan penduduk setiap tahun.
Visual dari agensi berita menunjukkan jalan raya dan rumah di bandar Silchar, Assam, telah ditenggelami air, dengan pokok tumbang berserakan di jalan raya.
Seorang penduduk Silchar, Cik Sonu Devi, berkata:
“Kami menghadapi banyak cabaran. Saya ada anak kecil, katilnya sudah tenggelam dalam air. Apa yang boleh kami buat dalam keadaan begini? Kami terpaksa berjaga sepanjang malam.” – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg