Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 maut ditembak di dalam kereta api di Chicago; suspek ditahan

Sep 3, 2024 | 11:02 AM
Gambar hiasan sedang polis di Chicago mengeluarkan keterangan tiada bukti menunjukkan suspek kenal dengan mana-mana mangsa dalam kejadian empat orang maut ditembak di dalam kereta api di bandar Chicago dan insiden  itu tiada kaitan dengan rompakan. Ia seolah-olah satu tindakan keganasan rambang.
Gambar hiasan sedang polis di Chicago mengeluarkan keterangan tiada bukti menunjukkan suspek kenal dengan mana-mana mangsa dalam kejadian empat orang maut ditembak di dalam kereta api di bandar Chicago dan insiden itu tiada kaitan dengan rompakan. Ia seolah-olah satu tindakan keganasan rambang. - Foto AFP

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam satu insiden tembakan di dalam sebuah kereta api di Chicago, Amerika Syarikat, pada 2 September, menurut polis. Suspek berjaya ditahan sejurus selepas insiden tembakan besar-besaran itu berlaku.

Polis memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan kecemasan melalui talian 911 pada awal pagi 2 September dan segera menuju ke stesen kereta api Forest Park. Di lokasi kejadian, polis menemui empat mangsa.

“Tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa keempat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Loyola di Maywood, yang kemudiannya disahkan meninggal dunia,” menurut kenyataan polis.

Keganasan senjata api merupakan isu serius di Amerika, sebuah negara yang mempunyai lebih banyak senjata api berbanding jumlah penduduknya. Setiap kali usaha untuk mengetatkan kawalan senjata dicadangkan, ia sentiasa menghadapi tentangan politik yang hebat.

Polis Chicago telah mengeluarkan deskripsi suspek berdasarkan rakaman kamera pengawasan, dan suspek tersebut kemudian berjaya ditahan bersama senjata api yang digunakan.

“Kejadian ini nampaknya merupakan insiden terpencil tanpa ancaman segera kepada komuniti,” tambah kenyataan polis.

Chicago mengendalikan salah satu rangkaian pengangkutan awam terbesar di Amerika dengan lebih daripada 317,000 penumpang menggunakan sistem kereta api setiap hari bekerja, menurut Pihak Berkuasa Transit Chicago.

“Ia adalah situasi yang mengerikan. Ini adalah sesuatu yang anda tidak mahu alami pada pagi Isnin, lebih-lebih lagi pada hari cuti,” kata pegawai polis, Encik Christopher Chin, kepada pemberita, sambil merujuk kepada cuti Hari Buruh yang disambut di Amerika.

Sepanjang 2024 ini, sekurang-kurangnya 378 insiden tembakan beramai-ramai – yang didefinisikan sebagai insiden tembakan yang melibatkan sekurang-kurangnya empat mangsa – telah berlaku di serata Amerika, menurut Arkib Keganasan Senjata Api (GVA).

Sekurang-kurangnya 11,463 orang telah terbunuh akibat keganasan senjata api, menurut GVA lagi.

Pada Jun, pakar bedah Amerika mengeluarkan satu laporan penting yang mengisytiharkan keganasan senjata api sebagai “krisis kesihatan awam” dan menyeru kawalan senjata api yang lebih ketat, namun usaha itu sering mendapat tentangan politik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, senjata api menjadi punca utama kematian bagi rakyat Amerika berumur antara setahun dengan 19 tahun, melebihi bilangan kematian membabitkan kenderaan bermotor, kata laporan itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg