Sekurang-kurangnya empat warga Singapura adalah antara hampir 3,000 mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan polis Filipina semasa serbuan di sebuah bangunan di bandar di selatan Manila.
Mangsa dipercayai telah terpikat ke Filipina dengan janji untuk bekerja di pusat pengendali permainan luar pesisir berlesen.
Bagaimanapun, polis mengesyaki perniagaan itu mungkin menjalankan aktiviti haram seperti penipuan cinta dan penipuan mata wang kripto.
Seramai 2,724 orang telah diselamatkan semasa serbuan itu, yang meliputi tujuh bangunan di bandar Las Pinas, kira-kira sejam memandu dari Manila.
Lebih separuh daripada mereka yang diselamatkan adalah warga Filipina, manakala baki 1,190 lagi adalah warga asing, kebanyakannya warga China, diikuti warga Vietnam, Indonesia dan Malaysia.
Dilaporkan, lima warga Singapura telah diselamatkan semasa operasi itu, menurut polis Filipina.
Jurucakap Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pula memberitahu The Straits Times bahawa pihaknya mengesahkan empat warga Singapura adalah antara yang diselamatkan.
Seorang daripada warga Singapura itu ditemui dalam sebuah bangunan dan empat lagi berada di bangunan lain, menurut polis Filipina.
Jurucakap MFA berkata: “Kedutaan Singapura di Manila sedang berhubung dengan pihak berkuasa Filipina yang berkaitan dan telah menghubungi rakyat Singapura yang terjejas untuk memberikan bantuan konsular. Pemerintah Singapura ingin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Filipina atas usaha mereka dalam operasi menyelamat.”
Jurucakap Kumpulan Anti-Jenayah Siber Polis Negara Filipina, Kapten polis Michelle Sabino, berkata pihak berkuasa masih berusaha menentukan siapa mangsa, dan siapa mereka yang terlibat dalam skim pemerdagangan manusia.
Tambahnya, tidak jelas sama ada warga asing itu akan dihantar pulang, tetapi buat masa ini mereka masih berada di Las Pinas sementara pihak berkuasa memutuskan siapa yang akan menghadapi pertuduhan.
“Mereka direkrut melalui Facebook dan mereka tahu mereka akan bekerja di Filipina,” katanya.
“Penginapan dan makanan mereka adalah percuma. Mereka perlu bekerja 12 jam sehari, dari tengah hari hingga tengah malam. Satu-satunya syarat ialah mereka harus boleh berbahasa Inggeris,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa sebahagian mereka sedar bahawa mereka akan membantu dalam operasi perjudian dalam talian.
Warga China dipercayai diberi pampasan 40,000 peso ($980) setiap bulan, manakala warga Filipina dan warga asing lain menerima 24,000 peso, kata Kapten Sabino.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg