Topik diikuti
Pergi ke BHkuMexico muncul pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati
Mexico muncul pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati
Kemenangan ke atas Korea Selatan jamin kedudukan pasukan tuan rumah bersama Piala Dunia ke pusingan 32 pasukan terakhir
Mexico muncul pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati
GUADALAJARA (Mexico): Tuan rumah bersama Piala Dunia 2026, Mexico, menjadi negara pertama yang berjaya mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati kejohanan tersebut selepas negara itu mencatatkan kemenangan tipis ke atas Korea Selatan di Guadalajara.
Pemain tengah Mexico, Luis Romo, berada di posisi tepat dan pada masa yang tepat – untuk menjaringkan gol mudah ke dalam gawang yang kosong.
Ini selepas bola yang diselamatkan penjaga gawang, Kim Seung-gyu, terlepas daripada tangannya akibat daripada pelanggaran dengan rakan sepasukan, Lee Gi-hyuk, pada minit ke-50.
Peluang terbaik Korea Selatan tiba pada minit ke-87 apabila Cho Gue-sung melakukan tandukan jarak dekat.
Namun, bola tersebut berjaya diselamatkan oleh Raul Rangel, sebelum penjaga gol Mexico itu sekali lagi menghalang percubaan susulan daripada Yang Hyun-jun.
Korea Selatan hampir meraikan gol menerusi kapten mereka, Son Heung-min, yang menendang bola melepasi Rangel sebelum diselamatkan di atas garisan gol oleh pemain lawan, Edson Alvarez.
Namun, kekecewaan melanda bekas penyerang Tottenham Hotspur itu apabila beliau didapati berada di kedudukan ofsaid.
Didorong oleh sokongan padu penyokong sendiri – yang sebelum itu telah melaungkan sorakan tidak puas hati kepada pasukan pada waktu rehat susulan aksi hambar pada separuh pertama – Mexico hampir menambah gol kedua pada minit ke-75.
Namun, percubaan Raul Jimenez berjaya diselamatkan.
Pemain ganti, Obed Vargas, turut menguji penjaga gol Kim pada penghujung perlawanan, namun rembatan derasnya itu berjaya diselamatkan dengan tangkas oleh penjaga gol tersebut.
Keputusan itu mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus Mexico dalam kempen Piala Dunia kali ini, sekali gus mengesahkan skuad kendalian Javier Aguirre itu sebagai juara Kumpulan A.
Kejayaan itu juga bermakna pasukan tuan rumah bersama itu bakal beraksi di Mexico City untuk pusingan 32 pasukan terakhir mereka, begitu juga bagi saingan kelompok 16 terakhir sekiranya mereka berjaya melangkah lebih jauh.
Mexico dijangka menentang England dalam saingan kelompok 16 pasukan terakhir sekiranya skuad bimbingan Thomas Tuchel menjuarai kumpulan mereka dan memenangi aksi kalah mati pertama.
Meskipun tewas dengan Mexico, Korea Selatan kekal berada di kedudukan selesa untuk turut mara ke pusingan seterusnya, hasil kemenangan 2-1 dalam perlawanan pembukaan mereka menentang Republik Czech pada 12 Jun lalu.
Korea Selatan dijadual menentang Afrika Selatan di Monterrey, Mexico, pada 2 pagi, 25 Jun (9 pagi waktu Singapura), manakala Mexico akan bertemu Czech untuk aksi terakhir kumpulan pada waktu sama di Mexico City. – Agensi berita.
